Setelah banyak trailer, preview yang telah dikeluarkan, akhirnya entri terbaharu Final Fantasy tiba juga! Final Fantasy XVI telah dibangunkan oleh Creative Business unit III. pasukan sama yang membangunkan Final Fantasy XIV. Game ini merupakan game RPG aksi pertama dalam siri, di mana anda mengawal seorang watak dan menggunakan Summon sebagai tema utama game. Jom kami ulas lebih lanjut mengenai game baharu ini!
AMARAN! ADA SPOILER Final Fantasy XVI!
Jalan Cerita Final Fantasy XVI
Penceritaan untuk Final Fantasy XVI antara kekuatan yang membawa pengalaman game ke tahap yang lebih tinggi. Anda perlu mengambil masa untuk menerokanya dengan lebih mendalam serta memahami kisah yang ingin disampaikan. Kalau anda ingin tahu, ini merupakan game pertama FF yang mendapat penilaian “Mature” kerana ia mengandungi unsur-unsur berat seperti keganasan brutal, adegan seksual, kata-kata kasar dan banyak lagi. Elemen-elemen inilah yang membuatkan penyampaian untuk FFXVI lebih baik dan tidak terasa seperti ia dipaksa.
Dalam FFXVI, kita akan ikuti kisah Clive Rosfield, bekas putera Rosaria yang akhirnya menjadi tentera hamba di kerajaan Sanbreque selepas kawasannya dijajah, yang juga menjadi penyebab kepada kematian adik lelakinya, Joshua Rosfield, bapanya, Archduke of Rosaria dan rakan-rakannya. Ini antara konflik yang berlaku di Valisthea, sebuah alam yang dibahagikan kepada beberapa kerajaan dan masing-masing mempunyai niat tersendiri untuk mendapatkan atau merampas Mothercrystal.

Kalau anda ingin tahu, Mothercrystal itu sendiri elemen utama untuk kisah FFXVI. Tetapi berbeza dengan siri-siri dalam francais, Crystal ini menjadi punca kepada penyebaran wabak yang dipanggil Blight. Wabak tersebut telah menyebabkan beberapa kawasan di Valisthea tandus tanpa sebarang hidupan. Dengan beberapa kerajaan yang masih berperang untuk mendapatkan Mothercrystal, Clive berjaya melepaskan diri selepas diselamatkan oleh ketua kepada kumpulan haram, Cidolfus Telamon. Dia telah meyakinkan Clive bahawa dia ingin mencipta sebuah dunia di mana manusia boleh hidup dan mati mengikut kemahuan masing-masing. Tetapi impian itu hanya boleh dicapai dengan memusnahkan kesemua Mothercrystal serta menghapuskan pergantungan mereka terhadap kristal itu.
Selepas itu kita ada Eikon, yang merupakan entiti penting kepada game ini. Eikon mungkin boleh dilihat sebagai Summon, tetapi peranannya berbeza daripada Summon. Ia lebih kepada kuasa yang dimiliki oleh watak-watak utama dan antagonis. Mereka yang mempunyai kuasa Eikon dipanggil sebagai Dominant. Jika anda lihat pada logo game, anda boleh lihat Phoenix dan Ifrit berlawan, yang menunjukkan sinergi yang berkesan untuk menerangkan cerita utama game. Lagi pun, FFXVI memberikan pelbagai kisah tentang watak-wataknya termasuklah watak sampingan.

Faktor lain yang membuatkan kisah FFXVI ini disampaikan dengan baik adalah ia merangkumi segala penjuru cerita malah meneroka beberapa tempoh masa. Ia tidak memerlukan DLC seperti FFXV, mahupun tiga bahagian seperti FFVII Remake. Ianya sudah cukup padat daripada permulaan game sehingga ke akhir. Anda boleh melihat perubahan daripada pelbagai sudut, sebagai contoh pengembangan watak, konflik yang sedang berlaku di Valisthea dan pembinaan dunia yang begitu mendalam.
Selain itu, lakonan watak dalam Final Fantasy XVI yang mantap. Untuk pengetahuan anda, ini kali pertama game Final Fantasy direkod dengan pelakon suara Inggeris, ini termasuklah “lip sync” pada watak. Jadi kalau anda bermain game ini dalam bahasa Jepun, anda mungkin janggal melihat suara serta pergerakan bibir mereka tidak sama. Walaupun begitu, memang kudos kami berikan kepada pasukan pembangun kerana dengan tema Eropah semasa zaman pertengahan, ia memang sesuai dengan bahasa Inggeris malah kualiti lakonan daripada semua watak termasuk NPC memang mantap.

