Digimon Adventure 02: The Beginning telah pun ditayangkan di Malaysia baru-baru ini untuk peminat-peminat tegar. Ia akan ditayangkan di GSC secara umum pada 30 November ini, jadi kami pasti ramai yang ternanti-nantikannya. Kami sendiri telah hadir ke tayangan fan screening filem tersebut pada hujung minggu yang lalu dan inilah review kami untuk filem Digimon baharu itu!

Plot tipikal Digimon yang ditambah trauma
Berlaku dua tahun selepas filem Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna, filem Digimon Adventure 02: The Beginning membawa kita bertemu semula dengan geng DigiDestined generasi kedua! Kita turut diperkenalkan dengan Lui Ohwada yang merupakan fokus utama dalam filem ini. Peristiwa ganjil di mana Digitama gergasi telah muncul menyebabkan kekecohan di seluruh dunia. Daripada situlah Daisuke yang kawan-kawannya bertemu dengan Lui yang nampaknya ingin berkomunikasi dengan Digitama tersebut. Bayangkan betapa terkejutnya mereka apabila mengetahui bahawa Lui sebenarnya DigiDestined pertama dan Digitama tersebut adalah Digimonnya Ukkomon.

Jalan cerita untuk filem ini sangatlah tipikal seperti siri Digimon yang kita sering lihat. Malangnya tumpuan filem ini bukanlah pada geng Digimon Adventure 02 tetapi lebih kepada kisah Lui dan bagaimana dia berkait dengan DigiDestined yang lain. Tetapi ceritanya boleh tahan gelap juga, kerana ia ada melibatkan perkara yang boleh memberi trauma seperti penderaan kanak-kanak dan babak lain melibatkan Ukkomon. Jadi memang tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 13 untuk menontonnya. Kami juga agak terkejut melihat beberapa babak yang ditayangkan dalam filem ini. Memang vibe yang berbeza daripada siri animenya.

Walaupun begitu, filem ini gagal meninggalkan impak yang besar seperti filem sebelumnya. Ia juga tidak menunjukkan banyak scene pertarungan dan lebih tertumpu kepada komunikasi antara watak dan Digimon. Jadi kalau anda inginkan babak lawan-lawan itu, anda mungkin sedikit kecewa dengan filem ini. Tetapi kalau anda peminat Digimon, memang anda akan rasa nostagik lebih-lebih lagi melihat babak evolusi dengan grafik yang lebih baharu. Memang kami hype habis melihat semua Jogress Evolution ditambah pula dengan muzik latarnya.
Animasi dan CGI yang baik
Keseluruhan animasi serta CGI dalam filem tersebut cukup baik bagi kami. Ia tidak terasa janggal apabila menontonnya. Agak bijak juga melihat penggunaan CGI dalam filem itu, kerana kebanyakkan scene tersebut sungguh pantas, membuatkan penonton sukar untuk mengenalpasti CGI tersebut. Visual yang ditayangkan semasa detik gelap hidup Lui juga mampu membuatkan kami sendiri meremang menontonnya. Paling hebat sekali sudah tentu babak-babak evolusi yang nampaknya mendapat wajah baharu tetapi mengekalkan elemen siri anime. Ditambah dengan skrin pawagam yang besar, ia kelihatan sangat epik.
Muzik yang membawa ke zaman kanak-kanak
Peminat Digimon yang membesar dengan siri anime ini pasti teruja mendengar semula lagu opening filem, Target: Akai Shogeki yang dinyanyikan oleh Koji Wada. Semasa lagu itu dimainkan, penonton akan melihat kesemua geng Digimon Adventure 02 yang sudah dewasa bersama-sama Digimon mereka. BGM lain dalam filem juga memberikan keseimbangan yang baik antara babak epik. Tidak banyak yang kami boleh kemon mengenai efek kerana, ianya sudah cukup baik untuk setiap babak. Cuma sayangnya semasa evolution, lagu Break up! tidak dimainkan.
Kesimpulan
Sejujurnya filem ini rasa seperti sebuah filem yang dihasilkan untuk mengubat rindu peminat Digimon Adventure 02 dengan babak-babak evolusinya serta melihat ragam daripada watak-watak siri anime. Disebabkan kita hanya bertemu mereka sekejap sahaja dalam filem Last Evolution Kizuna, tidak peliklah mengapa kita dapat melihat mereka pula beraksi dalam filem baru ini. Walaupun begitu, mereka bukanlah fokus utama filem, dan hanya seperti watak sampingan untuk membantu Lui dalam berbaik semula dengan Ukkomon. Bercerita tentang temanya yang agak gelap, ia mengingatkan kami kepada penceritaan Digimon Survive dicampur pula dengan Digimon Ghost Game. Kalau anda tonton, anda juga pasti akan terkejut.

Walaupun ia tidak memberikan impak yang besar seperti filem sebelumnya, tetapi kami puas hati dengan penamatnya. Ia juga seperti memberi ruang untuk filem baru, kalau Toei Animation ingin menghasilkannya. Ada kemungkinan kita boleh mendapat filem baru yang boleh mengisi kekosongan dalam timeline siri Digimon Adventure. Apa pun, kami memang syorkan filem ini untuk semua peminat Digimon tonton. Tetapi ingat, ceritanya tidaklah seceria siri animenya.
Untuk membaca review lain daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post