Baru-baru ini, Gearbox Software dan 2K telah mengumumkan maklumat bagi update Version1.8 untuk Borderlands 4, yang dijadualkan keluar pada 25 Jun. Kemas kini ini membawakan kandungan endgame percuma dan berbayar, di samping ciri cross-platform save.
Bermula 25 Jun, pemain boleh memindahkan kemajuan Vault Hunter mereka ke mana-mana platform pilihan yang memiliki Borderlands 4. Ciri baharu ini diperkenalkan bagi melancarkan lagi peralihan antara konsol dan PC.
Selesaikan Misteri Digital dalam ‘Bounty Pack 3: A Zane to Kill For’
Buat pemain yang inginkan kandungan cerita baharu, DLC berbayar ‘Bounty Pack 3: A Zane to Kill For’ akan turut dilancarkan pada 25 Jun. Bermula daripada keluaran ini, Gearbox membahagikan pek tersebut kepada dua pembelian berasingan: core narrative expansion iaitu ‘A Zane to Kill For’, dan ‘Vault Card 3’.
Expansion ini membawa kita meneroka permainan arked maya bertemakan neon-noir. Di dalam alam digital ini, para Vault Hunter perlu merungkai misteri di sebalik pembunuhan Digi-Clone milik Zane. Misi yang boleh diulang ini turut memperkenalkan main boss baharu serta dua mini-boss ketika pemain mencari petunjuk bagi memburu pembunuh digital tersebut.
Selain daripada jalan cerita tersebut, pemain boleh meningkatkan kemajuan menerusi Vault Card 3 untuk membuka pelbagai ganjaran bertemakan arked. Kad ini menawarkan 24 item kosmetik baharu dan empat unit gear yang boleh di-reroll hanya dengan bermain game ini. Butiran lanjut mengenai ganjaran khusus boleh didapati di blog rasmi Borderlands.
Raid Percuma ‘Takedown at Hadron Abyss’
Semua pemain bakal menerima akses kepada cabaran endgame baharu pada 25 Jun melalui pelancaran percuma ‘Takedown at Hadron Abyss’. Sebaik sahaja menamatkan main campaign, pemain boleh memulakan raid ini dari mana-mana Raid Board di hab utama.
Raid ini akan membawa pemain ke sebuah fasiliti penyelidikan bawah air yang tenggelam sepenuhnya di zon baharu, Hadron Abyss. Fasiliti ini dipenuhi dengan hidupan akuatik bermutasi serta pemangsa berbahaya, sebelum pemain berhadapan dengan final boss: Child of Terramorphous.
Bagi menyesuaikan dengan pelbagai gaya permainan, tahap kekuatan musuh dalam raid ini akan diselaraskan mengikut saiz kumpulan pemain. Buat mereka yang inginkan cabaran lebih sengit, ia turut menyokong Mayhem level serta mod “Hardcore” yang mengehadkan pemain kepada satu nyawa sahaja.
Setiap kemenangan ke atas boss dalam raid ini akan menawarkan loot drop khusus. Antara ganjaran termasuklah satu senjata Pearlescent baharu, sembilan item Legendary baharu, serta lima Class Mods baharu. Class Mod keenam akan menyusul dalam senarai ganjaran ini pada suku ketiga tahun 2026, selaras dengan ketibaan Vault Hunter baharu tidak lama lagi.
Hala Tuju Seterusnya
Gearbox turut berkongsi post-launch roadmap yang mendedahkan kandungan untuk bulan-bulan akan datang:
- 30 Julai (Versi 1.9): Pelancaran Bounty Pack 4: Murders & Acquisitions.
- Awal September: Pelancaran serentak untuk Bounty Pack 5 dan Story Pack 2.
Story Pack 2 bakal memperkenalkan watak boleh dimainkan yang seterusnya, iaitu Loveless the Hacker, yang telah diacah baru-baru ini dalam Gearbox DevCast. Loveless digambarkan sebagai bekas penggodam Anshin yang kini bergelar pembunuh upahan. Dilengkapi dengan teknologi sibernetik canggih, dia berkongsi minda dengan virus digital ciptaannya yang boleh dizahirkan secara fizikal bagi membantunya bertarung.
- Pemilik Super Deluxe Edition akan menerima Bounty Pack Bundle (Pek 2, 3, 4, dan 5) serta Vault Hunter Pack (Story Packs 1 dan 2) secara automatik.
- Pemilik Deluxe Edition pula akan menerima Bounty Pack Bundle.
- Semua Bounty Packs dan Story Packs juga akan dijual secara berasingan.









Discussion about this post