Peminat yang menanti adaptasi anime Ghost of Tsushima: Legends nampaknya kena tunggu lama sedikit. Di New York Comic Con, Aniplex dan Crunchyroll mengumumkan bahawa siri anime ini sekarang akan ditayangkan pada tahun 2028, ditunda daripada perancangan asal iaitu pada tahun 2027.
Siri ini akan disiarkan secara eksklusif di Crunchyroll, jadi pelanggan di Malaysia boleh menontonnya di platform tersebut apabila ia ditayangkan nanti.

Dikeluarkan di PlayStation pada tahun 2020 oleh Sucker Punch, game popular ini memfokuskan kisah Jin Sakai yang mempertahankan tanah airnya daripada serangan tentera Mongol mengikut sejarah sebenar.
Namun, adaptasi Ghost of Tsushima berbeza kerana menumpukan kepada mod co-op multiplayer, iaitu Legends di mana jalan ceritanya lebih mengetengahkan cerita dongeng dan mitologi Jepun, di mana pahlawan bertopeng bertarung melawan makhluk iblis (Oni) serta pelbagai sumpahan alam ghaib.
Pengumuman itu turut mendedahkan barisan awal pelakon suara Jepun. Mayumi Saco, yang sebelum ini menyumbang suara untuk watak pemanah Tomoe dalam versi audio Jepun untuk game asalnya, akan kembali untuk membawa watak baharu yang masih dirahsiakan.
Beliau akan disertai oleh pelakon suara veteran, Shinya Fukumatsu, yang turut memegang watak yang belum diumumkan.
Di sebalik tabir, produksi ini dikendalikan oleh tokoh berpengalaman dalam industri animasi. Takanobu Mizuno bertindak sebagai pengarah di studio Kamikaze Douga, studio yang terkenal menerusi Batman Ninja dan episod Star Wars: Visions bertajuk “The Duel”.
Penulis terkenal Gen Urobuchi (Fate/Zero, Psycho-Pass, Puella Magi Madoka Magica) pula menguruskan story composition selain menulis skrip bersama Renji Oki. Siri ini diterbitkan oleh studio HAYATE dengan kerjasama Aniplex dan PlayStation Productions, manakala Sony Music bertindak sebagai rakan rasmi untuk muzik serta soundtrack.
Walaupun peminat perlu menunggu lebih lama sehingga tahun 2028, kami yakin anime ini berbaloi untuk dinantikan.









Discussion about this post