Selama bertahun-tahun, Denuvo dianggap sebagai kubu kuat yang menghalang aktiviti cetak rompak game PC. Selalunya, sistem ini mampu bertahan selama berbulan-bulan sebelum sesuatu game itu akhirnya berjaya di-“crack.” Namun, pada hujung April 2026, kubu tersebut nampaknya sudah runtuh.
Menurut laporan terbaru daripada komuniti cetak rompak, FitGirl (salah satu nama besar dalam game repacking) baru-baru ini mendakwa bahawa setiap game single-player (bukan VR) yang menggunakan Denuvo kini telah berjaya di-bypass.
Kaedah Hypervisor

Pencapain ini bermula bulan lepas apabila seorang penggodam yang dikenali sebagai Voices38 berjaya menggodam Resident Evil Requiem. Ia merupakan judul besar pertama bagi tahun 2026 yang tewas di tangan penggodam. Sejak itu, lebih banyak game mula menjadi mangsa.
Berbeza dengan kaedah “true crack” biasa yang mengubah kod game untuk membuang sistem DRM sepenuhnya, versi baharu ini menggunakan kaedah yang dipanggil “Hypervisor.”
Secara ringkas, perisian ini berjalan di bawah sistem operasi Windows, dan memperdayakan Denuvo supaya percaya bahawa game tersebut sedang dimainkan pada perkakasan yang sah dengan memalsukan isyarat perkakasan tersebut.
Kelajuan proses bypass ini amat mengejutkan. Sebagai contoh, game Pragmata keluaran Capcom didakwa sudah di-bypass Hypervisor sebelum game itu dilancarkan secara rasmi.
Risiko Tinggi Buat Pemain

Walaupun golongan pencetak rompak meraikan berita ini, pakar keselamatan mula memberikan amaran keras. Menggunakan bypass Hypervisor tidak semudah… atau seselamat seperti menjalankan patch biasa.
Disebabkan alat ini beroperasi pada tahap “Ring -1” (tahap akses yang lebih dalam daripada kernel Windows itu sendiri), pengguna terpaksa mematikan hampir semua ciri keselamatan pada PC mereka untuk membolehkannya berfungsi.
Apabila perisian dijalankan pada tahap ini, pengguna seolah-olah menyerahkan kawalan penuh PC mereka kepada pihak ketiga. Jika tool bypass ini mengandungi perisian malware, antivirus biasa hampir mustahil untuk mengesan atau menyekatnya.









Discussion about this post