Sama seperti temuramah GS bersama Blood Moon: Genesis, kami mendapat peluang untuk menemuramah pasukan di sebalik Don’t Stop the Party. Dibangunkan oleh Avalon Systems; pasukan ini terdiri daripada 7 pelajar Malaysia dalam program Game Development di UOWM KDU dan merupakan Projek Tahun Akhir mereka. Tak nampak macam projek daripada pelajar kan? Baiklah! Mari saya kenalkan anda semua kepada pasukan Avalon Systems. Mereka terdiri daripada:
Sophie binti Azlan – Sophie (Project Lead, Narrative Designer)
Nicholas Tung Ka Sin – Nick (Tech Lead)
Erick Ritcher Lim – Erick (Art Lead, 3D Modeller)
Amirul Zameer – Mo (Character Designer & Animator, Concept Artist)
Thomas Tai Man Kit – Thomas (Programmer, Audio)
Felicia Wu Qiu Yi – (Programmer, UI)
Adam Danial Zalizam – Adam (Systems, Gameplay Mechanic & Levels Designer)
Asalnya Don’t Stop the Party jauh berbeza daripada apa yang anda lihat sekarang. Dalam temuramah kami, Sophie mendedahkan bahawa mereka pada awalnya ingin menghaslikan RPG berdasarkan Hang Tuah. Selepas berpuluh-puluh perbincangan dan diskusi, akhirnya idea itu berubah kepada sebuah permainan video “fighting co-op“. Niat utama mereka masih kekal sama iaitu mencipta sebuah permainan video di mana orang ramai boleh nikmati bersama rakan-rakan atau keluarga. Lantas, penekanan diberi pada aspek “local multiplayer“. Diinspirasikan oleh permainan video seperti siri Persona dan The Caligula Effect, Sophie mendapat idea sulungnya dan memburu rakan sekelasnya untuk sama-sama menghasilkan permainan video dengan elemen-elemen di atas.
Apabila ditanya tentang tugas setiap ahli, Sophie menjawab pembahagian tugas telah diputuskan pada awal projek. Setiap ahli tahu apa yang mereka ingin lakukan dalam projek dan pada masa akan datang di industri, lalu memberi fokus untuk apa mereka mahu. Mana-mana projek tidak akan berjaya tanpa kerjasama yang kukuh, kan? Mereka akan bertemu dan berbincang pada setiap minggu, dengan kemas kini harian dilakukan melalui Whatsapp. Sophie mengaku dia terpaksa mendesak ahli pasukan kerana mereka mengambil masa yang terlalu lama untuk menghasilkan versi prototaip. Nasib baik selepas ia selesai, semuanya berjalan lancar.
Nick juga membantu dengan pembahagian tugas kepada ahli-ahli lain, dan mencari tugas apa yang perlu diselesaikan. Di bahagian seni, Erick dan Mo sering berkomunikasi antara satu sama lain sebelum menghantar hasil rekaan kepada bahagian tech. Secara keseluruhan, projek ini memakan masa selama 8 bulan dengan dua bulan perancangan awal oleh Sophie. Ini bermaksud jangka masa sebenar untuk projek tahun akhir mereka adalah 6 bulan. Memang satu pencapaian yang sangat hebat dengan kualiti yang sama bagus!
Sudah tentu, macam-macam masalah akan timbul semasa proses pembanguan permainan video. Ramai ahli pasukan setuju yang mereka menghadapi sedikit cabaran untuk menghasilkan watak pertama iaitu Delilah. Di sini Erick jelaskan yang mereka ingin modelkan watak paling sukar terlebih dahulu kerana watak-watak lain adalah lebih mudah. Mo pun mengaku yang kebanyakkan cabaran itu datang daripada aspek “rigging” dan animasi rantai besi (senjata Delilah).
