Kamu mesti tahu tentang sebuah game mobile MOBA berdasarkan francais Pokemon kan? Diberi nama Pokemon Unite, anda kini boleh muat turun game ini.. secara tidak rasmi.
Game ini kini tersedia untuk dimuat turun di TapTap, sebuah laman aplikasi pihak ketiga untuk peranti Android. Ini bukan pelancaran rasmi, dan kemungkinan besar ialah versi permainan yang dibocorkan berikutan ujian beta yang diadakan di beberapa negara.
Harap maklum, muat turun dan bermain game ini pada risiko anda sendiri. Pemaju Pokemon Unite, TapTap, atau mahupun saya tidak bertanggungjawab atas apa-apa yang berlaku sekiranya anda memuat turun dan menemui beberapa masalah.
Jika ada yang cuba, permainan akan memberi notis yang memberitahu anda untuk tidak berkongsi apa-apa rakaman. Selain itu, tangkapan skrin pun ditandakan dengan ID anda dalam permainan anda, jadi harap semua maklum.
Terdapat 5 peranan asas dalam permainan ini iaitu Strike/Power, Support, Standard/Balancer, Defense, dan Speed manakala setiap Pokemon dibahagikan kepada 3 jenis kebolehgunaan: Beginner Medium, Advanced/Master. Sama seperti mana-mana MOBA, Pokemon tersebut juga boleh menyerang daripada jarak dekat atau jarak jauh.
Pokemon akan berevolusi pada level 5 dan level 7 (jika ia dapat berevolusi dua kali) dan akan mempelajari abiliti baru pada level 1, level 3, level 5, dan level 7. Pemain hanya boleh memilih 1 abiliti daripada 2 pilihan alternatif setiap kali daripada kategori abiliti yang sama. Semakin tinggi leve anda, semakin kuat juga lah abiliti yang dipelajari. Pada awal permainan, setiap Pokemon akan mempelajari satu abiliti asas. Apabila mempelajari abiliti ketiga, Pokemon tersebut akan melupakan abiliti asasnya. Pada level 9, Pokemon yang anda kawal akan mempelajari “Unite Move” sebagai abiliti ketiga.
Dalam perlawanan, beberapa Pokemon liar yang kuat akan muncul di peta yang menampilkan Pokemon legenda seperti Zapdos dan Drednaw. Jika anda mengalahkan mereka, pemain akan mendapat jumlah mata yang banyak berbanding Pokemon liar lain. Selain itu, item seperti Rare Candy atau Sitrus Berry juga akan muncul secara rawak di peta dan memberi kesan khas pada Pokemon yang makan.
Sekiranya anda benar-benar tidak sabar untuk bermain, saya sarankan anda untuk cuba kerana game ini sebenarnya banyak membezakan dirinya dari MOBA lain seperti MLBB, Wild Rift, dan lain-lain dengan memberi fokus pada titik penangkapan dan bukannya direka semata-mata hanya untuk bertarung.
Pokemon Unite pertama kali diumumkan pada tahun lepas dalam acara Pokemon Direct yang istimewa. Sejak itu, tidak banyak yang dikongsikan tentang game ini selain daripada ujian beta yang diadakan pada negara-negara terpilih. Jika ada yang mencuba Pokemon Unite, saya sediakan pautan muat turun di SINI melalui aplikasi TapTap! Jangan lupa untuk berkongsi pendapat anda di ruang komen selepas mencuba.

@gamersantaimy
Discussion about this post