Baru-baru ini, pembangun game terkenal dari China, iaitu NetEase telah melancarkan sebuah trailer untuk game mobile terbaru mereka. Game Bakuso Kyodai Let’s Go!! Mobile telah diadaptasikan dari siri anime francais klasik Tamiya terkenal tahun 1996 bertajuk Bakuso Kyodai Let’s Go!! Anda boleh tonton video trailer game ini dibawah:
Bakuso Kyoudai Let’s & Go Mobile menampilkan pelbagai jenis Tamiya dan watak dari siri asal, antaranya adalah watak utama si kembar Retsu dan Go bersama Tamiya mereka, iaitu Magnum Saber dan Sonic Saber. Berdasarkan trailer yang dikongsi, gameplay untuk Bakuso Kyoudai Let’s & Go berdasarkan pada pembinaan dan menaik taraf Tamiya pemain untuk digunakan semasa berlumba. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada sistem peningkatan akan berfungsi seperti dalam video, kerana fokus penting pada Tamiya adalah pada tayar dan bahagian motor mereka untuk menjadikan kereta mini ini boleh memecut laju dalam litar.
Menurut gambar promo rasmi, pemain dapat menyesuaikan Tamiya mereka untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan di pelbagai trek yang berbeza. Malah, terdapat mod cerita disediakan untuk menghidupkan persaingan yang dilalui oleh Retsu dan Go dari siri manga serta anime! Namun, buat masa ini NetEase tidak mengumumkan tarikh pelancaran untuk Bakuso Kyodai Let’s & Go Mobile, dan sama ada ia akan dilancarkan secara global.
Menurut laman web TapTap, pemain dapat menikmati plot klasik asal, merasai pengalaman memasang Tamiya sebenar seperti memilih badan kereta, casis, motor dan aksesori lain secara bebas. Ia juga menampilkan hampir 100 bahagian baru untuk dipasangkan pada Tamiya bagi menampakkan lebih hebat, persaingan yang adil bersama rakan-rakan dan mengimbau kembali kenangan nostalgik zaman kanak-kanak mereka.
Peminat dan pengumpul Tamiya pasti akan teruja untuk kehadiran game dari anime nostalgik mereka ini. Buat masa ini, pengguna iOS boleh mula membuat pra-pendaftaran game di laman TapTap, tetapi tarikh pelancarannya masih belum diumumkan. Jadi sama-sama kita nantikan berita gembira ini dari NetEase.
@gamersantaimy
Discussion about this post