Langkah melagakan Mobile Suit dengan makhluk asing gergasi, dan bukannya tentera musuh, adalah antara perubahan paling berani dalam sejarah francais Gundam. Selepas mencuba sendiri aksi ini dalam Gundam Rogue Orbit, kami berpeluang menemubual Produser Utama Yuya Tomiyama, dan Pengarah Yoshiyuki Serizawa.

Mereka berkongsi sebab di sebalik perubahan besar ini, bagaimana cerita permainan dibina bersama sebuah projek anime baharu, serta usaha menghasilkan game mecha single-player berkualiti yang boleh dinikmati oleh pemain di seluruh dunia.
Tarikan Aksi Melawan Musuh Lebih Besar Daripada Mobile Suit

Sudah berpuluh tahun siri Gundam terkenal dengan pertarungan sesama Mobile Suit. Tetapi Gundam Rogue Orbit mengubah perkara itu dengan meletakkan pemain berdepan hidupan luar angkasa gergasi yang dipanggil Apocalypse. Menurut pembangun, pilihan ini datang daripada matlamat asal mereka iaitu menghasilkan sebuah game aksi close-combat yang senang difahami, ada impak yang kuat, dan menarik minat pemain di seluruh dunia.
“Bila Mobile Suit berlawan dengan Mobile Suit, saiz mereka lebih kurang sama. Jadi kali ini, fokus kami adalah menewaskan musuh gergasi yang kuat,” jelas Serizawa.
“Dengan mencipta babak aksi di mana anda menentang Apocalypse yang saiznya jauh lebih besar daripada Mobile Suit anda sendiri, kami memilih pendekatan ini kerana kami mahu mereka yang meminati game aksi, terutamanya game aksi berasaskan jentera mekanikal, untuk merasai pengalamannya terlebih dahulu.”

Bila ditanya sama ada konsep raksasa atau aksi jarak dekat yang dipilih dahulu, Tomiyama memberitahu bahawa kedua-dua idea ini sebenarnya dibuat sekali melalui pelbagai ujian dan prototaip.
“Kami sudah lama meneliti pelbagai aspek projek ini, jadi susah untuk kami katakan yang mana satu datang dulu,” kata Tomiyama.
“Kami mencari jalan bagaimana untuk jadikan game ini menarik dari pelbagai sudut, dan demi membawakan sebuah game Gundam kepada orang ramai di seluruh dunia, kami kaji bentuk game apa yang paling sesuai. Hasil daripada pelbagai kajian dari pelbagai perspektif itulah, kami akhirnya tiba pada bentuk yang ada sekarang.”

Kajian itu akhirnya meyakinkan pihak pembangun bahawa musuh bersaiz gergasi mampu memberikan rasa saspens, impak serangan yang jelas, serta kepuasan sebenar yang diperlukan untuk game combat jarak dekat.
Kerjasama Anime dan Pengalaman ‘Ace Pilot’ Sehingga 20 Jam
Dunia Gundam Rogue Orbit tidak dibuat secara berasingan. Pada awal perancangan projek ini, Bandai Namco Filmworks turut memulakan projek anime di bawah Pengarah Kenji Kamiyama. Daripada buat dua cerita berlainan, pasukan pembangun memilih untuk menggabungkan usaha kreatif mereka.
“Projek game ini sebenarnya bermula dahulu, dengan matlamat untuk menyampaikan sebuah game Gundam kepada orang ramai di seluruh dunia yang masih belum mengenali siri ini,” imbas Tomiyama.
“Selepas itu, projek anime pula bermula, dan kami mula bekerjasama membina dunia serta latar ceritanya. Pengarah Kamiyama mengambil alih projek anime tersebut, dan dari situ perbincangan tentang world-building bermula.”
Beberapa staf daripada pembangunan game turut menyertai mesyuarat Pengarah Kamiyama supaya mereka dapat berkongsi gaya seni dan latar belakang dunia yang sama. Pasukan game kemudian mengambil latar dunia anime yang dibina oleh Kamiyama dan memasukkannya terus ke dalam jalan cerita game ini.
Kemasukan makhluk asing sudah tentu menimbulkan persoalan tentang bagaimana game ini mengekalkan ciri asal Gundam yang biasanya berkisar tentang perang sesama manusia. Tomiyama menegaskan bahawa kehadiran makhluk asing ini tidak mengetepikan aspek emosi dalam jalan cerita.
“Satu perkara yang kami beri penekanan khusus ialah drama kemanusiaan antara watak-watak di dalamnya,” tegas beliau.
“Walaupun pertarungan berlaku antara Mobile Suit dan hidupan luar angkasa, kami tetap mahu memastikan bahawa kami tidak terlepas pandang dalam menggambarkan drama antara manusia sewaktu mereka berdepan dengan ancaman sebesar itu.”

