Francais “Death Stranding” akan dikembangkan lagi melalui sebuah siri animasi yang sedang dalam pembikinan, dikenali buat masa ini sebagai “Death Stranding Isolations.”
Projek ini, yang diumumkan secara rasmi oleh Kojima Productions, merupakan hasil kerjasama dengan E&H production dan bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Disney+ bermula tahun 2027.
Siri animasi ini akan membawakan jalan cerita yang sepenuhnya original, mengisahkan pengembaraan sepasang watak lelaki dan wanita muda. Walaupun baharu, penceritaannya masih mengekalkan semangat dan idea teras yang terdapat dalam permainan video asalnya.
Dari segi visual, ia dijanjikan akan menampilkan “animasi lukisan tangan yang bermutu tinggi dengan sentuhan yang berani tetapi terperinci.”
Berita mengenai projek ini didedahkan semasa acara pameran kandungan Disney Asia Pasifik yang berlangsung di Hong Kong, di mana Hideo Kojima sendiri telah membuat penampilan istimewa. Beliau disahkan akan memegang peranan sebagai penerbit eksekutif bagi siri animasi ini.
Tenaga kerja kreatif di belakang tabir turut merangkumi Takayuki Sano yang bertindak sebagai pengarah dan Ilya Kuvshinov selaku pereka watak asal. Proses penghasilan animasi pula akan diuruskan sepenuhnya oleh E&H production, sebuah studio animasi dari Jepun yang sedang menempa nama.

“Death Stranding Isolations” berpusat pada sebuah fenomena malapetaka yang dikenali sebagai Death Stranding. Peristiwa ini berlaku apabila pertembungan antara dunia orang hidup dan roh si mati mencetuskan letupan besar yang memusnahkan tamadun dan menyebabkan manusia hidup terpencil antara satu sama lain.
Di tengah-tengah dunia yang porak-peranda ini, muncullah seorang penghantar barang, bertugas bukan sahaja untuk membawa kargo tetapi juga menyambung semula harapan di kalangan masyarakat yang terputus hubungan.
Ketika watak utama permainan video, Sam Bridges, sedang sibuk dengan misinya untuk menyatukan semula Amerika, siri ini akan memberi tumpuan kepada individu-individu lain yang turut berhadapan dengan masalah keterasingan dengan cara mereka tersendiri.
Antara watak-watak baharu yang akan diperkenalkan ialah seorang lelaki tua yang cuba mencapai matlamatnya melalui kaedah yang berbeza daripada Bridges, seorang pejuang wanita yang mahu mewujudkan dunia yang sentiasa bergolak, seorang remaja lelaki yang menyimpan perasaan benci terhadap Bridges, serta seorang gadis yang selesa dengan kesendirian.
Siri ini bakal menyaksikan bagaimana takdir dan impian mereka saling bertembung, sekali gus memulakan sebuah lagi kisah “Death Stranding”.









Discussion about this post