Sebagai tambahan, game juga mempunyai ciri unik yang dipanggil “Active Time Lore”. Ia akan memberikan anda maklumat tertentu tentang lokasi dan watak yang terbabit semasa cerita bergerak. Ciri ini boleh diaktifkan pada bila-bila masa. Jadi anda boleh memahami dengan lebih jelas tentang perkara yang dibincangkan oleh watak semasa bermain.
Sistem Combat yang penuh aksi
Walaupun kami telah membandingkan sistem combat Devil May Cry untuk preview game sebelumnya, tetapi setelah bermain Final Fantasy XVI, ia tidaklah begitu sama secara keseluruhannya. Dikendalikan oleh Ryota Suzuki, yang pernah terlibat sebagai Pengarah Combat DMC 5, beliau masih mengekalkan beberapa moveset game itu dan menjadikannya moveset standard untuk bina atau melanjutkan kombo. Tidak kiralah bagaimana gaya bermain anda, kombinasi skill utama daripada setiap Eikon menjadi sumbangan terbesar kepada damage. Dengan kebolehan Clive yang boleh menyerap essence daripada setiap Eikon, ia memberikannya akses dengan lebih skill baru.

Anda boleh menggunakan tiga gaya Eikon pada satu masa, jadi lebih banyak Eikon yang anda ada, lebih banyak gaya bermain yang anda boleh cuba, yang mungkin tidak boleh digunakan dengan skill terhad. Phoenix merupakan gaya yang anda ada semasa awal game. Ia mempunyai pelbagai skill mudah seperti serangan uppercut dengan Rising Flames ataupun AOE dengan menggunakan Scarlet Cyclone. Inilah gaya yang paling banyak kami gunakan semasa bermain kerana satu skill yang sangat berguna, “Phoenix Shift”. Berbeza dengan skill utama yang mempunyai cooldown, Phoenix Shift dikategorikan sebagai “Eikonic Feat” yang boleh digunakan dalam pelbagai cara. Ia juga berguna apabila pemain ingin mendekati dengan musuh melalui ability teleportnya yang boleh diikuti dengan serangan.

Eikonic Feat boleh dianggap sebagai utiliti berbanding skill untuk berikan damage tinggi. Contoh lain adalah Garuda yang kami gunakan sehingga habis game. Skill Deadly Embrace daripadanya membolehkan pemain untuk menarik musuh lemah dari jauh. Tetapi dalam beberapa situasi, boleh sahaja anda hook diri sendiri pada musuh yang kuat dan berada di udara lebih lama dengan gerakan khas atau hilangkan keseimbangan semasa dalam Partial Stagger. Selain itu, kita ada Titan dengan Titanic Block untuk menahan serangan termasuklah skill parry yang boleh dilanjutkan dengan serangan balas.
Walaupun kami tidak rasa Eikonic Feat boleh dianggap berguna, game ini masih membolehkan anda untuk mengubah suainya secara bebas atau menukar susunan skill untuk setiap gaya, walaupun anda tidak menggunakan skill daripada Eikon yang sama. Dengan ini, anda boleh gunakan skill daripada semua Eikon, walaupun anda hanya boleh tiga gaya tetapi dengan syarat skill yang anda guna mesti mendapat “Mastery” dengan upgradenya secara dua kali. Untuk upgrade skill, anda perlu menggunakan Ability Point yang boleh didapatkan sepanjang bermain. Tetapi Mastery skill bukanlah begitu murah untuk upgrade lebih-lebih lagi kalau anda ingin mendapatkan skill Ultimate daripada setiap Eikon. Jadi kena fikir untuk upgrade skill mana yang anda betul-betul ingin gunakan.

