Figment 2: Creed Valley telah dilancarkan beberapa hari yang lalu. Dibangunkan oleh Bedtime Digital Game, ia merupakan sekuel kepada game Figment yang dikeluarkan pada 2017. Terima kasih banyak-banyak kepada Bedtime Digital Games dan 4Divinity kerana memberi kami peluang untuk mencubanya. Ingin tahu best atau tidak game ini, teruskan membaca!
Penceritaan
Figment 2 membawa kita mengikuti kisah dua watak iaitu pemillik Mind dan Dusty. Pemilik Mind merupakan bapa kepada sebuah keluarga, menjalani kehidupan seperti rumah tangga biasa. Dia ingin membeli rumah, tetapi ia akan menyebabkan mereka mengalami tekanan kewangan yang besar, dan sebab itu dia selalu bekerja lewat dan kadang-kadang bergaduh dengan isterinya.

Untuk Dusty, dia merupakan mewakili keberanian Mind, iaitu watak utama yang kita kawal. Pada mulanya dia hanya orang yang suka ambil jalan mudah, tetapi sepanjang perjalanan dia banyak membesar. Apabile Dusty belajar tentang perkara yang berbeza, pemilik Mind berasa lebih baik dan kemudiannya fokus kepada keluarganya. Dusty sentiasa ditemani oleh burung kecil bernama Piper yang melambangkan optimisme Mind. Kalau anda bermain secara co-op, bolehlah anda main sebagai Piper.
Cerita Figment 2 terasa seperti dihasilkan untuk kanak-kanak dan keluarga, ianya mudah difahami. Tema, penyampaian serta muzikal yang ada dalam game ini mengingatkan kami kepada filem Disney. Terdapat banyak “pun” yang disebut dan membuatkan kami tertawa.

Persembahan game
Gaya seni game ini memuaskan bagi kami. Ianya cerah dan sangat sesuai dengan tema level game. Jika nak dibandingkan dengan game Figment pertama, kami boleh lihat bahawa ia mempunyai banyak penambahbaikan. Interaksi dengan kawasan sekeliling juga boleh tahan malah ada antaranya boleh mengeluarkan not muzik apabila berinteraksi dengannya. Reka bentuk watak buatkan kami keliru kadang-kadang. Walaupun begitu, mereka semua kelihatan sangat comel dan boleh menarik perhatian kanak-kanak.

Selain itu, muzik yang dimainkan dan Figment 2 memang mantap, membuatkan game ini lebih baik. Lagu pertama oleh Black Hog mengingatkan kami kepada pentas konsert muzik Left 4 Dead 2. Kalau anda mendengar muzik battle akhir, kami pasti anda pasti sukakannya.
Gameplay
Bercerita tentang gameplay, Figment 2 mempunyai gameplay yang linear, jadi memang tidak banyak benda yang boleh diterokai. Disebabkan ini bukanlah game RPG, anda tidak perlu naikkan level, buka senjata atau kebolehan baru. Anda hanya perlu selesaikan quest utama.
Sepanjang perjalanan, terdapat batu kecil yang mempunyai corak lingkaran pink di atasnya. Apabila anda menyerangnya dan mengutipnya, ia akan membuka memori khas yang anda boleh lihat di menu. Ia memberikan sedikit sebanyak cerita dan memberikan konteks kepada cerita game. Kalau anda terlepasnya juga tidak mengapa. Ia juga mudah untuk dicari.

Seterusnya, anda akan perlu menyelesaikan misteri seperti seorang detektif, mengumpulkan petunjuk dan menyelesaikan jenayah. Ianya game mini yang menarik dan dimasukkan dengan baik pada gameplay utama dan cerita game.
Untuk mainkan multiplayer sangat mudah. Anda hanya perlu masuk ke dalam game, tukar setting dan boleh terus main. Ia hanya menyokong local co-op. Ia juga bukan split screen. Pemain 2 akan mengawal benda, jadi anda boleh selesaikan puzzle dengan lebih mudah.