Bukan itu sahaja, konsep Don’t Stop the Party pun sentiasa berubah-ubah. Reka bentuk permainan sepatutnya berbentuk segi empat untuk pertarungan 1v1, tetapi selepas menerima cadangan daripada pensyarah untuk mengubah permainan video kepada “4 player co-op“, reka bentuk persekitaran telah dibuat semula kepada segi empat tepat. Selain daripada itu, rekaan pakaian untuk watak dihasilkan secara atas talian oleh beberapa ahli. Ketika mencantumkan bahagian-bahagian tersebut, ia tidak teratur dan kurang kemas kerana masing-masing harus bekerja secara berjauhan. Selepas memperbaiki beberapa kesilapan, akhirnya semua menjadi seperti yang diinginkan. Di bahagian audio, Thomas tidak mempunyai apa-apa masalah khusus, cuma ia bukan sesuatu yang biasa dia lakukan, tetapi lama-kelamaan menjadi mahir.
Soalan seterusnya yang ditanya oleh kami adalah berkenaan jalan cerita dan konsep Don’t Stop The Party. Empat watak pergi ke sebuah parti, dan di situ, mereka boleh menjadi sesiapa sahaja yang mereka mahu. Untuk cipta parti idaman, kalahkan si penganjur parti. Plotnya agak mudah untuk faham dan menyuruh pemain untuk berlawan dengan tiga watak lain. Tetapi rupanya ada lebih banyak lagi yang anda perlu tahu. Konsep parti sebenarnya ialah berdasarkan motivasi, trauma, pengaruh dan keputusan tuan penganjur yang ingin lari daripada kehidupan sebenar mereka manakala setiap watak pula direka mengikut stereotaip tertentu. Antara watak-watak yang ada ialah:
- Delilah the Delinquent
- Nama pun “delinquent”! Dialah penyebab masalah paling besar semasa pembangunan Don’t Stop The Party, dan mempunyai rantai besi yang melakukan damage yang tinggi.
- Cain the Robot
- Seorang lelaki ala-ala gentleman dengan ekspresi UwU di wajah monitornya.
- Clark the Hero
- Wira tipikal yang sering bercakap tentang menyelamatkan dunia.
- Fay the DJ
- Tuan rumah parti yang asalnya ditulis sebagai antagonis.
- Lon the Announcer
- bukan “playable character“.
Mereka ingin mendalami latar belakang setiap watak, tetapi tidak mempunyai masa untuk menulis jalan cerita “single-player“. Pemain yang peka boleh mendapatkan petunjuk-petunjuk tentang watak-watak di atas yang tersorok di dalam permainan tapi pastikan mata anda tajam! Sebab petunjuk ini mudah terlepas pandang.
Di halaman itch.io, kita boleh baca tentang sebuah kemas kini baru untuk Don’t Stop the Party. Sophie menjelaskan bahawa kemas kini itu akan memperbaiki “bug” untuk menyelesaikan beberapa masalah dalam permainan dan audio. Selepas mengeluarkan kemas kini tersebut, setiap ahli akan sibuk melakukan menamatkan baki-baki subjek dan memulakan latihan praktikal – jadi ini akan menjadi kemas kini terakhir buat masa sekarang. Walaupun masing-masing akan sibuk tidak lama lagi, pasukan Avalon Systems sudah mempunyai rancangan untuk menghebatkan lagi Don’t Stop the Party. Malangnya, mereka tidak mempunyai sumber untuk benar-benar mengembangkan lagi permainan. Bagi mana-mana syarikat penerbit yang berminat, anda boleh hubungi mereka sekarang!
Apakah inspirasi utama untuk Don’t Stop the Party? “Demi lulus”, Sophie jawab. Dia mendorong semua orang untuk mencipta sebuah permainan video yang hebat agar mereka memiliki sesuatu yang boleh dibanggakan untuk ditunjukkan kepada industri. Di samping itu, Sophie ingin orang ramai fikir yang Don’t Stop the Party ialah sebuah projek indie, dan bukan projek oleh pelajar. Nick setuju, dan mengatakan ia adalah pengalaman yang bagus sebelum memasuki industri.
