Asus kembali dengan model baharu laptop TUF Gaming F16 dengan paparan yang mempunyai refresh rate yang lebih tinggi serta tahan lasak untuk dibawa gamer ke mana-mana sahaja. Ingin tahu bagaimana prestasi untuk laptop ini? Teruskan baca review penuh kami ini!
Reka bentuk
Asus TUF Gaming F16 mengekalkan rupa yang kemas dan minimalis, dengan warna Mecha Gray untuk badan laptop yang menjadi gaya klasik TUF. Terdapat logo TUF padanya serta empat bentuk segi tiga pada sudut penutup laptop. Terdapat juga rupa TUF yang halus pada keyboard dan trackpad. Semasa menggunakannya, kami terasa cukup selesa untuk melakukan penyuntingan dan menaip. Memandangkan laptop ini mempunyai skrin 16:10, keyboard dikekalkan di bahagian tengah sedikit tetapi ia tidak menjejaskan langsung semasa menggunakannya. Trackpadnya juga terasa lancar sahaja apabila digunakan.
Saiz laptop ini adalah 354.9 x 251.9 x 22.1mm (W x D x H) dan berat 2.27kg. Bagi kami beratnya adalah normal untuk sebuah laptop gaming, tetapi dengan pengecar PD Type-C 100W yang disertakan, ia agak berat untuk dibawa ke mana-mana.
Paparan
Asus TUF Gaming F16 mempunyai paparan 16 inci dan resolusi sebesar 1920 x 1200 WUXGA dengan sokongan refresh rate sehingga 165Hz. Boleh tahan seronok juga bermain dengan paparan ini, ditambah pula dengan G-SYNC memang visualnya diserlahkan dengan hebat. Tidak kiralah anda bermain game fast-paced seperti FPS atau game adventure biasa, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah. Hadir pula dengan bezel nipisnya yang hanya memberikan ratio 90% screen-to-body, menjadikan pengalaman menonton lebih baik.
Selain itu, paparannya juga mampu memberikan warna yang terang dan menawan, hadir dengan colour gamut 100% sRGB dan keterangan pada 250 nit. Walaupun begitu ia masih terasa sedikit malap tetapi sesuai sahaja untuk menonton video di Youtube dan melayari media sosial. Berada di atas skrin adalah webcam 720p yang boleh digunakan untuk menghadiri perbincangan atau belajar dalam talian.
Kualiti audio
Asus TUF Gaming F16 menampilkan dua speaker yang diperakui Hi-Res malah dilengkapi dengan sokongan DOLBY ATMOS. Bunyi yang dihasilkan semasa mendengar muzik atau menonton livestream terasa bagus. Sistem audionya berbunyi lebih jelas dan memberikan pengalaman audio yang baik. Kami agak kagum dengan bunyi bass yang dihasilkan daripada laptop ini.
Keyboard dan Trackpad
Sejujurnya, keyboardnya tidak mempunyai sebarang perubahan yang besar. Kedudukannya sudah cukup baik dan berfungsi dengan elok. Bukan setakat itu sahaja, numpad turut dikekalkan untuk memudahkan anda memasukkan data atau mengira. Dek keyboard mempunyai trackpad gelas 128.9x76mm yang besar dan mempunyai lampu LED di bahagian tengah atas dek. Keyboard juga tersedia dengan pencahayaan RGB 1-Zon dengan pencahayaan RGB menggunakan LED Mini untuk hasil yang lebih cerah, lebih seragam dan lebih cekap kuasa.
Perkara yang kami suka pada keyboard ini adalah ia mempunyai empat hotkey yang boleh digunakan seperti Volume up dan down, mic off dan Armoury Crate. Ianya sangat berguna untuk bekerja atau menonton video. Dengan travel distance kekunci sebanyak 1.7mm, kami sangat selesa semasa menaip dan tiada masalah berlaku semasa gaming. Walaupun beberapa game seperti Apex Legends memerlukan respons yang pantas, tidak sekali pun kami menekan butang yang salah. Jadi memang berasa seronok bermain game FPS padanya.
Track pad laptop ini mempunyai reka bentuk baharu, dengan hadirnya logo kecil ASUS TUF Gaming F16 malah perkataan “TUF” turut ada padanya. Sebesar 128.9 x 76 mm, ia terasa bagus semasa digunakan dan juga licin.
Hayat bateri
Laptop ini dilengkapi dengan bateri besar sehingga 90 Whr. Bateri ini boleh dicas menggunakan adapter yang disertakan, melalui plus DC biasa atau melalui port Type-C yang didayakan 100W PD. Semasa mencubanya, kami sedar laptop ini mampu bertahan sehingga 3 jam. Kami sempat menonton livestream, Youtube malah muat turun game melalui GOG. Kalau bateri habis pun tiada masalah kerana pengecasan pantas yang disertakan sememangnya berguna. Dengan hanya mengecas selama sejam lebih, bateri mampu penuh sehingga 100%.
