Di acara next@acer, Acer mengumumkan banyak produk komputer untuk urusan pejabat dan gaming. Selain laptop Vero yang temany adalah perlindungan alam sekitar, mereka juga mengumumkan peranti Predator dengan teknologi SpatialLabs. Untuk belajar lebih lagi tentang rancangan semasa dan akan datang serta hala tuju mereka, saya bertuah kerana dapat interview bersama Andrew Hou, Ketua Pegawai Operasi Acer untuk Asia Pasifik.

Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah isi kandungan di dalam interview (interview telah di-edit untuk memudahkan pembacaan):
Aspek e-sukan
Adakah Predator League akan kembali dalam format luar talian sepenuhnya atau adakah ia akan diadakan dalam format hibrid (dalam talian dan luar talian)?
Hou: Predator League tahun ini adalah kejohanan luar talian. Kami akan menghantar pemain ke Jepun , yang merupakan kejohanan luar talian. Kami masih merancang butiran lain, yang akan kami keluarkan secara berasingan selepas menyelesaikannya.
Sejak Predator League bermula pada 2018, apakah kesannya terhadap produk e-sukan Acer?
Hou: Sebenarnya, Predator League telah meningkatkan jenama kami dengan sangat baik. Kita semua tahu bahawa jenama Acer lebih merupakan jenama yang kos efektif pada masa lalu. Pengguna membeli produk Acer kerana harganya yang bagus, itulah tanggapan semua orang terhadap Acer.
Tetapi sejak kami melancarkan siri Predator dengan Predator League, ia telah menjadi jenama e-sukan yang mewah dan bangsawan. Itulah sebabnya siri Predator diterima dengan baik di Vietnam dan Filipina. Kerana Predator League juga, kami dapat mengekalkan komuniti pemain gamer dengan betul di setiap rantau dan memastikan keseluruhan ekosistem tahu tentang jenama Predator.

Bila minuman tenaga e-sukan Predator Shot akan memasuki pasaran di majoriti negara Asia?
Hou: Sebenarnya, produksi minuman tenaga dan produk komputer adalah dua perkara yang sama sekali berbeza, kerana kerajaan negara mempunyai banyak sekatan tempatan. Jadi, kami melancarkan Predator Shot di Thailand tahun ini, dan akan mencubanya di sana dahulu. Jika berjaya di Thailand, ia akan memudahkan urusan untuk eksport ke negara Asia Tenggara lain. Jadi nantikannya, kami memang ada rancangan, tetapi perlu memikirkan sekatan tempatan terlebih dahulu.

Teknologi pada masa depan
Apakah teknologi inovatif yang ada dalam laptop gaming Acer semasa untuk menyerlah di pasaran Asia-Pasifik?
Hou: Jika anda mengikuti persidangan dalam talian next@acer, anda akan tahu bahawa laptop gaming kami akan mempunyai teknologi SpatialLabs dan laptop gaming baru yang boleh memberikan kesan visual 3D. Selain itu, anda boleh menjalankan lebih daripada 50 game di SpatialLabs TrueGame, untuk bermain semua game tersebut dalam 3D.
Laptop Predator Helios 300 SpatialLabs Edition akan datang boleh menyokong hingga 50 game melalui ciri tersebut. Kami akan melihat tindak balas dan kemudian melaksanakan pembaikan pada semua notebook gaming, desktop gaming dan laptop gaming.