Jika semua jalan lancar dan mereka kumpul semula, projek seterusnya ialah RPG Hang Tuah yang disebutkan di atas. Dengan fokus pada “single-player“, RPG ini akan mengisahkan Hang Jebat. Mo sudah mempunyai konsep untuk watak-watak, dan ia pasti menjadi projek yang penduduk Malaysia akan nanti-nantikan.
Walaubagaimanapun, sokongan daripada kerajaan amat penting agar industri terus berkembang. Sophie merasakan industri tempatan kita sedang mengembang lagi dan memuji MDEC dan syarikat-syarikat lain kerana memberikan sokongan kepada pemaju tempatan. Erick menyuarakan pendapatnya dan fikir sekarang adalah masa yang sesuai. Pelbagai studio tempatan seperti Passion Republic dan Metronomik sedang menghasilkan permainan video berdasarkan IP mereka sendiri dan percaya lebih banyak kandungan tempatan adalah bagus untuk industri.
Sebagai “senior” anda semua, marilah kita dengar beberapa nasihat dan tips daripada pasukan Avalon Systems untuk rakan-rakan dalam kursus Game Development:
Banyak selidik dan rancang awal. Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk ahli-ahli lain. Bekerja dengan rakan sepasukan, dan kenali kekuatan dan kelemahan mereka. Anda juga harus belajar untuk kata “tidak” kepada kritikan serta mempunyai visi sendiri. Nasihat orang lain boleh didengar, tetapi ia masih ialah permainan video anda. -Sophie.
Bersikap telus dengan rakan sepasukan dan beritahu mereka jika anda boleh atau tidak melakukan tugas dalam jangka masa tertentu. Ini membina kepercayaan pada masa akan datang. -Erick.
Faham tugas dengan jelas dan belajar cara untuk menghuraikan dan menyusun semula data semasa proses pembangunan. Sentiasa mempunyai sikap ingin tahu dan periksa semula setiap kod secara konsisten. -Nick.
Mempunyai jadual mingguan untuk menyelesaikan aset yang harus diuji. Ini penting kerana anda tidak tahu jika ia boleh berfungsi atau tidak. Selain itu, beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba seni 2D atau 3D bergantung pada apa yang anda kurang mahir. -Mo.
Walaupun belajar perisian baru mungkin menakutkan, tetapi tutorial atas talian adalah cara yang bagus untuk belajar. -Felicia.
Selain memahami rakan sepasukan anda, kenali juga had diri sendiri. Jangan segan minta tolong, dan apabila perlu, cuba tutorial atas talian. -Thomas.
Penyelesaian “terbaik” tidak semestinya ada, dan anda perlu memahami apa yang cuba dilakukan di tutorial. Ia mungkin tidak berfungsi dalam projek kita, jadi anda perlu tahu bagaimana untuk menyesuaikannya. -Nick.
Dapatkan bantuan seramai mungkin untuk menguji permainan video anda, daripada rakan-rakan hingga ke orang luar untuk mencari masalah yang tidak biasa anda jumpa. -Adam.
Secara keseluruhan, pasukan Avalon Systems ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga kerana memberi sokongan dan peluang untuk memasuki kursus Game Development dan juga antara satu sama lain kerana berjaya menghabiskan projek ini bersama-sama. Sebelum menamatkan temuramah, mereka juga tidak ingin lupa encik Google yang sentiasa ada di sisi!
Budaya Malaysia tidak mempunyai wakil yang besar dalam industri permainan video. Sekiranya kumpulan dinamik ini bersatu semula satu hari nanti, ia mesti sangat menarik untuk melihat bagaimana mereka membangunkan sebuah RPG Hang Tuah kerana setiap seorang mempunyai matlamat untuk mengenalkan unsur tempatan ke setiap projek pada masa depan. Potensi di industri Malaysia kelihatan cukup cerah dengan bakat-bakat seperti ini yang masuk.
Itu sahaja untuk temuramah ini, dan jika ingin sokong mereka, muat turun Don’t Stop the Party pada pautan di bawah.
@gamersantaimy
Discussion about this post