Jika anda merancang untuk bermain PUBG: Blindspot, hajat anda nampaknya tidak kesampaian. Krafton dan pembangun ARC Team telah menamatkan perkhidmatan game tactical shooter ini secara rasmi pada hari ini, 30 Mac 2026.
Kesemua server telah ditutup sepenuhnya, menamatkan eksperimen yang bertahan selama 53 hari sahaja dalam fasa Early Access.
PUBG: Blindspot pada asalnya diharapkan membawa nafas baharu kepada francais ini. Berbeza dengan peta battle royale gergasi yang menjadi identiti siri ini, Blindspot memfokuskan kepada combat aksi pantas 5v5 secara berpasukan dari sudut pandangan top-down.
Pemain perlu memilih ejen yang unik, menggabungkan kemahiran masing-masing, dan menggunakan kedudukan taktikal yang bijak untuk memenangi pusingan.

Oleh sebab jumlah pemain serentak yang sangat rendah, mencari perlawanan memakan masa yang terlalu lama. Pasukan pembangun ARC Team telah cuba mengeluarkan patch secara berkala berdasarkan maklum balas pemain, namun jumlah pemain yang tinggal tidak cukup untuk mengekalkan kelangsungan game ini.
Melalui satu kemas kini baru-baru ini, Sequoia Yang dari ARC Team telah mengumumkan berita sedih ini. Beliau menjelaskan bahawa pihak studio tidak lagi mampu meneruskan Early Access seperti yang dijanjikan pada awalnya.
Yang menyifatkan game ini sebagai satu “cubaan berani” untuk meneroka idea baharu dalam genre top-down shooter, dan menambah bahawa pasukannya akan mengambil masa untuk merancang semula strategi dan berharap dapat kembali dengan sesuatu yang baharu pada masa akan datang.









Discussion about this post