Memandangkan Acer ingin beralih ke arah VR gaming, apakah yang ditawarkan oleh 3D gaming? Adakah VR pun dalam rancangan untuk masa hadapan?
Hou: Kami tidak akan bercakap tentang VR buat masa sekarang. Kami memfokuskan pada SpatialLabs , iaitu pengalaman 3D tanpa cermin mata 3D. Acer percaya bahawa VR memerlukan lebih banyak kepakaran, jadi itulah sebabnya kami mereka bentuk produk SpatialLabs.
Visi dalam pasaran
Adakah Acer akan berkembang ke pasaran selain daripada komputer dan produk IT?
Hou: Ya kerana pasaran IT tradisional agak kompetitif, kami berfikir untuk mengubah Acer menjadi jenama yang memfokuskan pada gaya hidup. Kami ingin terlibat dalam kehidupan orang ramai. Jadi kami kini mempunyai Acerpure, dan Predator Shot. Saya rasa ini adalah keputusan yang baik kerana jika kami hanya adalah jenama IT, akan ada banyak kekangan. Jadi kami akan bergerak ke arah jenama IT berbeza yang memfokuskan pada gaya hidup.
Bagaimanakah Acer merancang untuk terus membangunkan pasaran notebook nipis dan ringan di Asia? Selain itu, apakah perkara yang paling mencabar menjadi salah seorang peneraju untuk jenis produk seperti ini?
Hou: Laptop dan laptop gaming nipis dan ringan akan menjadi segmen pasaran yang paling penting dan kami perlu memastikan bahawa kami masih berada di puncak pasaran. Tetapi, terdapat banyak persaingan dalam pasaran dan banyak jenama komputer mula tetapkan harga dengan lebih agresif, dan mengatasi kedudukan kami dalam pasaran. Di bahagian lain adalah Apple. Pemproses baharu dan laptop nipis dan ringan mereka juga mula jadi agresif.
Jadi saya rasa ini adalah cabaran kami yang paling sukar: satu ialah persaingan harga, dan satu lagi ialah Apple. Walau bagaimanapun, persaingan dalam pasaran komputer bukanlah satu atau dua hari. Sudah kira-kira 10 tahun, dan setiap tahun ada cabaran baru. Kami akan terus melancarkan produk yang lebih kompetitif untuk mengekalkan kedudukan dalam pasaran.

Apakah produk utama Acer pada 2022?
Hou: Salah satu daripadanya ialah laptop gaming SpatialLabs dan kedua adalah barisan produk Vero. Pada 2022, kami bukan sahaja melancarkan versi 15-inci tahun lepas, kami juga mempunyai versi 14-inci pada tahun ini, dan pelbagai jenis produk Vero, termasuk aksesori, beg galas dan pakaian. Barisan Vero mempunyai siri yang berbeza, jadi itu pastinya akan menjadi kunci kepada produk utama kami untuk tahun ini.
Keadaan semasa/selepas pandemik
Selepas wabak, apakah fokus dan strategi produk Acer?
Hou: Ada dua. Pertama sekali, saya baru sahaja menyebut produk Vero, yang akan menjadi produk utama dan wira kami. Yang kedua adalah antibakteria . Kami ingin memberikan jenis produk baru selepas wabak.
Bagaimana Acer akan memulakan semula pemasaran produk selepas wabak
Hou: Itulah sebabnya kami akan mengumumkan dua acara hebat, satu ialah Acer Day dan satu lagi adalah Predator League. Untuk Acer Day tahun ini, kami akan mengadakan acara yang lebih hebat berbanding tahun lepas.
Bagi Predator League, saya ada kata bahawa kejohanan luar talian akan diadakan di Jepun. Semua negara akan mengadakan perlawanan akhir di negara masing-masing sekitar hujung tahun (suku ke-3). Oleh itu, saya juga menyeru semua negara untuk menjadikan acara ini lebih besar lagi. Semoga ini akan menjadikan pemasaran lebih baik.

