Baru sahaja dilancarkan di Steam pada awal bulan ini, The Crush House mendapat sambutan yang hangat di kalangan komuniti kerana menampikan premis unik tentang rancangan realiti TV. Dicipta oleh studio indie Nerial, mereka pernah mengerjakan siri Reigns, dan Card Shark (yang dicalonkan semasa BIC 2022).
Jadi apakah premis game ini? Kita akan bermain sebagai Jae, yang telah mendapat peluang impian untuk menjadi produser dalam rancangan TV realiti terhangat pada tahun 1999, The Crush House! Tugas anda terdiri daripada mencari barisan pelakon, merakam setiap detik yang berlaku dan menghasilkan setiap musim. Pilih antara 12 personaliti dan saksikan segala drama, baik mahupun buruk, berlaku apabila masing-masing berinteraksi.
Kebetulan semasa Busan Indie Connect Festival 2024, rakan kami mendapat peluang untuk menemu ramah dua individu yang bekerja rapat dalam The Crush House. Memperkenalkan Creative Director Nicole He, dan Producer Laura Fournier. Di sini, kami bertanya lebih lanjut tentang game ini dan apakah usaha di sebalik tabir serta rancangannya untuk masa depan?
Sudah hampie dua minggu sejak The Crush House dilancarkan. Apakah respon komuniti setakat ini? Adakah ada rancangan untuk menambah lebih banyak kandungan selepas pelancaran?
Nicole: Sungguh menggembirakan melihat orang ramai menikmati game ini, terutamanya mereka yang benar-benar memahami perkara yang kami cuba capai. Game ini agak unik, dengan mekanik utama yang saya rasa tidak pernah ditemui oleh sesiapa pun sebelum ini, jadi sangat menarik untuk melihat bagaimana pemain menerimanya.
Maklum balas, terutamanya pada Twitch, sangat positif, baik daripada streamer dan penonton. Bagi kandungan akan datang, kami tidak mempunyai sebarang rancangan segera. Pada masa ini kami menumpukan pada membangunkan patch untuk menangani beberapa isu, dan mungkin ada beberapa kemas kini fitur selepas ini, tetapi kami akan melihat bagaimana hal itu berkembang.
Berbanding dengan game Nerial sebelum ini, hala tuju seni dalam The Crush House amat berbeza. Bolehkah anda berkongsi sebab di sebalik keputusan ini?
Nicole: The Crush House memang menonjol dalam pelbagai cara berbanding dengan judul Nerial sebelum ini. Walau bagaimanapun, salah satu perkara yang saya suka tentang Nerial ialah keterbukaan mereka untuk bekerjasama dengan kreatif luaran, yang membawa perspektif baharu kepada setiap projek.
Untuk The Crush House, saya adalah kreatif luaran; untuk Card Shark, Nicolai Troshinsky (yang mengarahkan seni & animasi dan sihir kad untuk Card Shark); dan dalam projek lain, mereka telah bekerja dengan orang berbeza. Pendekatan ini memuatkan setiap game dengan arah dan tenaga kreatif yang unik.
Walau bagaimanapun, jika melihat di bawah permukaan, anda akan menemui persamaan atau lapisan tematik tertentu yang menghubungkan The Crush House dengan game Nerial sebelum ini.
Walaupun The Crush House memperkenalkan sesuatu yang baharu, ada persamaan asas, terutamanya dalam kepentingan teknikal yang dikongsi antara saya dan François Alliot (salah seorang pengasas bersama Nerial), seperti tumpuan kami pada naratif yang dihasilkan secara prosedur. Anda boleh melihat persamaan ini dalam game seperti Reigns dan The Crush House.
Selain itu, jenaka ialah elemen yang konsisten di semua game Nerial, walaupun gaya jenaka berbeza dari satu permainan ke permainan yang lain.
Devolver telah lama menjadi penerbit Nerial sejak 2016, jika saya tidak silap. Bagaimanakah pengalaman bekerja dengan Devolver sebagai penerbit anda?
Laura: Ia menarik kerana walaupun Nerial telah diperoleh, perjanjiannya ialah kami akan terus beroperasi sebagai studio indie. Kami masih mengurus belanjawan sendiri, melontarkan idea dan mengerjakan pencapaian-pencapaian penting seperti yang dilakukan jika indie.
Ia adalah setup yang unik—kami dianggap sebagai studio indie, tetapi mendapat sokongan penerbit yang lebih besar. Semasa membuat permintaan, mereka sangat menyokong, selalu berkata “ya” daripada membuat kami berjuang untuk memberikan justifikasi kepada keperluan tersebut.
Devolver melangkah masuk pada saat-saat penting, seperti untuk pemasaran, lokalisasi dan QA, yang membolehkan kami menumpukan pada pembangunan game sebenar. Ia sangat mudah kerana kami boleh menumpukan perhatian untuk membuat game, dengan mengetahui bahawa semua aspek kritikal yang lain dikendalikan dengan cekap.
Mempunyai pencapaian-pencapaian penting juga sangat bermanfaat untuk kita. Ia memastikan kami berdisiplin dengan jadual dan kaedah produksi. Walaupun kami sebahagian daripada pasukan yang sama, mereka memberikan maklum balas luaran, membantu kami mengelak daripada berfikir, “Oh, kami sentiasa betul.”
