Konsol gaming generasi baru telah bermula dengan pelancaran PlayStation 5 dan Xbox Series X/S pada hujung tahun 2020 di mana pelbagai game bertaraf AAA seperti Returnal dan Forza Horizon 5 memberi sekilas pandang kepada masa depan permainan video yang semakin canggih. Walaupun begitu, fokus utama saya dalam artikel ini ialah PlayStation 4 atau nama pendeknya PS4 yang sebenarnya tidak ditelan arus teknologi, dan masih mampu menjalankan game eksklusif supaya kekal relevan sehingga tahun 2023 (pendapat saya).
Secara amnya, daya tahan sebuah konsol PlayStation adalah kira-kira 6 hingga 7 tahun di mana PS2 bertahan dari 2000-2006, dan PS3 dari 2006 hingga 2013. Walaupun konsol-konsol ini masih menerima sokongan pada tahun-tahun berikutnya, kita boleh lihat kualiti dan jumlahnya semakin berkurangan seiring dengan keperluan zaman. Alasan utama adalah kerana teknologi tidak cukup “kuat” untuk menjalankan game baru di PS2 dan PS3.

Untuk PS4 dan PS5 pula, jurang teknologi ini tidaklah begitu jauh berbanding versi dahulu. Walaupun dikeluarkan pada tahun 2013, PS4 telah membuktikan ia mampu uruskan game eksklusif terkini seperti The Last of Us 2 dan Ghost of Tsushima yang kelihatan hampir sama cantik dengan PS5.
Horizon: Forbidden West merupakan game eksklusif seterusnya, yang akan dikeluarkan pada Februari 2022. Disahkan akan hadir ke PS4 dan PS5, ini merupakan berita baik untuk pemilik konsol lama tetapi ada juga yang bimbang sejauh mana teknologi PS4 boleh uruskan Forbidden West. Nasib baiklah developer Guerilla Games tampil dengan screenshot PS4 untuk menyakinkan hati pengguna yang bergelora.
Screenshot PS4 di atas, walaupun tidak terperinci seperti PS5, masih sangat mengagumkan dan menunjukkan prestasi visual yang saya rasa ramai akan berpuas hati untuk pengguna yang belum berpindah ke konsol generasi seterusnya.
Dari spesifikasi teknikal, memang tidak boleh menafikan bahawa Sony telah meningkatkan keupayaan PS5 di semua bahagian dengan menambahkan perkakasan SSD dan CPU yang lebih cekap dan pantas, sokongan fitur “haptic feedback dan adaptive trigger”, resolusi hingga 8K, dan lain-lain. Bukan nak kata PS4 terus tiada guna, tapi ini hanya bermakna pengalaman kita tidaklah begitu immersive dan pemain perlu menunggu sedikit lebih lama semasa loading screen semasa bermain. Hakikatnya, PS4 masih relevan dari segi visual dan teknikal.
Sony juga mengesahkan bahawa God of War: Ragnarok dan Gran Turismo 7 akan dikeluarkan untuk kedua-dua PS4 dan PS5. Jika jangkaan saya betul, Sony akan terus menyokong PS4 sehingga tahun 2023 menurut sumber ini supaya kekal relevan. Buat masa ini, tidak banyak studio yang tahu cara-cara sebenar untuk memanfaatkan kelebihan konsol generasi seterusnya. Sehinggalah hari itu tiba, PS4 akan terus kekal relevan dalam arus teknologi moden.
Untuk segala berita kami tentang PS4, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post