Game Borderlands Mobile telah muncul secara senyap di iOS App Store untuk ujian masa terhad di Amerika Syarikat.
Projek ini dibangunkan oleh Zynga bersama studio subsidiarinya, NaturalMotion (pasukan di sebalik CSR Racing dan Star Wars: Hunters). Walaupun Zynga menerajui pembangunan, pencipta asal francais Gearbox Software turut terlibat secara aktif bagi memastikan rekaan dan penceritaannya setia kepada siri asal.

Game ini mengekalkan seni cel-shaded ikonik yang menjadi identiti siri asal. Fokus utamanya masih lagi tertumpu kepada gameplay looter shooter; iaitu menumpaskan musuh untuk mendapatkan senjata yang semakin kuat.
Pemain boleh bekerjasama dengan Vault Hunter lain untuk menumbangkan korporat yang tamak dan mencari vault legenda. Ada pelbagai pilihan senjata disediakan, bermula dari pistol biasa hinggalah ke pelancar roket gergasi, dan semuanya telah dioptimumkan untuk kawalan skrin sentuh.

Ujian ini merangkumi beberapa jenis misi yang berbeza:
- Campaign Mission: Pengalaman utama berteraskan jalan cerita.
- Tower of Terror: Kemungkinan besar mod cabaran atau survival melawan gelombang musuh.
- Circle of Slaughter: Pemain akan berhadapan dengan kumpulan penjahat dan makhluk ganas tanpa henti.

Buat masa ini, ujian tersebut hanya tersedia secara eksklusif di Amerika Syarikat bagi pengguna iOS melalui App Store.
Setakat ini, masih belum ada maklumat rasmi mengenai tarikh pelancaran global atau versi Android. Namun, sekiranya ujian ini berjalan lancar, kita boleh menjangkakan pelancaran yang lebih meluas pada akhir tahun ini.









Discussion about this post