Kami akhirnya mendapatkan first Mastery untuk Judgement Bolt, skill Ultimate Ramuh kerana ia mempunyai potensi damage yang tinggi serta agak seimbang dengan Stagger. Tetapi anda boleh sahaja memilih Aerial Blast Garuda jika ingin mendapatkan efek maksimum untuk Stagger. Setiap skill mempunyai stat yang berbeza bergantung kepada build yang anda gunakan tanpa terikat pada sebarang gaya Eikon tertentu, terima kasih kepada Mastery. Disebabkan setiap skill mempunyai cooldown, anda perlu menjadi fleksibel dengan menukar gaya dan membina kombo daripada skill yang tersedia. Jadi selepas anda mendapat akses kepada gaya Eikon ketiga, anda akan dapat rasakan combat menjadi lebih mengasyikkan.
Secara keseluruhan combat terasa responsif di mana anda boleh menghasilkan combo hebat, bertarung dengan serangan sihir atau fizikal, serangan balas dan banyak lagi. Ditambah pula dengan window game yang besar, mudah untuk pemain melancarkan parry dan serangan balas. Jadi pemain baharu dapat kuasai combat dengan lebih pantas. Terdapat juga QTE (Quick Time Event) semasa berlawan dengan boss utama, yang memberikan visual dan efek bunyi yang menambah impak kepada pertarungan.

Kami juga ingin tekankan bahawa FFXVI masih lagi sebuah game RPG yang mengekalkan elemen daripada siri, sebagai contoh, sistem Limit Break dan Spoil yang dijatuhkan oleh boss. Sistem untuk naikkan level juga tidak terhad kepada progress kerana tahap kesukaran juga terasa agak senang walaupun bermain dalam Action Mode.

Tugas Ahli Party yang dikuasai AI
Seperti yang didedahkan dahulu, game ini hanya membolehkan pemain untuk main satu watak sahaja. Ianya mudah kerana anda tidak perlu risau dan jaga satu per satu ahli dalam parti anda. Watak-watak dalam parti akan dikawal oleh AI yang terbahagi kepada dua iaitu manusia dan Torgal (anjing). Berbeza dengan ahli manusia yang akan berubah semasa anda progress dalam game, Torgal akan menemani Clive hampir sepanjang masa dalam game kerana mekanik khas, di mana anda boleh memberikan arahan khas untuk Torgal serang ataupun pulihkan HP.
Walaupun damage dan recovery yang diberikan Torgal agak lemah, ia membolehkan anda untuk menghasilkan kombo kerana ia boleh melemparkan musuh. Kalau anda boleh arahkan Torgal dengan baik, dia boleh menjadi kunci untuk anda mahirkan combo di atas udara.

Ahli parti manusia pula kelihatan agak pasif kepada kami. Tetapi nasib baik mereka boleh kekal dengan target musuh dan tidak akan pecahkan kombo anda semasa bertarung. Mereka juga boleh kalahkan musuh-musuh yang biasa dengan mudah, jadi anda boleh tumpukan perhatian kepada musuh yang lebih kuat.
Penyesuaian & Aksesori
Seterusnya kita lihat pula penyesuaian yang terdapat dalam game. Ia kelihatan agak kemas di mana anda boleh set Gear dan aksesori lain, tetapkan shortcut untuk consumable item dan gaya Eikon serta urutannya. UI juga memberikan maklumat yang padat kepada pemain. Gear hanya mengubah rupa senjata anda kerana reka bentuk Clive berubah mengikut jalan cerita game, termasuklah aksesori yang juga berguna untuk menaikkan stat untuk HP, serangan, pertahanan dan Stagger.
Untuk aksesori, terdapat jenis cincin yang istimewa, membuatkan game lebih senang. Sebagai contoh, Ring of Timely Evasion yang membolehkan Clive untuk mengelak serangan musuh secara automatik. Ring of Timely Strikes pula membuatkan kombinasi skill yang kompleks diaktifkan dengan satu butang sahaja. Ini sangat berguna kepada semua jenis pemain, terutamanya untuk mereka yang tidak biasa dengan game aksi. Kalau pemain veteran yang inginkan cabaran, boleh sahaja abaikan aksesori seperti ini.