Ulang-alik ini memastikan kami berada di landasan yang betul. Devolver ialah rakan kongsi yang hebat kerana apabila mereka kata akan melakukan sesuatu, mereka berpegang padanya.
Bagaimanakah Nicole dan Nerial bersatu untuk mula mengusahakan game ini?
Nicole: Semuanya bermula dengan saya dan Arnaud De Bock, yang bersama Nerial pada masa itu. Kami bertemu di GDC (Game Developers Conference), dan seorang rakan membawa saya masuk ke parti Devolver. Saya dan Arnaud akhirnya bertemu di barisan tandas, dan kami berdua merupakan peminat pada karya masing-masing.
Kami mula bercakap tentang idea untuk bekerjasama. Ke hadapan sedikit, kami berdua menjadi taksub dengan rancangan realiti Jepun yang dipanggil Terrace House. Kami mula berfikir, “Bagaimana jika kami membuat game yang diilhamkan oleh Terrace House?” Kami menyukai idea mencipta game berpusatkan realiti TV, yang begitu popular dan difahami secara meluas, namun tidak sering diterokai dalam game, terutamanya dari perspektif produser.
Pada mulanya, ia sepatutnya menjadi projek kecil, tetapi apabila membangunkan konsep itu, jelas bahawa ia berpotensi untuk menjadi sesuatu yang lebih besar. Ideanya ialah jika Devolver menandatangani game ini, kami akan membawa masuk seluruh pasukan Nerial untuk mengusahakannya, dan itulah yang berlaku.
Arnaud telah meninggalkan kedua-dua projek dan Nerial, tetapi begitulah semuanya bermula.
Pada pendapat anda, apakah rancangan TV realiti terbaik yang pernah anda berdua tonton?
Nicole: Kegemaran saya sepanjang masa mungkin adalah Terrace House, walaupun nadanya sangat berbeza daripada The Crush House. Terrace House sangat santai, bersifat Jepun dan menyenangkan, manakala The Crush House lebih kepada rancangan Amerika yang ‘trashy’ kerana itu lebih menyeronokkan.
Jika saya terpaksa memilih rancangan realiti ‘trashy’ kegemaran, saya akan katakan Love is Blind. Adakah anda pernah menontonnya? Dalam Love is Blind, peserta pergi temu janji di mana mereka tidak dapat melihat satu sama lain —mereka bercakap melalui dinding. Ia liar kerana orang akhirnya jatuh cinta dalam masa 48 jam dan kemudian perlu memutuskan sama ada untuk bertunang tanpa pernah berjumpa antara satu sama lain.
Jika mereka memutuskan untuk bertunang, mereka bertemu secara peribadi buat kali pertama dan kemudian perlu berkahwin dalam masa sebulan. Ia huru-hara, dan saya sangat mengesyorkan untuk menonton.
Laura: Saya tinggal di UK, jadi pilihan saya mungkin agak berbeza. Rancangan bagus di sini ialah The Traitors. Ia seperti campuran antara Among Us dan Werewolf. Orang ramai dibahagikan kepada kumpulan di mana sebahagiannya adalah pengkhianat dan yang lain cuba membongkar mereka.
Ia terletak di dalam sebuah rumah, dan mereka perlu menyelesaikan misi sambil mengadakan perbincangan pada waktu malam. Ia cemerlang dan mendedahkan banyak perkara tentang sifat manusia. Rancangan ini berasal dari Australia, tetapi terdapat juga versi British.
Bagi rancangan realiti trashy, di UK, kami mempunyai Naked Attraction, iaitu tentang memilih pasangan berdasarkan mendedahkan tubuh bogel dari kaki ke atas. Ia… unik.
Kemudian ada Don’t Tell the Bride, di mana pengantin lelaki diberi bajet untuk merancang keseluruhan perkahwinan tanpa berunding dengan pengantin perempuan. Dia memilih segala-galanya—pakaian, tempat, hiburan. Secara natural, ia selalunya berubah menjadi bencana.
Adakah ada apa-apa lagi yang anda ingin kongsikan dengan kami?
Nicole: Ya, saya ingin menggalakkan orang yang berminat dengan game eksperimental untuk lihat The Crush House. Jika anda bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu dan berbeza, terutamanya dari segi mekanik permainan, game ini pastinya berbaloi untuk diterokai.
Walaupun anda bukan peminat realiti TV, game ini menawarkan lapisan misteri gelap yang menarik pada jalan cerita yang menambah daya tarikannya. Jadi, saya secara peribadi mengesyorkan anda mencubanya.
Laura: Kami teruja dan berbesar hati kerana game kami dipilih, dan mendapat reaksi positif daripada penonton di Korea dan Jepun dengan keluaran kami sebelum ini. Jadi, saya akan menggalakkan pemain Asia Tenggara untuk mencubanya juga. Ia mungkin sesuatu yang anda akan dapati menarik!
Maka, tamatlah temu ramah kami bersama Nicole He, dan Producer – Laura Fournier tentang The Crush House. Bagi mereka yang berminat, game ini kini tersedia di PC melalui Steam. Buat masa terhad sehingga 24 Ogos, anda boleh mendapatkan game ini pada harga diskaun RM38.69, berbanding harga penuh RM42.99.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post