Bandai Namco Filmworks secara rasmi mengumumkan bahawa filem prekuel Mobile Suit Gundam SEED FREEDOM ZERO akan ditayangkan di Jepun pada 15 Januari 2027, diikuti dengan tayangan antarabangsa bermula di Amerika Utara pada Februari 2027.
Mengambil latar masa era Cosmic Era (C.E.) 74, SEED FREEDOM ZERO menyambung jalan cerita antara penamat siri Mobile Suit Gundam SEED DESTINY dan filem Mobile Suit Gundam SEED FREEDOM yang ditayangkan pada tahun 2024.
Selepas rancangan genetik Destiny Plan oleh Gilbert Durandal gagal, pemimpin Orb iaitu Cagalli Yula Athha berusaha membina keamanan dunia dengan menubuhkan agensi COMPASS. Pada masa yang sama, Shinn Asuka masih buntu mencari arah tuju hidupnya selepas perang besar sebelum ini tamat.
Keadaan mula menjadi tegang apabila sebuah mobile suit legenda dari ZAFT dipindahkan ke pangkalan COMPASS di Pulau Onogoro. Pada malam itu juga, Strike Freedom Gundam telah dicuri oleh pihak yang tidak dikenali.
Untuk dapatkan semula mobile suit tersebut dan menghalang perang baharu daripada tercetus, Shinn kembali bertarung bersama rakan-rakannya.
Jalan cerita ini menjawab persoalan yang lama bermain di fikiran peminat selepas menonton SEED FREEDOM: iaitu apa sebenarnya yang berlaku semasa “Freedom incident”, insiden misteri yang memaksa COMPASS membaiki dan menaik taraf jentera ikonik milik Kira Yamato itu.
Filem ini meletakkan semula Shinn Asuka sebagai watak utama. Pelakon suara asal Kenichi Suzumura kembali memegang watak Shinn, bersama barisan watak dari siri SEED:
- Shinn Asuka: Kenichi Suzumura
- Lunamaria Hawke: Maaya Sakamoto
- Agnes Giebenrath: Houko Kuwashima
- Leonard Valway: Daisuke Ono
- Kira Yamato: Sōichirō Hoshi
- Lacus Clyne: Rie Tanaka
- Athrun Zala: Akira Ishida
- Cagalli Yula Athha: Nanako Mori
- Yzak Jule: Tomokazu Seki
- Dearka Elthman: Akira Sasanuma
- Murrue Ramius: Kotono Mitsuishi
- Mu La Flaga: Takehito Koyasu
Watak baharu yang menarik perhatian ialah Leonard Valway, disuarakan oleh Daisuke Ono. Watak ini sebelum ini hanya muncul dalam novel sampingan Mobile Suit Gundam SEED Freedom: Moonlight Valkyrie, dan ini merupakan penampilan pertamanya dalam bentuk animasi bersama Agnes Giebenrath.
Dari segi mecha pula, filem ini akan memaparkan semula Strike Freedom dan Infinite Justice, bersama varian baharu iaitu GOUF Ignited Custom.
Kalau mahu ingat semula jalan ceritanya, filem SEED FREEDOM sekarang boleh ditonton di Netflix Malaysia.
Walaupun tarikh tayangan rasmi di Malaysia belum diumumkan, pihak pengedar tempatan biasanya tidak mengambil masa lama untuk membawa masuk filem ini selepas tayangan di Jepun. Peminat di Malaysia boleh jangkakan pengumuman tentang tayangan khas dan tayangan umum di pawagam sekitar awal tahun 2027.









Discussion about this post