Selepas 15 tahun mendominasi industri dengan vokal yang mendefinisikan runut bunyi anime generasi kini, rock heroin Jepun LiSA akhirnya membawa tenaga luar biasanya ke Kuala Lumpur untuk konsert solo pertama. Di sebalik kesibukan jelajah ulang tahun ini, kami berpeluang duduk bersama artis ini untuk mengimbau perjalanan kariernya.

Menerusi temu bual eksklusif, disusuli dengan sesi perbincangan berkumpulan, LiSA sudi berkongsi tentang impak lagu-lagunya, evolusi identitinya sebagai seorang artis, serta ikatan akrab antara beliau dan peminat.
Temubual Eksklusif Bersama Kami
Pengalaman Makan di Malaysia dan Fenomena Sing-Along Lagu ‘Gurenge’

Tampil dengan aura yang sentiasa mesra, LiSA memulakan perbualan kami dengan ceria:
“Apa khabar — this is LiSA. Terima kasih!”
Keterujaannya dapat mengadakan konsert solo di Malaysia sangat terserlah. Namun, bukan sekadar muzik yang meninggalkan kesan di hatinya… makanan tempatan juga benar-benar menambat seleranya. Sepanjang beberapa hari di sini, LiSA meneroka budaya makanan kita.
Beliau mencuba pelbagai hidangan termasuk Laksa dan minuman kegemaran ramai “Neslo” (campuran Nescafe dan Milo). Malah, beliau memberanikan diri mencuba Raja Buah buat kali pertama menerusi aiskrim durian.
“Baunya agak kuat—hahaha—tapi ya, saya sukakannya!” katanya sambil ketawa.
Sering berkongsi perkembangan terkini di media sosial, beliau turut memuji keenakan semangkuk Ais Kacang berhias mangga, yang diakuinya sangat sedap.
Selain makanan, sambutan luar biasa peminat Malaysia turut membuatkan LiSA sangat terharu. Mengimbas kembali konsertnya, beliau meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga.
“Saya sangat gembira dapat datang ke Malaysia. Saya gembira melihat anda semua, dan saya benar-benar bersyukur apabila tahu ramai yang menantikan konsert saya,” kongsinya.
Penantian itu nyata bertukar menjadi satu momen indah semasa konsert berlangsung. Ketika menyentuh tentang kejayaan lagu hit “Gurenge” (yang melepasi satu juta muat turun pada 2020 dan 440 juta tontonan di YouTube) LiSA mengakui beliau langsung tidak menyangka lagu itu akan terbang setinggi itu.
Walaupun sedar siri anime tersebut sangat hebat dan lagunya juga cool, beliau tidak pernah membayangkan ia bakal menjadi lagu sanjungan yang dinyanyikan oleh semua lapisan umur, dari kanak-kanak hingga dewasa. Realiti itu benar-benar dirasakannya ketika beraksi di Kuala Lumpur.
Mendengar peminat Malaysia menyanyikan lagu “Gurenge” dan “Homura” bersamanya dengan penuh semangat merupakan satu pencapaian peribadi yang cukup bermakna.
“Saya rasa itulah antara pengalaman sing-along bersama penonton yang paling hebat pernah saya alami,” kenangnya.
Inspirasi Muzik LiSA dan Persamaan Anime dengan Spider-Man
Kehebatan vokal LiSA sememangnya telah menaikkan nama banyak francais besar. Namun baru-baru ini, beliau melangkah ke dunia adiwira Amerika dengan menyanyikan “REALIZE” sebagai lagu tema filem Spider-Man. Sebagai peminat tegar adiwira tersebut, LiSA menemui persamaan menarik antara dunia anime Jepun dan komik Hollywood.
“Bila difikirkan balik, sebenarnya ada beberapa persamaan… Contohnya, cara Kirito menebas musuh sedikit sebanyak sama dengan pergerakan Spider-Man melompat dari bangunan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengambil kira perbezaan antara kedua-dua medium ini, sambil mengekalkan gambaran jelas Spider-Man berayun di celah bangunan pencakar langit dalam fikirannya sepanjang proses penulisan lagu.

