Selepas membuat debut pada tahun 1980-an, francais Saint Seiya berkembang menjadi salah satu siri shonen paling popular di seluruh dunia. Diadaptasikan kepada macam-macam platform termasuk anime, filem, dan game, akhirnya adaptasi filem live action dikeluarkan pada April 2023 lalu. Dinamakan Knights of the Zodiac, ada yang puas hati dan ada yang kecewa semasa tetapi apakah hasilnya secara keseluruhan?
Teruskan membaca untuk tahu lebih lanjut.
Malangnya, Knights of the Zodiac adalah satu kegagalan. Dengan bajet produksi sebanyak USD $60 juta, filem Knights of the Zodiac hanya dapat mengumpul sebanyak USD $6.9 juta di box office. Ternyata, filem ini gagal dan kini menyertai barisan “filem anime aksi-langsung yang mengecewakan” yang ternyata penuh dengan contoh-contoh lain seperti Dragon Ball: Evolution, Attack on Titan, Death Note (versi Hollywood) dan lain-lain.
Sama seperti senarai yang saya sebutkan tadi, Knights of the Zodiac mengalami isu yang sama seperti tidak mengikut sumber original, rekaan produksi yang buruk, perubahan plot yang tidak masuk akal, dan sebab-sebab lain. Sebelum saya menjelaskan tentang kelemahan filem ini, lebih baik anda memahami kisah Knights of the Zodiac dahulu.
Sinopsis
Dihasilkan oleh Toei Animation dan berdasarkan anime sensasi global, Knights of the Zodiac membawa saga Saint Seiya ke layar perak secara aksi langsung buat kali pertama. Seiya (Mackenyu), seorang remaja jalanan yang keras kepala, menghabiskan masanya berlawan untuk wang tunai sambil mencari kakaknya yang diculik.
Apabila dia menggunakan kuasa mistik tanpa disedari, Seiya mendapati dirinya terlibat dalam perang besar penuh dengan wira legenda, latihan bersama pahlawan purba serta perlu menyelamatkan dewi yang dijelmakan semula ke bumi. Jika Seiya mahu bertahan hidup, dia perlu menerima takdirnya dan mengorbankan segala-galanya untuk bergelar salah satu Knights of the Zodiac.
Apakah isu sebenar filem ini?
Jalan cerita yang bosan, sedangkan sumber original sangat seronok
Kisah Saint Seiya sangat panjang; dan saya yakin ia mempunyai cukup bahan untuk membuat satu filem yang padat. Malangnya, pihak produksi membuat keputusan untuk menghasilkan jalan cerita yang sepenuhnya original tanpa mengikut plot asal manga.
Secara am, Knights of the Zodiac mengekalkan naratif asas tetapi mengubah banyak elemen lain. Jalan cerita utama masih memfokuskan pada Seiya, si Pegasus Knight – seorang lelaki muda yang mementingkan diri sendiri, suka bertindak melulu dan bersifat kasar. Kini bekerja sebagai “underground fighter“, Seiya ingin mencari kakaknya yang diculik.
Kebetulan, dia adalah pahlawan yang berbakat lantas itulah sebabnya dia pekerja sebagai underground fighter untuk mendapatkan duit. Pegasus Cloth (perisai ajaib) pula sentiasa ada bersama Seiya, cuma potensinya belum dibuka jadi Seiya tidak boleh memakainya pada awal filem. Dalam manga original, Seiya harus pergi ke Greece, berlatih selama enam tahun, dan mengalahkan jumlah musuh yang tidak berkesudahan untuk mendapatkan Pegasus Cloth. Itulah jalan cerita yang sebenar.
Saya tidak marah jika mereka tidak boleh mengikut sumber original sehingga 100% tetapi janganlah sehingga ubah latar belakang dan asal-usulnya sehingga peminat lama tidak kenal. Banyak elemen penting daripada naratif original telah dibuang supaya jalan cerita menjadi lebih mudah difahami.
Akibatnya, mereka mengorbankan kisah original yang membuatkan siri ini popular. Malah, motivasi watak dan perwatakan mereka pun tidak dijelaskan termasuk Athena – yang merupakan salah satu watak paling penting dalam siri (selain daripada Seiya).
