Pembangun Cold Symmetry mengumumkan bahawa mereka ingin memberi pemain Mortal Shell pengembangan The Virtuous Cycle secara PERCUMA! Selama lima hari, bermula dari 18 Ogos sehingga 23 Ogos ini, anda akan menerima pengembangan game pertama secara percuma dan boleh dituntut. Tawaran istimewa ini adalah sempena meraikan ulang tahun Mortal Shell yang pertama.
Pek pengembangan The Virtuous Cycle menambah mod roguelike ke Mortal Shell. Terdapat lebih dari 100 peningkatan baru untuk didapatkan, serta anda boleh mencuba bermain Shell baru yang pernah dimiliki oleh Hadern. Ia juga mempunyai beberapa senjata baru seperti Axatana yang dapat bertukar menjadi kapak berat dan sepasang katana dengan pantas.
Menurut ketua PC dan Konsol di PlayStack, iaitu Kiron Ramdewar menyatakan sejak dilancarkan pada bulan Ogos 2020, mereka telah memikirkan bagaimana untuk memberi pemain sesuatu yang sangat istimewa yang menunjukkan penghargaan ikhlas atas sokongan peminat. Pengembangan The Virtuous Cycle telah dikemaskini dengan kandungan akan digemari oleh peminat genre ini, serta ia menyediakan cara baru unik untuk merasai dunia Mortal Shell. Mereka juga tidak sabar untuk melihat bagaimana pemain baru dan lama akan mengatasi mod roguelike yang disediakan ketika mengembara lebih jauh di Fallgrim.
Berdasarkan penerangan dari laman Steam, Mortal Shell adalah sebuah game Action-RPG menguji kewarasan dan ketahanan pemain dalam dunia yang sudah hancur. Musuh di dalam game ini tidak mempunyai belas kasihan, dan anda perlu bertahan hidup melalui ketelitian serta memiliki naluri yang peka. Anda akan bermain sebagai pahlawan yang hilang, mengesan tempat perlindungan tersembunyi dan menghadapi musuh hebat.
Untuk menuntut tawaran ini, anda perlu memiliki game asas di platform yang ingin dimainkan. Anda boleh bermain game ini di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam. Malah, mereka yang sudah memiliki Mortal di PS4 dan Xbox One layak untuk mendapat peningkatan percuma ke versi PS5 serta Xbox Series X|S, iaitu Mortal Shell: Enhanced Edition. Setelah tempoh tawaran ini tamat, The Virtuous Cycle akan kembali ke harga asal iaitu USD $8 (anggaran RM33.91).
Pemain Mortal Shell boleh mula mendapatkan kandungan The Virtuous Cycle dari 18 sehingga 23 Ogos ini secara percuma, sebelum ia kembali ke harga asal. Bagi yang berminat, anda boleh membaca review kami mengenai Mortal Shell dan segala liputan berkaitan game ini di pautan tersedia.
@gamersantaimy
Discussion about this post