Cincin lain yang kami rasa menarik adalah Berserker Ring, yang memberikan ketepatan kepada serangan anda setiap kali anda menggunakan precision dodge. Selain itu, aksesori seperti Channeler’s Whispers pula membolehkan anda cas serangan sihir secara automatik. Jadi anda tidak perlu untuk hold butang secara manual. Terdapat juga aksesori lain yang memberikan efek khas untuk setiap skill Eikon seperti mengurangkan cooldown atau meningkatkan damage. Senang cerita, kalau anda manfaatkan segala aksesori dalam Final Fantasy XVI, perjalanan anda di Valisthea akan berjalan lancar.
Pertarungan Eikon yang Epik
Salah satu bahagian yang penting dengan cerita dan gameplay dalam FFXVI ialah pertarungan Eikon yang menjadi tema utama game. Walaupun tidak terikat sepenuhnya dengan progress cerita, setiap pertarungan memang buatkan kami kagum. Kalau anda rasa video gameplay rasmi sudah cukup gempak, percayalah ada banyak lagi adegan yang lebih gempak dan epik dalam game. Memang ini antara hasil CGI yang paling mengagumkan dalam siri Final Fantasy.
Setiap pertarungan Eikon hadir dengan gameplay yang berbeza, sebagai contoh Phoenix vs Ifrit yang padat dengan gaya rail-shooter atau Ifrit vs Garuda yang pertarungannya sama seperti pertarungan gusti. Setiap satu pertarungan penuh dengan aksi sinematik epik dan QTE, lebih-lebih lagi kalau anda menghampiri pengakhirannya. Ditambah pula dengan muzik yang dipilih oleh Masayoshi Soken, memang meremang setiap kali pertarungan bermula.

Ia juga berbeza dengan sistem gameplay rumit apabila anda dalam bentuk manusia. Aksi yang anda lakukan semasa bertukar menjadi Ifrit sangat terhad dan agak mustahil untuk anda kalah dalam pertarungan itu. Nasib baik ia hanya terhad semasa bertarung dengan Garuda, kerana pertarungan Eikon seterusnya memberikan anda akses pada gameplay yang lebih mendalam dan fleksibel semasa anda kawal Clive.
Penerokaan, Hideaway & Kandungan sampingan
Walaupun ia tidak dipasarkan sebagai game open-world, tetapi seronok juga semasa meneroka Valisthea. Peta dunia ini terbahadi kepada beberapa zon yang besar. Tiada paparan mini-map pada skrin semasa gameplay, jadi terpaksa selidik sendiri setiap penjuru dalam zon tersebut. Kalau sesat, boleh sahaja anda rujuk peta semula. Sebenarnya kami tidak begitu kisah dengan ketiadaan UI semasa penerokaan kerana ia memberikan pengalaman yang lebih seronok, tetapi ada beberapa peta yang mempunyai reka bentuk yang memeningkan dan memberikan ilusi bahawa anda boleh capai ke beberapa tempat yang dekat, tetapi kena halang dengan dinding halimunan pula.

Sebagai contoh Rosaria, peta ini penuh dengan kawasan paya dan air yang cetek. Kami pula ikut sahaja jalan yang sedia ada kerana Clive tidak boleh berenang. Tiada rahsia yang begitu banyak yang boleh dijumpai semasa meneroka peta tersebut kecuali peti harta karun ataupun musuh-musuh tertentu. Ada juga beberapa kawasan yang direka dengan lebih luas seperti arena boss yang digunakan untuk misi Hunt Board pula. Jadi kami syorkan anda untuk ikut sahaja progress cerita mengikut haluan supaya tidak membazirkan begitu banyak masa.

Kami sedikit kecewa melihat dunia FFXVI yang tidak mempunyai begitu banyak bandar besar yang boleh diteroka. Kebanyakkan kawasan terdiri daripada kampung atau penempatan kecil, manakala bandar besar daripada setiap negara seperti Rosalith, yang berada dalam keadaan huru-hara tanpa penduduk kecuali musuh. Walaupun begitu, kawasan kampung atau penempatan tersebut masih memberikan pelbagai aktiviti, quest dan memperkenalkan watak ikonik mengikut tempoh masa yang berbeza.

