Di tengah-tengah kemeriahan Anime Festival Asia (AFA) Singapore 2025, kumpulan idola masyhur Jepun “Sakurazaka46” telah berkongsi secara eksklusif tentang selok-belok dunia mereka.
Kumpulan yang terkenal dengan persembahan pentas yang mempersonakan serta penceritaan lirik yang menyentuh emosi memulakan karier sebagai Keyakizaka46 pada 2015 sebelum melalui penjenamaan semula pada 2020. Kini, mereka telah berjaya mencipta identiti tersendiri dalam industri J-pop yang sangat kompetitif.

Kunjungan mereka ke AFA membuktikan populariti global mereka yang kian berkembang serta hubungan istimewa dengan peminat di luar lingkungan muzik.
Dalam satu sesi yang santai di sebalik bahang kemeriahan festival, para ahlinya iaitu Morita Hikaru, Ozono Rei, Karin Fujiyoshi, Tamura Hono, dan Ten Yamasaki telah berkongsi tentang proses kreatif, detik-detik penting, serta ikatan istimewa yang mendefinisikan perjalanan seni mereka.
Seni Visual dan Penceritaan dalam Muzik Video
Elemen dramatik dalam video muzik Sakurazaka46 merupakan elemen penting yang membentuk identiti mereka. Morita Hikaru mendedahkan bahawa kerjasama erat amat diperlukan untuk menghasilkan karya visual sebegini, sambil menggariskan betapa pentingnya hubungan mereka dengan para pengarah.
“Perkara yang terpenting adalah tahap pemahaman mereka terhadap visi pengarah dan kebolehan mereka untuk menterjemahkannya dalam video muzik,” jelasnya.
Proses ini merangkumi sesi latihan tarian yang rapi selama berhari-hari serta sesi perbincangan bersama untuk menyelami tema utama secara mendalam.
Menyentuh perkara yang sama, Ozono Rei turut menegaskan betapa mustahaknya fasa persediaan ini, dengan menganggapnya sebagai satu fasa kritikal untuk berkomunikasi dan bertukar idea secara kreatif.
“Bagi mereka, masa adalah aset yang paling berharga,” katanya.
Tempoh yang khusus ini bukan sekadar untuk memperkemas koreografi sedia ada, tetapi juga memberi ruang kepada setiap ahli untuk berimprovisasi dan menerapkan perasaan peribadi dalam setiap pergerakan, sekali gus membenarkan “idea mereka diterjemahkan melalui tarian.”
Kisah di Sebalik Single “Unhappy Birthday Koubun”
Lagu single ke-13 mereka yang baru dilancarkan, “Unhappy Birthday Koubun,” menyimpan pelbagai kenangan lucu serta momen yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi.
Karin Fujiyoshi berkongsi sebuah kisah menarik semasa penggambaran video muzik, di mana mereka dikehendaki untuk menampilkan gaya yang luar biasa untuk sesi fotografi ala-ala di sekolah.
“Kami perlu menunjukkan ekspresi muka yang lazimnya tidak dibuat oleh seorang idola,” imbaunya sambil tertawa, dan mengakui bahawa mencari ekspresi wajah jenaka yang paling menjadi merupakan satu cabaran yang amat menyeronokkan.
Tamura Hono pula berkongsi tentang satu momen yang menyerlahkan semangat sepasukan ketika penggambaran adegan di atas sebuah set berbentuk kek gergasi. Apabila kamera bergerak mengelilingi mereka, kesemua kru produksi turut bergerak seiringan.
“Kami benar-benar rasa seolah-olah kami menghasilkan video muzik ini bersama-sama,” katanya, menggambarkan ikatan erat yang wujud antara barisan artis dan kakitangan produksi. Di luar waktu penggambaran, para ahli mengisi masa lapang dengan permainan santai seperti ‘choose one’ untuk mengeratkan lagi persahabatan.
Pada dasarnya, judul lagu itu sendiri sudah membayangkan tema yang lebih rumit. Ozono Rei menerangkan konflik artistik yang menjadi terasnya:
“Realitinya, watak utama dalam video muzik ini sangat bersedih, tetapi video muziknya sendiri berkonsepkan keceriaan.”
Kekuatan naratif lagu ini terletak pada perbezaan yang sengaja diwujudkan ini. Ten Yamasaki turut mengulas tentang kesukaran menzahirkan konflik perasaan ini, terutamanya dalam adegan keraian yang dibuat-buat.
“Riak wajah mereka jelas menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak gembira untuk watak utama,” ulasnya, sambil menekankan cabaran dalam mempamerkan emosi yang kompleks dan berlapis-lapis secara tulus.
Mengimbas Kembali Perjalanan Lima Tahun Sakurazaka46

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelima Sakurazaka46 pada tahun ini, para ahlinya mengambil kesempatan untuk merenung kembali perjalanan mereka yang penuh dengan cabaran dan pencapaian.
“Sepanjang 5 tahun ini, kami telah berdepan dengan pelbagai rintangan yang perlu diatasi,” kata Karin Fujiyoshi, yang kemudiannya segera memberi penghargaan kepada komuniti peminat setia mereka—yang mesra digelar “Buddies”—serta kakitangan produksi yang sentiasa memberikan sokongan, sekali gus membolehkan mereka “menghasilkan karya muzik yang hebat.”

Morita Hikaru menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan yang telah mereka capai bersama, bermula dari konsert mega selama lima hari di Tokyo Dome yang berprestij sehinggalah ke peluang membuat persembahan di hadapan penonton antarabangsa di AFA.
Dia berpendapat bahawa “segala penat lelah setiap ahli kini mula menunjukkan hasilnya.” Perjalanan ini telah mengeratkan lagi ikatan antara mereka, menjadikan kumpulan ini “sangat kuat.”
Dengan penyertaan ahli-ahli baharu, Morita menaruh harapan tinggi untuk masa hadapan dan percaya bahawa kumpulan itu “mampu berkembang menjadi lebih besar.”
Mesej Ikhlas buat ‘Buddies’ di Seluruh Dunia
Apabila bercakap secara langsung kepada para peminat, penghargaan tulus daripada setiap ahli begitu terserlah. Tamura Hono menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang membawa mereka ke pentas global.
“Kehadiran kami di sini adalah sepenuhnya hasil daripada sokongan semua peminat,” tegasnya. “Ini bukan gurauan sama sekali.”
Morita Hikaru turut menzahirkan rasa terima kasih yang sama kepada para peminat yang telah menyokong mereka sejak awal kemunculan, serta para peminat baharu yang mula mengenali mereka hasil penglibatan di pentas antarabangsa.
Peluang beraksi di AFA dan bertemu dengan begitu ramai peminat dari luar negara merupakan satu kejutan yang amat menggembirakan.
Dia turut berkongsi hasrat mereka bersama untuk terus melebarkan sayap ke peringkat global, dengan impian “bukan sekadar membuat persembahan di Jepun, tetapi juga di luar negara, agar kami dapat menyebarkan inspirasi dan kegembiraan kepada lebih ramai peminat di serata dunia.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi mereka.
![[AFASG25] Eksklusif Bersama Sakurazaka46 – Perjalanan 5 Tahun & Kisah Ironik Di Sebalik Single “Unhappy Birthday Koubun”](https://cdn.gamersantai.com/2025/12/Sakurazaka46_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post