Sebagai penyanyi dan penulis lagu yang prolifik selama 15 tahun, LiSA sudah tentu memerlukan sumber inspirasi yang berterusan. Apabila ditanya bagaimana beliau mengekalkan kreativiti, jawapannya spontannya:
“Makanan!”
Menyifatkan Malaysia sebagai lokasi sempurna untuk mengecas tenaga, beliau bergurau mahu pergi ke merata tempat hanya untuk makan. Di sebalik itu, LiSA sebenarnya sentiasa menyerap tenaga kreatif daripada persekitaran dengan menghayati muzik, filem, dan manga.
Bagi memastikan tiada idea yang terlepas, beliau mendisiplinkan diri untuk menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran setiap hari agar inspirasinya tidak pernah putus.
Konsep Album Baharu ‘LACE UP’ dan Sisi Peribadi LiSA di Luar Pentas
Aliran kreativiti yang berterusan ini akhirnya membuahkan hasil menerusi album terbaharunya, LACE UP. Tajuk ini tercetus daripada rutin wajib sebelum persembahan iaitu mengikat tali kasut… satu perbuatan yang membawa makna simbolik sempena ulang tahun ke-15 kariernya.
“Secara harfiah, ‘Lace up’ bermaksud mengikat tali kasut, tetapi ia juga membawa maksud menyimpulkan segala-galanya dan menyatukan semua perkara,” terang LiSA.
Beliau melihat album ini sebagai satu cara untuk mengumpulkan segala pengalaman yang dibina sepanjang kerjaya, sebelum melangkah ke babak seterusnya.
Di luar pentas stadium atau ketika berehat daripada menulis lagu hit, LiSA mencari ketenangan menerusi hobi peribadinya, terutamanya fotografi dan mengumpul barangan. Peminat sering melihat beliau membawa pelbagai jenis kamera, tetapi LiSA mendedahkan peranti pilihan utamanya kini ialah Sony Alpha 7.
Kadangkala, beliau menggabungkannya dengan kanta buatan tangan atau kanta khas untuk menangkap momen-momen khas sepanjang jelajah. LiSA juga tanpa segan silu menonjolkan sisi cerianya sebagai peminat tegar francais filem Minions.
Walaupun sudah tidak terkira jumlah barangan yang dikumpulnya selama ini, beliau pantas menamakan watak kegemarannya:
“Stuart! Stuart adalah kegemaran saya—dia Minion bermata satu, dan dia juga seorang rocker dalam filem itu. Dia main gitar. Itulah watak yang paling saya suka.”
Temu Bual Berkumpulan
Konsert Solo Pertama di Malaysia, Sambutan Tiket, dan Komunikasi Tanpa Batasan Bahasa

Beralih kepada sesi perbincangan yang lebih meluas, LiSA mengupas dengan lebih mendalam tentang emosinya mengadakan persembahan di Asia Tenggara: rantau di mana rata-rata peminat mengenali muziknya menerusi anime berbanding stesen radio tradisional.
Beliau mengimbau semula persembahan luar negara pertamanya di Singapura, di mana beliau sangat terkejut melihat betapa hebanya penonton antarabangsa menghargai muzik anime. Sebelum konsert solo pertamanya di Malaysia, rasa kagum itu ternyata semakin menebal.
Beliau menyifatkan malam konsert di Kuala Lumpur sebagai salah satu persembahan paling menakjubkan dalam hidupnya, dan amat tersentuh melihat penonton turut menyanyikan lagu-lagu dari setiap era kariernya dengan sepenuh jiwa.

Sudah sedekad berlalu sejak kali terakhir LiSA beraksi di Malaysia ketika acara Penang Anime Matsuri pada tahun 2016. Membandingkan kedua-dua pengalaman tersebut, beliau menyedari satu evolusi yang sangat besar.
Walaupun persembahan di Pulau Pinang dahulu memberikan tenaga luar biasa, skala konsert solonya kali ini berada di tahap yang sama sekali berbeza.
“Kali ini, jumlah penonton, saiz dewan—semua orang, termasuk saya sendiri, telah menjadi lebih kuat dan kembali pada aras yang baharu,” katanya yang menyifatkan pertukaran tenaga malam itu sebagai sesuatu yang cukup epik.

Hakikat bahawa tiket konsert solonya habis dijual dalam masa yang singkat pada mulanya terasa seperti mimpi.
“Sejujurnya, saya sukar untuk percaya—sehinggalah saya melihatnya dengan mata sendiri semalam,” akuinya.
Langkah pertama ke atas pentas sambil disambut lautan penonton yang sedang menanti terus mencetuskan semangat luar biasa. Ia mendorong LiSA untuk memberikan segalanya bermula dari nota muzik yang pertama, tanpa menyimpan apa-apa tenaga.
Beliau juga menyedari dinamik membuat persembahan di negara pelbagai bahasa, di mana ramai peminatnya tidak bertutur dalam bahasa Jepun. Apabila ditanya bagaimana beliau membina hubungan dengan penonton tanpa perantaraan bahasa yang sama, jawapannya hanya dalam satu perkataan: Cinta.
“Saya merasa curahan cinta daripada penonton, dari setiap sudut dewan itu,” katanya.
Mengetahui penonton hadir untuk menyokongnya, dan beliau pula naik ke pentas untuk menggembirakan mereka, telah mewujudkan satu sinergi tenaga yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Cabaran Memilih Setlist dan Rutin Selepas Konsert

Menguruskan konsert jelajah ulang tahun bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, berpandukan kata-kata motivasi peribadinya, “Satu Lagi Hari yang Hebat” (Another Great Day), LiSA berdepan dengan pelbagai cabaran. Bahagian paling sukar dalam merancang jelajah ini adalah menyusun senarai lagu (setlist).
Dengan katalog besar yang memuatkan sekitar 100 hingga 150 lagu hasil karyanya selama 15 tahun, proses mengecilkan pilihan amat merumitkan. Beliau memuji ahli band yang berdedikasi kerana berjaya menghidupkan visinya.
LiSA turut meluahkan rasa syukur kepada komuniti anime kerana membekalkan sumber visual yang menaik taraf produksi konsert tersebut. Bagi beliau, keseluruhan persembahan itu merupakan kemuncak bagi 15 tahun perjalanan seni yang dikongsi bersama.

