Studio yang berpangkalan di Indonesia, Ozysoft, telah mengumumkan Project Buramato. Ia merupakan permainan 3D action adventure platformer fantasi tinggi yang mengambil inspirasi daripada kisah mitos Borneo tradisional. Bakal dilancarkan pada hujung tahun 2022, ia akan keluar pada platform PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One, Switch, dan PC. Sebuah demo prototaip akan dikeluarkan pada Q4 2021. Bagi mereka yang tidak tahu, Ozysoft sebelum ini melancarkan permainan seram psikologi Pulang Insanity untuk PC melalui Steam. Berikut adalah gambaran untuk keseluruhan Project Buramato, menurut Ozysoft:

Ciri-ciri utama
- Permainan 3D action shooter platformer berdasarkan cerita rakyat tradisional Borneo tetapi dalam bentuk fantasi tinggi.
- Main secara aksi third-person yang berentak pantas.
- Penceritaan minimalis, dan lebih tertumpu pada suasana.
- Lawan makhluk mistik melalui gameplay penembak yang berfokus pada sihir.
- Terokai tanah-tanah lama di persekitaran dunia separuh open world yang indah.
Buat masa ini, itu sahaja yang diumumkan. Kita masih tidak tahu jalan cerita penuh dan bila tarikh pelepasan rasmi untuk permainan ini. Buat mereka yang berminat, Ozysoft mengatakan bahawa halaman Steam untuk Project Buramato akan dibuka tidak lama lagi. Untuk gambaran yang lebih jelas, anda boleh tonton treler pengumuman di bawah atau rujuk laman web rasmi di sini.
Ozysoft adalah studio permainan indie yang bebas yang berpusat di Balikpapan, Indonesia. Terkenal dengan Pulang: Insanity yang dilancarkan pada tahun 2020, ia adalah permainan genre seram psikologi, yang diilhamkan oleh pengalaman supernatural sebenar di Kalimantan Timur dan menceritakan tentang kepercayaan tempatan dengan ritual penyembahan. Jika ingin melihat kualiti studio Ozysoft, anda boleh mencuba permainan ini dahulu.
Sejak kebelakangan ini di Asia Tenggara, industri gaming memang semakin meningkat. Bukan dari segi jumlah pemain, tetapi dari segi penghasilan permainan. Dahulu China, Jepun dan Korea Selatan menguasai pasaran, tetapi saya bergembira untuk melihat negara-negara seperti Indonesia dan Malaysia mendapat perhatian yang sepatutnya kita terima. Semoga industri permainan video di Asia Tenggara semakin berkembang supaya mereka boleh menghasilkan lebih banyak permainan video berkualiti tinggi.
@gamersantaimy
Discussion about this post