Bagi Serizawa pula, drama antara watak ini sangat penting untuk menghasilkan sebuah game single-player original yang jarang dibuat untuk Gundam sebelum ini.
“Konsep Gundam Rogue Orbit adalah untuk memberi pemain pengalaman menjadi seorang ace pilot dalam dunia Gundam,” kata Serizawa.
“Saya rasa belum ada game Gundam seperti ini yang menyampaikan pengalaman single-player original dengan begitu baik. Dengan melakukannya secara bersungguh-sungguh, kami mahu orang ramai di seluruh dunia mengenali apa itu game Gundam.”

Untuk menamatkan cerita utama game ini, pemain memerlukan masa yang sederhana panjang.
“Saya anggarkan ia akan mengambil masa kira-kira 20 jam untuk menamatkan jalan cerita game ini,” jelas Tomiyama.
Bagi pemain yang mahukan kandungan yang lebih banyak, beliau memberitahu bahawa game ini tidak habis setakat cerita itu sahaja:
“Ada pelbagai perkara lain seperti membina kesemua senjata, serta mod multiplayer sebagai kandungan endgame untuk pemain yang mahu meneroka lebih jauh. Jika anda sertakan perkara-perkara tersebut, saya rasa masa bermain yang boleh anda nikmati akan jadi lebih panjang.”
Tiga Pilihan Senjata, Cara Rosakkan Bahagian Musuh, dan Sebab Guna Satu Lock-On

Dalam sesi demo ini, kami sempat menguji tiga gaya serangan: Assault Sword yang seimbang, Whip Sword dengan hayunan serangan yang luas, serta Sword Lance untuk serangan jarak sederhana. Pembangun menjelaskan bahawa mereka sengaja tidak buat misi yang memaksa pemain guna senjata tertentu, supaya pemain bebas memilih dan melatih gaya yang mereka suka.
“Gaya combat berubah secara ketara bergantung kepada senjata yang digunakan,” kata Serizawa.
“Assault Sword agak standard, mempunyai charge attack dan kebolehan bergerak di udara menggunakan anchor. Whip Sword pula boleh membuat serangan di kawasan yang sangat luas. Sword Lance pula boleh buat serangan meluru dari jarak sederhana dan sangat berkesan dalam combat jarak sederhana menggunakan Beam Phalanx.”

Daripada buat satu senjata terlalu kuat dan satu lagi lemah, mereka seimbangkan senjata dari segi kuasa tembakan, jarak, kawasan serangan, dan kelajuan recharge.
“Jika anda suka kelebihan pada sesuatu senjata itu, anda boleh guna dan buat customization untuk tingkatkan lagi kelebihannya. Sebaliknya, anda juga boleh guna customization untuk tampung kelemahannya. Begitulah pendekatan level design yang kami gunakan.”

Combat jadi lebih menarik dengan adanya sistem musnahkan bahagian musuh. Memutuskan bahagian badan musuh gergasi (seperti sayap pada Drake atau ekor Chimera) sangat membantu untuk mengawal combat. Walaupun senjata macam Whip Sword senang untuk kena bahagian-bahagian ini, Serizawa berkongsi satu mekanik penting yang tiada tutorial dalam demo kami: Tactical Skills.
“Saya minta maaf sangat pasal hal ini, kali ini memang tiada tutorial, jadi kami tidak dapat sampaikan dengan jelas bahawa Tactical Skills sebenarnya wujud,” ujar Serizawa sambil tersenyum.
“Jika anda gunakannya, anda boleh guna Tactical Skills serangan luas, atau skil jenis tusukan dan meluru untuk sasarkan bahagian tertentu supaya musnah.”

