Pearl Abyss mengumumkan bahawa game open-world action-adventure miliknya, Crimson Desert, secara rasmi telah menjual lebih 6 juta salinan di seluruh dunia. Pencapaian ini diraih dalam masa 83 hari sahaja selepas pelancaran global game berkenaan pada 19 Mac 2026.
Game ini asalnya menjual sebanyak 2 juta salinan pada hari pertama pelancarannya lalu melepasi angka 5 juta dalam masa kurang daripada sebulan. Kejayaan mencecah jualan 6 juta salinan dalam tempoh tiga bulan merupakan satu pencapaian yang besar, menjadikannya pelancaran paling berjaya bagi judul single-player yang dibangunkan oleh studio dari Korea Selatan.
Pencapaian ini amat bermakna kerana Crimson Desert merupakan sebuah IP serba baharu di dalam pasaran game single-player yang biasanya dikuasai oleh francais terkenal yang sudah lama bertapak.
Pelbagai pihak media turut mengetengahkan kadar ‘player retention’ yang tinggi bagi game ini, yang didorong oleh skala dunianya yang sangat luas serta sokongan post-launch yang aktif.
Pemain akan memegang watak sebagai Kliff, ketua kumpulan tentera upahan yang dikenali sebagai Greymanes. Selepas serangan hendap oleh kumpulan musuh Black Bears menyebabkan rakan-rakannya terkorban dan berpecah-belah, Kliff perlu mengembara merentasi Pywel untuk membina semula kumpulannya, membina pakatan baharu, serta membongkar ancaman besar yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.
Memandang ke hadapan, Pearl Abyss telah merangka pelbagai rancangan untuk mengekalkan minat pemain bagi tempoh akan datang. Pihak pembangun baru-baru ini mendedahkan roadmap dari bulan Jun hingga September 2026. Senarai kemas kini percuma yang dirancang ini merangkumi penambahbaikan jalan cerita (khususnya untuk menjadikan naratif lebih menarik) di samping ciri combat baharu, sokongan cross-save antara PC, konsol PlayStation dan Xbox, serta penambahbaikan quality-of-life berterusan. Studio itu juga mengesahkan bahawa expansion DLC khas sedang aktif dibangunkan, di mana butiran lanjut akan dikongsi dalam beberapa bulan akan datang.
Crimson Desert boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC.








Discussion about this post