Isu kekurangan stok
Rantaian bekalan telah terjejas hingga sekarang. Bagaimanakah Acer menyediakan solusi dari segi membekalkan produk untuk mengelakkan masalah bekalan?
Hou: Aspek bekalan telah menjadi masalah besar sejak permulaan wabak pada tahun 2020. Dan tahun ini, kami fikir keadaan akan menjadi lebih baik, tetapi kerana bandar utama di China, terutamanya Shanghai, berada dalam keadaan kurungan berperintah, ia secara tidak langsung menjejaskan keseluruhan ekosistem bekalan laptop. Jadi sehingga tahun ini, masih terdapat kekurangan bahagian.
Kami juga sedang memikirkan perkara ini secara dalaman dan pasukan produk berfikir, “mungkin kami harus mempunyai sumber kedua untuk alat ganti, atau penggantian bagi bahagian tersebut. Inilah yang kami lakukan apabila mereka bentuk produk baru.
Berapa lama anda rasa isu kekurangan cip akan berterusan? Adakah ini akan menjejaskan tawaran produk Acer?
Hou: Saya rasa isu kekurangan cip jauh lebih baik sekarang berbanding tahun lepas. Tetapi kini masalahnya bukan pada cip: keadaan bekalan cip akan terus bertambah baik pada suku kedua dan ia akan menjadi lebih baik pada suku ketiga. Tetapi masalahnya sekarang ialah cip ini tersekat di kilang China.
Situasi kekurangan cip telah bertambah baik dan kami rasa tidak akan ada masalah kekurangan cip menjelang suku ke-4. Tetapi seperti yang dikatakan sebelum ini, kami juga cuba mereka bentuk sendiri beberapa bahagian dan bukannya memberi tumpuan kepada satu pembekal.

Bantu jaga alam sekitar
Adakah anda rasa pasaran Asia Tenggara bersedia untuk komputer mesra alam?
Hou: Sama seperti sebelum ini, penduduk di negara maju akan lebih bersedia untuk membeli komputer mesra alam. Walau bagaimanapun, selepas analisis kami, kami mendapati penduduk Asia Tenggara turut mementingkan perlindungan alam sekitar. Kerana kita percaya bahawa negara-negara Asia Tenggara boleh melakukan ini lebih awal daripada negara maju dan menyelamatkan planet ini.
Kalau hendak bercakap tentang peratusan, sebenarnya peratusan rakyat Asia Tenggara yang mengambil berat tentang perlindungan alam sekitar dan bumi adalah sama dengan negara maju. Kira-kira 5% orang di kedua-dua pihak mengambil berat tentang perkara ini.
Dan apa yang perlu kita lakukan adalah untuk terus mengembangkan 5% ini, yang merupakan kuncinya. Saya rasa ia sama sahaja sama ada di negara maju atau negara yang sedang membangun.
Di negara maju, persaingan harga komputer lebih kuat, dan ramai orang sangat sensitif terhadap harga produk. Jadi kita tidak tahu sama ada mereka akan membeli komputer mesra alam. Itulah sebabnya kami meningkatkan usaha untuk mempromosikan komputer mesra alam di Asia Tenggara dan berharap ini akan menjadi garis panduan untuk Acer.

Bagaimanakah Acer menilai kemajuan di dalam proses kemampanan?
Hou: Ini adalah masalah besar. Jika kita akan mencapai matlamat RE 100 menjelang 2035, kita akan bergantung pada matlamat yang nilainya datang dari kaedah pengiraan. Ia seolah-olah kita perlu mencapai matlamat itu pada 2028, dan kemudian pada 2030 dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, ini sebenarnya lebih kepada pemantauan dan kawalan masyarakat terhadap kami. Masyarakat akan memberitahu apa yang perlu kami lakukan. Selain itu, kerajaan Taiwan juga memerlukan syarikat besar untuk mengambil kira tentang kemampanan , jadi kami perlu mematuhi peraturan kerajaan. Di samping perkara yang sudah ada peraturan, kita juga akan memikirkan matlamat yang belum kita nampak.

Maka, tamatlah interview eksklusif kami bersama Andrew Hou selaku Ketua Pegawai Operasi Acer Asia Pasifik. harap semua makin lega selepas dengar masalah cip akan berkurangan menjelang tahun ini. Pada masa yang sama, Acer pasti akan menambah produk yang lebih canggih pada masa akan datang.
Untuk segala liputan kami tentang Acer, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post