Bagi komuniti PC builder, krisis bekalan memori yang melanda pada tahun 2026 bukanlah sesuatu yang asing lagi. Harga RAM DDR5 melonjak begitu tinggi sehingga nilainya hampir menyamai sebuah GPU premium.
Namun di sebalik beban harga ini, timbul pula kebimbangan baharu iaitu lambakan modul RAM DDR5 tiruan di pasaran, di mana ada di antaranya sebenarnya hanyalah kepingan plastik.

Para penipu kini menggunakan papan litar (PCB) yang kelihatan asli, tetapi mereka memateri ‘fiberglass’ atau plastik yang dibentuk khas supaya nampak seperti cip DRAM sebenar.
Satu insiden yang tular melibatkan seorang pengguna di Jepun melalui platform X. Beliau telah membeli RAM jenis Samsung DDR5 SO-DIMM 16GB untuk komputer riba, namun mula berasa curiga apabila melihat fizikal modul tersebut. Bahagian penyambung emasnya kelihatan pelik, tidak seperti kualiti kilang sebenar.
Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila label pada RAM tersebut dibuka. Walaupun pelekat luar menunjukkan jenama Samsung, cip di dalamnya adalah logo SK Hynix. Lebih parah, apabila cip tersebut dibelah, ia langsung tidak mengandungi silikon. Sebaliknya, ia hanyalah kaca pepejal yang tidak mempunyai sebarang fungsi elektronik.
Bagi orang awam, penipuan ini sangat sukar dikesan sebelum ia terlambat. Kebanyakan kit RAM desktop sekarang dilengkapi dengan heatspreader atau heatsink logam yang menutup keseluruhan cip.
Tanpa membuka penutup tersebut (yang pastinya akan membatalkan waranti) pembeli tidak akan tahu bahawa mereka ditipu sehinggalah PC gagal dihidupkan selepas komponen tersebut dipasang.

RAM tiruan ini dikesan banyak dijual di platform seperti Yahoo Japan dan pelbagai pasaran lain. Ia biasanya ditawarkan pada harga sekitar 12,845 Yen (kira-kira RM320 ke atas). Harga ini dianggap sangat murah jika dibandingkan dengan harga kit 32GB tulen yang kini mencecah lebih daripada RM1,000.
Sebagai langkah mengelakkan tindakan undang-undang, penipu selalunya melabelkan barangan ini sebagai “junk” atau “untested”, dengan alasan kononnya ia diambil daripada sistem lama.
Taktik ini digunakan supaya mereka mempunyai alasan untuk menolak sebarang tuntutan pemulangan wang apabila pembeli menyedari bahawa mereka telah kerugian duit demi sekeping plastik yang tidak bernilai.









Discussion about this post