Dalam filem, setiap Knight dilahirkan di bawah bintang khas, tetapi dalam manga original, itu semua tidak bermakna kerana kekuatan setiap Knight hanya boleh dicapai melalui latihan dan kemahiran memupuk kuasa Cosmos (tenaga yang terdapat dalam semua manusia). Dalam filem live action, para Knight adalah “wira yang terpilih”, jadi mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengasahkan abiliti kerana mereka dilahirkan bernasib baik.
Ini mungkin hal kecil bagi sesetengah orang, tetapi sebagai peminat kepada karya original, ia rasa sangat terpesong daripada elemen asal. Seperti yang dikata tadi, saya faham beberapa perubahan perlu dibuat supaya penonton boleh memahami plot dengan lebih senang tetapi perubahan yang dilakukan telah membuat naratif dan skripnya lebih lemah.
Satu perkara baik yang boleh saya puji ialah mereka berjaya dalam pemilihan bahagian pelakon. Filem ini dibintangi oleh Mackenyu Arata sebagai Seiya, Madison Iseman sebagai Sienna/Athena, Sean Bean sebagai Alman Kido, Diego Tinoco sebagai Nero si Phoenix Knight (dan juga antagonis utama filem).
Pelakon yang bervariasi menggambarkan sifat berbilang budaya Knights of the Zodiac dengan tepat, di mana semua Knight terkenal datang daripada pelbagai budaya dan bangsa.
Visual meletup tapi tiada elemen menarik
Sepanjang melihat, saya rasa ramai akan setuju bahawa Knights of The Zodiac ialah sebuah filem yang cantik… tetapi visual cantik sahaja tidak cukup untuk menyelamatkan naratif yang membosankan. Efek visual CGI tidak jauhg berbeza daripada apa yang pernah kita lihat dalam filem MCU; di mana anda dapat melihat watak masing-masing menunjukkan kuasa mereka.
Bukan setakat itu sahaja, CGI yang digunakan dalam pertarungan pun boleh tahan bagus. Pendek kata – Knights of the Zodiac sepatutnya cemerlang dalam aspek visual, dan ternyata mereka berjaya mencapai kejayaan tertentu dalam elemen itu. Segala CGI yang dipamerkan seperti aura, apabila kuasa baik dan jahat bertembung – semuanya mengagumkan.
Apa yang saya kurang suka adalah reka bentuk perisai yang digambarkan dalam filem. Ia tidak nampak sehebat seperti manga atau anime dan kelihatan terlalu hodoh dan hambar. Saya faham mereka cuba melakukan perisai lebih realistik tetapi rupanya jauh lebih sedih daripada apa yang kita lihat di poster.
Reka bentuknya tersasar sangat-sangat jauh dari rupa asal termasuk reka bentuk sarung tangan, warna perisai dan helmet. Mereka tidak perlu memilih reka bentuk yang keterlaluan, cuma sesuatu yang lebih nampak menarik untuk memandang.
Jika anda suka melihat filem superhero seperti MCU atau DC atau SpiderVerse, semuanya terbukti cukup gila dengan design dan warna dalam filem masing-masing tanpa kelihatan terlalu kebudak-budakan. Perbezaanya adalah dunia Knights of the Zodiac tidak berwarna-warni atau cukup mistik seperti dalam anime; sebaliknya ia penuh dengan warna yang gelap yang menjadikan filem itu kelihatan suram. Sejujurnya, ini bukan pilihan visual terbaik untuk cerita yang penuh dengan watak berwarna-warni.
Cuma, satu lagi hal yang layak diberi pujian adalah lagak ngeri Andy Cheng dari Hong Kong yang bertanggungjawab ke atas semua koreografi untuk filem itu. Dia berjaya mencapai tahap realisme yang baik dalam adegan pertempuran.
Bagi mereka yang sudah tonton Knights of the Zodiac, apa pendapat korang pula? Adakah ia seronok atau mengecewakan? Jom kongsi pendapat di ruang komen!
Baca segala berita kami tentang Knights of the Zodiac di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post