I/O Port yang tersedia
TUF Gaming F16 menampilkan semua I/O penting yang anda perlukan. Pada bahagian kanan laptop terdapat USB 3.2 Gen1 Type-A dan Kensington lock. Manakala pada sebelah kiri pula terdapat 3.5mm Combo Audio Jack, HDMI 2.1 FRL, USB 3.2 Gen 1 Type-A, USB 3.2 Gen 2 Type-C support DisplayPort / power delivery / G-SYNC, RJ45 LAN port dan Thunderbolt 4 support DisplayPort.
Spesifikasi
Bercerita tentang spesifikasinya, sudah tentu laptop ini lebih baik berbanding model terdahulu. Asus TUF Gaming F16 dilengkapi dengan Windows 11 dengan pemproses Intel Core i7-13650HX dan NVIDIA GeForce RTX 4060 dengan sokongan untuk NVIDIA Advanced Optimus. Ia juga memaparkan RAM DDR5-4800MHz berkelajuan tinggi dan dua slot SSD PCIe Gen 4×4 M.2, dengan semua slot mudah diakses untuk sebarang peningkatan dan pengembangan pada masa depan.
Dengan spesifikasinya yang begitu berkuasa, sudah tentu ia memerlukan sistem penyejukan yang baik. Asus TUF Gaming F16 dilengkapi kipas 84-blade Arc Flow dengan bilah sehingga 0.1 mm pada hujungnya. Ini mampu mengurangkan resonans dan pergolakan malah menggerakkan lebih udara padanya.
Prestasi
Sudah namanya laptop gaming, sudah tentu kami mainkan beberapa game pada laptop ini. Kami juga bermain game ini dengan kualiti yang tinggi, di mana kami menggunakan DLSS semasa bermain dan membandingkannya dengan kualiti medium tanpa DLSS dibuka.
Game pertama yang kami cuba adalah Helldivers 2 dalam tetapan Ultra dengan 1920×1200. Kami masih dapat mainkannya dengan lancar malah purata FPS-nya mencapai 65-70 walaupun dikelilingi oleh bug yang banyak. Tetapi jika ada letupan yang besar, kami sedar bahawa FPS turun sedikit. Agak tinggi juga suhu laptop semasa bermain, tetapi berkat sistem penyejukan laptop, kami tidak terasa suhu yang begitu panas semasa bermain.
Seterusnya kami mencuba Apex Legends dalam tetapan Ultra. Purata FPS yang kami dapat adalah sekitar 150-160. Sememangnya jumlah yang cukup bagus untuk bermain game FPS. Walaupun kadang-kadang FPS itu menurun semasa menggunakan ultimate, ia tidak menjejaskan pengalaman bermain langsung.
Permainan ketiga ialah The Last of Us Part 1, dalam tetapan ultra ditambah DLSS dengan 1920 x 1200. Kami boleh melihat efek yang hebat, malah melihat pantulan cahaya matahari dengan baik. Purata FPS-nya kekal sekitar 90-95. Kami juga mencuba tetapan medium dengan 1920 x 1200 dan nampak bahawa jumlah FPSnya mencapai 100 – 105. Secara keseluruhannya pengalaman bermain agak bagus dan suhu juga tidak begitu tinggi.
Game terakhir yang kami mainkan adalah Cyberpunk 2077. Pada mulanya kami mencuba dalam tetapan ultra ditambah DLSS dengan 1920 x 1200, dalam beberapa babak agak malap dan tidak terperinci. Purata FPS yang kami dapat adalah sekitar 70-75. Tetapi untuk beberapa tempat seperti bandar atau babak yang lebih terperinci, FPS akan turun kepada 50-55 FPS. Selepas itu, kami mencuba tetapan sederhana dengan 1920 x 1200, FPS boleh mencapai 120 – 125, kadangkala juga boleh mencapai 131 FPS.
Selain daripada bermain game, kami turut menggunakan beberapa perisian benchmark untuk melihat prestasinya. Berikut adalah skor benchmark yang kami rekodkan melalui perisian tertentu:
- PCMARK 10: 8107
- 3D MARK: 11355
Kesimpulan
Asus TUF Gaming F16 merupakan sebuah laptop yang baik untuk gamer dengan spesifikasinya. Pada tanda harga RM 6,299 ia harga yang baik tetapi mungkin sedikit tinggi buat mereka yang mencari laptop gaming dengan bajet rendah. Kami memang syorkan laptop ini untuk mereka yang ingin bermain game FPS dan game kasual di mana-mana sahaja. Melainkan anda ingin bermain game pada 2K atau refresh rate yang tinggi, anda mungkin perlu mencari laptop lain dengan spesifikasi yang lebih tinggi.
Setiap pembelian laptop ini juga hadir dengan langganan PC Game Pass yang menyediakan akses kepada lebih daripada 100 game pada platform itu. Sememangnya tambahan yang baik untuk sebuah laptop gaming.
Kalau anda berminat untuk membelinya, boleh ke laman web rasmi Asus untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Untuk mendapatkan segala berita mengenai produk Asus daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post