FFXVI mempunyai struktur progress yang memberikan anda masa untuk berehat di tempat seperti Hideaway atau ibu pejabat yang diketuai oleh Cid. Di pejabat tersebut, anda boleh berinteraksi dengan beberapa watak sampingan yang akan menjadi sebahagian daripada keluarga Clive. Sebagai contoh, Charon, Blackthorne, Tarja dan Loresman Harpocrates yang memberikan anda akses kepada Thousand Tomes yang mengandungi semua maklumat mengenai watak game, lokasi, peristiwa sejarah dan senarai raksasa. Terdapat juga Arete Stone yang membolehkan anda untuk jalani latihan khas di Hall of Virtue. Arcade Mode pula tersedia untuk anda main semula stage utama dengan pertarungan boss epik dan Stage Replay, yang sama dengan Arcade Mode tetapi mempunyai skop yang lebih luas.

Ada banyak lagi feature lain yang anda boleh akses selepas anda progress lebih jauh. Antaranya Hunt Board untuk anda yang ingin lakukan misi memburu khas, Patron’s Whisper pula untuk anda mengutip ganjaran berdasarkan Renown (sistem reputasi) dan State of Realm untuk mereka yang ingin melihat ringkasan progress cerita FFXVI yang disampaikan seperti peta perang.
Sebagai tambahan, terdapat juga side quest yang pelbagai tetapi gameplaynya tidaklah begitu menarik. Tetapi anda boleh mengumpul Renown dan mendapatkan side story untuk mengenali lebih lanjut mengenai sejarah Valisthea dan latar belakang watak sampingan. Terdapat juga side quest yang mempunyai simbol “+” yang akan memberikan ganjaran yang lebih berguna. Jadi memang berbaloi kalau anda selesaikannya.

Prestasi di PS5
Kami tidak mahu bercerita lebih mengenai prestasi game di PS5 lebih-lebih lagi kemas kini untuk hari pertama masih belum lancar. Jadi kami harapkan kemas kini baharu itu akan menyelesaikan masalah frame drop yang berlaku semasa bermain.
Sebagai game eksklusif PS5, sudah tentu ramai yang harapkan penggunaan ciri pada DualSense seperti Haptic Feedback dan Adaptive Trigger. Malangnya ia tidak digunakan sepenuhnya. Adaptive Trigger hanya terasa apabila anda membuka pintu gerbang, itu pun tidaklah terasa sangat pada jari. Nasib baik Haptic Feedback memberikan sesuatu ketika adegan khas semasa cutscene. Kami juga sempat menggunakan headset Pulse 3D semasa bermain, jadi kami dapat rasai audio 3D yang ada dalam game, lebih-lebih lagi semasa pertarungan Eikon.

Kesimpulan
Kami sendiri mempunyai harapan yang tinggi terhadap entri terbaharu Final Fantasy daripada pembangun, lebih-lebih lagi selepas bermain FFXIV, di mana ceritanya antara yang terbaik dalam siri. Boleh katakan kami berpuas hati dengan Final Fantasy XVI yang membawa combat aksi yang terbaik dan menyeronokkan. Belum cerita lagi tentang ceritanya yang menarik, barisan watak hebat serta detik-detik epik semasa pertempuran Eikon.
Tiada sebarang masalah besar yang kami temui sepanjang bermain, jadi ia memberikan pengalaman yang begitu baik. Memang ada perkara kecil yang sedikit menjengkelkan seperti reka bentuk peta atau prestasi game. Tetapi itu hanyalah pandangan kami sahaja. Apa pun, kami sangat syorkan anda untuk bermain Final Fantasy XVI jika anda mempunyai PS5, lebih-lebih lagi kalau anda seorang peminat tegar. Anda pasti tidak akan menyesal meneroka dunia Valisthea yang luas ini!
Untuk mendapatkan liputan lain mengenai Final Fantasy daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Final Fantasy XVI
PROS
- Cerita yang menarik
- Barisan watak yang hebat serta lakonan suara yang padu
- Pembinaan dunia yang bagus
- Antara sistem combat yang seronok dan terbaik dalam siri
- Soundtrack game epik
- Game penuh dengan kandungan dan boleh dimainkan berkali-kali
CONS
- Playthrough pertama terlampau senang
- Prestasi di PS5 tidak begitu stabil (Sebelum patch Day 1)
Discussion about this post