Komuniti gaming bola sepak kini heboh tentang perubahan besar pada francais EA Sports FC, iaitu pengenalan sebuah mod berkonsepkan open world.
Walaupun pihak Electronic Arts masih belum mengumumkannya secara rasmi, syarikat itu telah pun mengesahkan bahawa mereka sedang giat membangunkan serta menjalankan ujian untuk sebuah “pengalaman bola sepak masa depan berasaskan dunia,” satu langkah yang mengukuhkan lagi spekulasi yang telah lama berlegar.

Berdasarkan maklumat yang tular secara berterusan di alam maya, mod open world ini bakal memberi peluang kepada pemain untuk merasai pengalaman hidup sebagai seorang atlet bola sepak profesional di luar padang.
Antara ciri-ciri yang dikhabarkan termasuklah sebuah simulasi kehidupan yang lengkap, di mana pemain boleh memiliki kediaman sendiri, menjana pendapatan dalam game, serta membeli pelbagai barangan seperti pakaian dan kenderaan.

Selain itu, mod ini dijangka akan turut menjadi pusat interaksi sosial yang aktif, membolehkan pemain berkomunikasi sesama mereka dan mewujudkan lobi permainan mengikut pilihan sendiri.
Maklumat lain juga mengusik tentang kewujudan padang-padang berinspirasikan Volta yang boleh digunakan untuk sesi latihan dan peningkatan kemahiran, sekali gus menyajikan gameplay bola sepak yang lebih santai dan berunsurkan jalanan.
Konsep sebegini sering disamakan dengan mod “MyPlayer” yang amat popular dalam siri game NBA 2K, yang membenarkan pemain meneroka bandar maya sambil menyertai perlawanan, latihan dan pelbagai aktiviti lain di luar gelanggang.

Walaupun ramai yang berharap untuk melihat ciri ini dalam EA Sports FC 26, laporan menyatakan ia tidak akan disertakan ke dalam game itu.
Sebaliknya, syarikat tersebut telah mengumumkan satu sesi ujian main teknikal untuk “mode baharu“, yang telah pun bermula pada 3 November lalu bagi sebilangan pemain terpilih di United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kanada.

Pihak EA Sports dalam satu kenyataan menjelaskan tujuan ujian tersebut:
“Ini merupakan sebuah ujian main teknikal yang menggunakan perisian pra-pelancaran. Matlamat kami adalah untuk menguji pelbagai inovasi, prestasi teknikal, serta kestabilan sistem dengan memberi peluang kepada pemain jemputan untuk merasai sendiri beberapa ciri terawal yang masih dalam pembangunan dalam sebuah mod serba baharu di FC.”
Syarikat itu juga menegaskan bahawa sebarang kandungan daripada ujian main ini tidak akan dimasukkan ke dalam FC 26, sebaliknya maklum balas yang terkumpul adalah amat penting bagi proses pembangunan pengalaman tersebut yang dirancang untuk dikeluarkan dalam siri EA Sports FC pada masa hadapan.









Discussion about this post