Combat & Puzzle
Figment 2 sangat mudah untuk dimainkan. Anda hanya perlu bergerak, menyerang dan mengelak semasa bertarung. Terdapat dua combo, pertama attack lima kali dan spin attack dan kedua pula, anda serang selepas mengelak.
Terdapat beberapa jenis dari segi reka bentuk musuh, tetapi tidaklah terlalu banyak. Ada lebih kurang tujuh musuh biasa. Beberapa susunan pertempuran dilakukan dengan cara yang kreatif di mana anda boleh menggunakan serangan musuh untuk membantu anda dalam pertarungan. Seperti peluru meriam boleh memberikan damage kepada musuh, dan ada yang memegang tiang gergasi boleh menembak mana-mana musuh lain.

Anda boleh menyembuhkan diri, tetapi anda hanya boleh melakukannya dengan mengumpul bola hijau yang terapung-apung. Kadang-kadang apabila anda mengalahkan musuh mereka akan menjatuhkan sesuatu, tetapi kebanyakan masa mereka hanya mengelilingi sesuatu, dan anda perlu menyerangnya untuk membuatkan item itu jatuh.
Dalam game ini hanya ada dua bos sahaja tetapi terdapat beberapa pertarungan bos serta jenis. Anda perlu melakukan perkara yang berbeza dalam pertarungan bos yang berbeza, dan setiap daripada mereka direka dengan sangat baik. Pertarungan terakhir memang seperti “bullet hell” manakala yang lain lebih kepada game “beat em up”.

Puzzle dalam Figment 2 agak intuitif, setiap puzzle dalam game adalah sesuatu yang boleh difahami dengan mudah dan boleh diselesaikan dengan cepat. Tetapi pada penghujung The Ethics Maze, ia mengelirukan kami sedikit sehinggalah kami perasan bahawa kami perlu menyambungkan setiap baris. Selain daripada itu, kami memang enjoy selesaikan puzzle yang ada.

Bug & Komen
Boleh tahan juga bug yang kami jumpa dalam Figment 2. Semasa lawan boss pertama, ada tiga fasa yang perlu diselesaikan. Pertama, lari daripada khinzir, seterusnya bunuh bunga yang keluar daripada kabus hijau. Tetapo apabila kami sampai di tempat tertentu, bunga tersebut tidak keluar dan kami berulang-ulang dan tidak dapat ke level seterusnya.

Kami cuba restart game dan juga install semula game tetapi ianya tidak berfungsi. Sudahnya kami terpaksa memulakan game baru, mainkan semula game dan akhirnya muncul juga bunga tersebut. Kami rasa agak bertuah kerana ia masih di awal game. Kami ada juga cuba gunakan save file tersebut di komputer lain, tetapi ia masih mempunyai masalah yang sama.
Bug kedua pula berlaku semasa bertukar daripada cutscene ke gameplay. Entah bagaimana game ini menolak kami ke penghujung jalan, yang turut menghentikan kami daripada meneruskan game. Nasib baik boleh restart daripada checkpoint yang lalu yang tidak begitu jauh. Harap-harap ada kemas kini baru yang akan baiki bug ini.

Kami telah bermain selama 6 jam, sambil ulang semula game setelah menemui bug. Rasanya kalau tiada masalah, mungkin game ini boleh diselesaikan dalam masa 3 – 4 jam. Untuk sebuah game yang berharga RM 61, ia seperti tidak berbaloi malah ia juga agak mahal. Ianya masih lagi sebuah game yang baik, lebih-lebih lagi dengan muzik serta pertarungan bos yang menarik.
Kesimpulan
Figment 2: Creed Valley seperti filem Disney yang disampaikan dalam bentuk game. Ceritanya mudah untuk diikuti dan berakhir dengan baik. Gameplaynya juga mudah, menyeronokkan dan boleh dimainkan oleh kanak-kanak.

Tetapi bug game pula mengganggu sedikit pengalaman bermain. Nasib baik ia hanya terjadi sekali sahaja kepada kami. Harap sangat pembangun boleh membaiki isu ini kerana banyak juga masa kami bazirkan untuk selesaikan masalahnya. Mungkin ada yang tidak berapa berkenan dengan harganya, tetapi kalau anda betul-betul ingin mainkannya, kami pasti anda tidak akan menyesal.
@gamersantaimy
The Review
Figment 2: Creed Valley
PROS
- Artstyle hebat
- Muzik dan lagu yang mantap
- Puzzle dan battle yang menyeronokkan
CONS
- Bug yang mengganggu mood bermain
- Game yang agak singkat untuk harganya
Discussion about this post