Dalam langkah bersejarah yang bakal mengubah landskap industri gaming di Asia Tenggara, gamescom asia, platform utama B2B dan B2C dalam industri permainan video, secara rasmi bergabung dengan Thailand Game Show, antara acara B2C terbesar dan paling berpengaruh di rantau ini.
Acara gabungan baharu ini, yang diberi nama gamescom asia x Thailand Game Show, akan membuat penampilan sulung pada Oktober 2025, menggabungkan platform perniagaan global yang kukuh dengan pengalaman peminat.

Sejak dilancarkan pada 2021, gamescom asia yang berpangkalan di Singapura telah menjadi acara utama dalam industri gaming, dengan edisi 2024 menarik lebih 40,000 pengunjung dari 78 negara serta menampilkan 177 pempamer.
Sementara itu, Thailand Game Show yang telah wujud sejak 2006, terus menjadi acara utama rantau ini, dengan edisi 2024 mencatat lebih 185,000 pengunjung dan 50 pempamer.
Satu Besar bagi Industri Permainan Video Asia Tenggara
Menurut Mathias Kuepper, Pengarah Urusan dan Naib Presiden Asia Pasifik di Koelnmesse Pte Ltd, kerjasama ini adalah satu titik perubahan penting.
“gamescom asia telah meletakkan Asia Tenggara sebagai pusat inovasi permainan video. Dengan bergabung bersama Thailand Game Show, kami membuka peluang luar biasa untuk menghubungkan pemain global dengan komuniti gaming yang paling bersemangat di dunia. Bangkok, dengan budaya yang kaya dan ekosistem gaming yang berkembang pesat, adalah pentas terbaik untuk fasa seterusnya.”
Pengasas Thailand Game Show, Pongsuk Hiranprueck, turut menyatakan bahawa gabungan ini adalah peluang besar untuk gamer dan pembangun game di Thailand.
“Kerjasama ini menandakan lonjakan besar bagi industri gaming Thailand. Dengan sokongan kukuh daripada kerajaan, kami mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab gaming utama di Asia. Kami berterima kasih kepada gamescom asia kerana mengiktiraf potensi Thailand, dan bersama-sama, kami akan membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi.”
Kerjasama ini mendapat sokongan kuat daripada industri dan pihak kerajaan. Asst. Prof. Dr Nuttapon Nimmanphatcharin, Presiden dan CEO Digital Economy Promotion Agency (depa) Thailand, menyatakan bahawa gabungan ini memperkukuh komitmen Thailand dalam memajukan inovasi digital dan industri permainan global.
Sementara itu, Felix Falk, Pengarah Urusan game – The German Games Industry Association, menyatakan bahawa gamescom kini telah berkembang menjadi jenama acara gaming terbesar di dunia, dan kerjasama ini akan menawarkan pengalaman yang lebih luas kepada komuniti.
Apa yang Menanti di gamescom asia x Thailand Game Show?

Acara ini akan menjadi destinasi utama bagi peminat dan pemain industri gaming dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk:
- Zon Perniagaan – Ruang untuk pertemuan B2B, rangkaian profesional, dan kerjasama industri.
- Sesi Persidangan Pakar – Panel dan ceramah oleh pemimpin industri mengenai trend dan inovasi terkini.
- Zon Hiburan Interaktif – Pameran game AAA dan indie, kejohanan e-sukan, pertunjukan cosplay, dan pengalaman eksklusif untuk peminat permainan.

Tarikh: 16 – 19 Oktober 2025
Lokasi: Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok, Thailand
gamescom asia x Thailand Game Show dianjurkan oleh Koelnmesse, Show No Limit (bersama Online Station), dan German Games Industry Association (game), dengan sokongan strategik daripada badan kerajaan Thailand seperti depa dan Thailand Game Software Industry Association (TGA).
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, layari gamescom.asia.
@gamersantaimy
Discussion about this post