Netflix telah secara rasmi mengesahkan bahawa Cole Escola akan menyertai barisan pelakon dalam musim ketiga siri adaptasi live action “One Piece” ciptaan Eiichiro Oda. Escola, yang dikenali melalui lakonannya dalam “Oh, Mary!,” “Search Party,” “At Home With Amy Sedaris,” dan “Big Mouth,” akan membawa watak yang sangat diminati ramai, iaitu Bon Clay, atau Mr. 2.
Berita pemilihan pelakon ini hadir serentak dengan persediaan kru produksi untuk memulakan semula penggambaran musim ketiga di Cape Town, Afrika Selatan, menjelang penghujung tahun ini. Sebelum ini, kelulusan untuk musim ketiga telah pun diberikan lebih awal sewaktu acara sambutan tahunan Hari ONE PIECE di Tokyo.
Sementara menanti ketibaan musim ketiga, para peminat boleh menjangkakan tayangan musim kedua, yang diberi judul “One Piece: Into the Grand Line,” pada 10 Mac 2026 di platform Netflix.
Untuk memberi gambaran kepada penonton tentang apa yang bakal tiba, Netflix turut melancarkan sebuah video belakang tabir bertajuk “Heading to the Grand Line”, yang memaparkan komen daripada barisan pelakon utama serta klip-klip eksklusif dari musim yang akan datang.
Dalam musim terbaharu ini, perjalanan Straw Hat Pirates akan diteruskan dengan di lautan yang penuh cabaran, iaitu Grand Line.
Para penonton akan dibawa ke beberapa lokasi ikonik yang baharu, antaranya termasuklah Reverse Mountain yang menentang hukum graviti, Whiskey Peak yang menjadi tumpuan para lanun, pulau prasejarah Little Garden, serta Drum Island yang dilitupi salji.
Bagi yang kurang tahu, siri ini berpusat pada Monkey D. Luffy (lakonan Iñaki Godoy), seorang pemuda yang berazam untuk menjadi Pirate King dengan mencari harta karun legenda yang dikenali sebagai One Piece.
Dalam misinya, dia ditemani oleh rakan-rakan yang sentiasa di sisinya, terdiri daripada ahli pedang Roronoa Zoro (Mackenyu), pakar navigasi Nami (Emily Rudd), pencerita berbakat Usopp (Jacob Romero), serta tukang masak hebat, Sanji (Taz Skylar).









Discussion about this post