Beliau turut memberitahu bahawa setiap senjata ada cara sendiri untuk selesaikan masalah. Contohnya, walaupun serangan berat Triangle di udara untuk Assault Sword menghayun ke bawah dan susah untuk mengena sayap Drake, pemain boleh guna skil taktikal macam ‘Iaigiri’ untuk ubah sudut libasan supaya kena tepat pada sayap itu.
Selain itu, pertarungan boss juga ada waktu kelemahan khas melalui tolok kuning di bawah bar HP musuh.
“Itu adalah down gauge, lebih kurang macam stagger gauge,” jelas Serizawa.
“Bila musuh tumbang, bahagian seperti ekor dan sayapnya jadi sangat mudah untuk disasarkan. Jadi anda boleh bergerak ke arah bahagian tersebut dan gunakan Tactical Skills, yang menjadikannya sangat berkesan untuk memusnahkan anggota itu.”

Walaupun game ini fokus pada memusnahkan bahagian musuh, pemain mungkin perasan bahawa tiada sistem ‘sub-target lock-on’ untuk kunci setiap bahagian badan. Serizawa menjelaskan pilihan ini dibuat supaya pergerakan di udara kekal lancar.
“Kami sebenarnya lalui banyak proses ‘cuba-jaya’ sebelum tetapkan bentuk yang ada sekarang. Memandangkan game ini banyak aksi di udara, kami mahu mudahkan pemain membidik secara lebih semula jadi,” jelasnya.

Mengunci bahagian kecil satu demi satu sambil mengawal pergerakan mecha dan kamera boleh buat kawalan jadi susah, terutamanya bila berdepan objek besar seperti kapal pengangkut Drake. Jadi, mereka kekalkan sistem ‘single target lock’. Ini membolehkan pemain halakan serangan ke bahagian musuh menggunakan kayu analog, guna bantuan Tactical Skills kawasan luas, atau serang waktu musuh sedang tumbang di atas tanah.
Game Penuh Dalam Cakera, Skin RX-78-2 Untuk Semua, dan Gunpla
Sekarang ini, banyak game fizikal cuma jadi ‘kunci lesen’ yang memerlukan muat turun data yang besar. Namun, Serizawa mengesahkan berita baik: keseluruhan game Gundam Rogue Orbit boleh terus dimainkan daripada cakera Blu-ray.
“Ada kemungkinan kami akan keluarkan patch sekiranya ada sebarang isu timbul, tetapi dari segi memainkan game itu sendiri, sudah tentu keseluruhan game boleh dimainkan terus dari cakera,” tegas beliau.
“Kami sedang bekerja keras dalam fasa pembangunan sekarang supaya tiada keperluan untuk sebarang patch nanti.”

Mengenai kosmetik dan edisi permainan, Tomiyama menjelaskan bahawa pengumuman setakat ini hanyalah untuk Digital Deluxe Edition dan Collector’s Edition, dan belum ada pelan lain buat masa ini. Tetapi, beliau memberi jaminan bahawa Mobile Suit paling ikonik tidak akan dikunci di sebalik bayaran tambahan:
“RX-78-2 Gundam akan disediakan untuk semua orang gunakan, jadi kami amat berharap semua pemain dapat menggunakannya dan berseronok.”

Akhir sekali, perbualan dengan pembangun Gundam tidak lengkap jika tidak tanya pasal Gunpla. Tetapi bila ditanya sama ada kit Gunpla rasmi untuk mecha original Gundam Rogue Orbit akan dikeluarkan, Serizawa cuma tersenyum dan menyimpan rahsia.
“Minta maaf sangat, buat masa ini tidak banyak yang kami boleh kongsikan,” jawab beliau.
“Kami harap anda semua nantikan pengumuman seterusnya pada masa akan datang.”
Game ini akan dilancarkan bermula 5 Mac 2027 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] Previu Gundam Rogue Orbit – Melawan Boss Chimera & Pengenalan Sistem Customization](https://cdn.gamersantai.com/2026/10/GUNDAM-ROGUE-ORBIT_PREVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post