The Mortuary Assistant sebuah game seram yang dilancarkan bulan lalu, nampaknya akan mendapat adaptasi filem tidak lama lagi. Game daripada pembangun indie, DarkStone Digital itu telah berjaya mencuri perhatian ramai streamer dan juga peminat game seram.
Dilaporkan bahawa projek filem The Mortuary Assistant akan dikendalikan oleh pengarah Jeremiah Kipp. Dia telah menyatakan bahawa filem tersebut akan menjadi “peneman” kepada game tersebut. Selain itu, segala tetapan dalam dan luar sekeliling bilik mayat, segala proses pengurusan mayat akan dikekalkan sama seperti game.
Ketua produksi Dread XP, Ted Hentschke ada meluahkan bahawa agak sukar untuk adaptasi mekanik game dalam filem tersebut. Dia juga menambah bahawa filem itu akan lebih fokus kepada keseluruhan naratif dan tema game. Kesemua lima bahagian dalam game tersebut juga akan digabungkan kepada satu.
Kalau anda ingin tahu, adaptasi filem The Mortuary Assistant ini sebenarnya sudah dalam pembikinan sebelum game itu dilancarkan. Hentschke mengatakan bahawa DreadXP telah membuat perancangan untuk menghasilkan lebih banyak adaptasi untuk game yang mereka terbitkan. Usaha ini dilakukan untuk memberikan sokongan kepada pembangun indie sama seperti studio besar lain.
The Mortuary Assistant yang diterbitkan 2 Ogos yang lalu, membawa anda mengikuti kisah seorang perintis di River Fields Mortuary. Anda akan melihat proses-proses dalam melengkapkan segala tugas yang perlu dilakukan dalam bilik mayat malah selok-belok dalam menguruskan mayat. Tetapi suatu hari, dia telah terperangkap dan kini perlu mencari jalan keluar dengan menghapuskan mayat yang didiami oleh syaitan.
Anda yang ingin bermain game ini, boleh dapatkannya melalui Steam pada harga RM 44. Terdapat juga demo untuk dicuba sebelum anda membelinya. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai filem daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post