Selepas memberikan persembahan bertenaga tinggi, ramai mungkin mengandaikan beliau akan terus berehat. Namun, rutin pasca-konsert LiSA sebenarnya sangat berdisiplin. Walaupun matlamat utamanya selepas tamat persembahan adalah untuk “merebahkan badan ke katil,” beliau masih mengutamakan peminatnya.
Ketika adrenalin masih tinggi dan emosi masih membara, beliau akan menaip semua luahan hatinya dan meminta pasukan tempatan untuk menterjemah serta memuat naiknya ke media sosial dengan segera.
“Sebab mengapa saya terus menulis di media sosial adalah kerana saya mahu berkongsi keterujaan ini dengan semua orang di seluruh dunia,” jelasnya.
Dengan memanjangkan rasa itu dan menerima reaksi serta komen secara real-time, keterujaan malam konsert tersebut akan dirasakan lebih lama.
Pengaruh Muzik Terawal, Evolusi dari ‘Letters to U’ ke ‘LACE UP’, dan Janji Kembali ke Malaysia

Untuk memahami kehebatan LiSA, kita perlu melihat kembali artis-artis yang membentuk dirinya. LiSA mendedahkan pengaruh muzik terawalnya datang daripada kumpulan pop Jepun, SPEED.
Melihat kanak-kanak perempuan sebaya dengannya (yang masih bersekolah rendah dan menengah) membuat persembahan di televisyen serta mencapai populariti luar biasa, membuatkan impiannya untuk menjadi penyanyi terasa lebih realistik.
Semakin dewasa, cita rasa muziknya berkembang kepada genre punk rock, menamakan Avril Lavigne, Green Day, dan Limp Bizkit sebagai rujukan, sebelum menyelami muzik emo dan hardcore yang lebih berat. Dicampur dengan pengaruh muzik idol Jepun, kesemua genre ini akhirnya bersatu membentuk identiti bunyi LiSA yang kita kenali hari ini.

Walaupun sudah mula menyanyi sejak kecil, saat penentu yang mengukuhkan laluan hidupnya adalah apabila beliau terpilih sebagai penyanyi untuk watak Yui dalam anime Angel Beats. Menyedari bahawa suaranya mampu sampai ke telinga orang ramai melalui watak tersebut memberikannya kegembiraan yang tidak terhingga.
“Saya terfikir: jika saya terus menyanyi, mungkin saya boleh menggembirakan semua orang,” imbaunya.

Keinginan untuk terus berhubung itu diteruskan menerusi album LACE UP. Membincangkan tentang evolusi dari mini album pertamanya, Letters to U, hingga ke karya terkini, LiSA menyedari peralihan besar dalam pemikiran seninya.
Jika Letters to U dahulu lebih tertumpu kepada meluahkan perasaan peribadinya kepada dunia, LACE UP pula bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan masa lalu dengan masa depannya.
“Sekarang, saya melihat LiSA lebih sebagai seorang artis—bukan sekadar diri saya secara peribadi, tetapi satu entiti yang dibentuk bersama seluruh pasukan saya,” jelasnya.
Ini menunjukkan bagaimana beliau lebih menitikberatkan pandangan umum dan visual terhadap identiti seninya. Beliau memberikan contoh video muzik lagunya “Patch Walk,” yang memaparkan transisi dari rakaman konsert bersama peminat Jepun hinggalah ke detik ketibaannya di Malaysia.
Ia dengan cantiknya menggambarkan jejak langkah nyata yang telah membawa LiSA ke tahap sekarang.
Sebelum mengakhiri temu bual, persoalan utama yang bermain di fikiran semua orang pastinya adakah Malaysia akan tersenarai lagi dalam konsert jelajahnya pada masa akan datang, berikutan kejayaan konsert kali ini. Jawapannya sama bertenaga seperti penampilannya di atas pentas.
“Mestilah!—Ya, semestinya! Saya pasti akan kembali,” janjinya. “Selepas menerima tenaga yang begitu hebat semalam, saya tidak boleh balik dengan tangan kosong. Macam mana saya tak kembali selepas mengalami tenaga luar biasa seperti itu? Jadi mari kita berjanji—kita jumpa lagi nanti!”
![[Eksklusif] Temu Ramah Bersama LiSA: Ratu Anisong Kongsi Segalanya, “Janji Akan Kembali Ke Malaysia!”](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/LISA_KL-INTERVIU_FI-750x375.jpg)







Discussion about this post