Berbekalkan kejayaan komersial 007 First Light—yang baru sahaja melepasi angka jualan empat juta naskhah, IO Interactive nampaknya sedang rancak mencorakkan masa depan dunia perisikan digital.
Di Tokyo Game Show 2026, kami berpeluang jumpa Noémie Nakai (pelakon suara rakan ejen, Isola), Executive dan Technical Producer Cris Vega, serta Global Brand Manager Laurine Deschamps yang menjelaskan bagaimana studio ini membina sebuah thriller espionaj yang autentik dan segar terhadap legasi James Bond.

Kejayaan 4 Juta Naskhah dan Pendekatan ‘Single Player as a Service’
Bermula dengan empat juta jualan naskhah, IO Interactive melihat pencapaian tersebut bukan sebagai kepuasan emosi, tetapi penggerak kepada cita-cita masa hadapan. “Kami telah mengusahakannya selama bertahun-tahun,” jelas Laurine Deschamps mengimbas reaksi positif yang diraih.
“Melihat kasih sayang dan dedikasi warga kerja diterjemahkan ke dalam karya ini, lalu menerima sanjungan daripada pemain serta pihak media, sememangnya memberikan kepuasan yang susah diungkapkan.”
Buat pembangun ini, paparan kredit tamat bukanlah pengakhiran misi. Berpandukan kerangka yang membentuk trilogi Hitman World of Assassination, falsafah sokongan “post-launch” yang menjadi tanda dagang mereka sekarang diterapkan ke dalam semesta ciptaan Ian Fleming.
“IOI berpengalaman luas dalam apa yang kami istilahkan sebagai ‘Single player as a service’,” ujar Deschamps.
“Kami telah membuktikannya melalui Hitman. Justeru, tumpuan kami kekal terarah kepada 007 First Light demi menyajikan kandungan segar kepada komuniti.”
Komitmen berterusan ini menjamin fasa awal Bond sebagai ejen menerima pembaharuan mekanik serta naratif secara berperingkat, bukannya dibiarkan sepi selepas sekali tamat.
Mod Tactical Simulation, New Game+, dan Kandungan Roadmap Tahun Pertama
Walaupun naratif First Light berpusat pada kisah asal-usul Bond mendapat status ’00’, perancangan post-launch disusun rapi agar keterujaan itu berpanjangan melepasi plot utama. Ciri utama kesinambungan ini ialah mod Tactical Simulation; hab yang menyediakan ganjaran kosmetik, senjata tambahan, serta cabaran bertingkat.
Sebagai permulaan, tugasan pembukaan di Kensington telah dirombak menjadi sebuah sandbox dinamik.
“Kensington adalah tugasan pertama pemain,” kongsi Deschamps.
“Kami mengubah formatnya kepada persekitaran sandbox agar peringkat tersebut boleh diteroka semula dalam suasana berbeza, penuh dengan mekanik terkini, ragam musuh berlainan, dan rintangan yang lebih mencabar.”

Pelan hala tuju terdekat turut menjanjikan pembaharuan besar. Photo Mode dijadualkan tiba seiring New Game+, yang disahkan akan dilancarkan dalam tahun ini.
“Kami sudah mengesahkan kehadiran New Game+ pada akhir tahun; pembangunannya sedang dijalankan,” jelas Deschamps.
“Tentang butiran mod tersebut, peminat perlu bersabar sedikit lagi. Apa yang pasti, kami sedar betapa ciri ini begitu ditunggu-tunggu.”

Selepas mod memandu yang dilancarkan baru-baru ini serta kepulangan Bawma, peminat akan memandu sebuah lagi kereta tersohor menerusi “Valhalla Protocol”; sebuah tetapan menu in-game yang memberi akses terus ke Aston Martin Valhalla.
Pada masa sama, IO Interactive menjalinkan kolaborasi futuristik bersama pengeluar cermin mata pintar, Even Realities. Biarpun bingkai augmented reality model G2 keluaran jenama itu sudah berada di pasaran, studio telah mengintegrasikan perkakasan tersebut ke inventori maya Bond.
Malangnya, Deschamps masih belum bersedia menjelaskan fungsinya.
Sokongan DLSS 5 dan Pengoptimuman Nintendo Switch 2
Kehebatan visual 007 First Light dijana oleh Glacier; engine milik IO Interactive yang sekarang menyokong path tracing penuh pada PC berkuasa tinggi. Bercakap tentang revolusi pembinaan imej, khususnya evolusi Nvidia menuju DLSS 5, Cris Vega menegaskan bahawa ekosistem teknologi mereka sentiasa berevolusi.
“DLSS ialah inovasi luar biasa yang melaksanakan proses upscaling dengan paparan visual amat meyakinkan,” ujar Vega.
“Buat masa ini kami memanfaatkan versi 4.5. Namun, seperti sama seperti mana-mana teknologi lain yang kami miliki dengan Glacier, integrasi sistem sentiasa diperbaharui mengikut peredaran semasa. Sudah pasti kami akan beralih ke versi seterusnya apabila tiba masanya.”
Serentak dengan itu, divisyen teknikal juga giat memperkemas versi Nintendo Switch 2. Mereka melaraskan keperluan persekitaran sandbox yang luas, kepadatan khalayak, babak kejar-mengejar kenderaan, dan aksi sinematik demi mencapai sasaran 30 FPS yang konsisten.
Daripada berasa terhad oleh keupayaan konsol hibrid tersebut, Vega sebaliknya melihat kelebihan seni bina berbanding variasi perkakasan PC yang bercampur.
“Setiap konsol memiliki keistimewaan tersendiri,” terang Vega.
“Pada platform PC, pengguna mungkin memiliki kad grafik berprestasi tinggi tetapi digandingkan dengan CPU yang kurang berdaya, lantas ketidaksepadanan komponen itu menyebabkan kelakuan engine susah dijangka. Sebaliknya, Switch 2 adalah ekosistem tertutup dengan spesifikasi seragam. Kejelasan perkakasan ini membolehkan kami memerah potensi konsol tanpa perlu menyediakan margin simpanan untuk ketidaktentuan. Kami mengoptimumkannya secara total.”
Menurut Vega, port tersebut sekarang berada pada tahap kestabilan yang meyakinkan sewaktu fasa penggilapan akhir:
“Biarpun ada talaan dan modifikasi kecil, kami sama sekali tidak mengorbankan integriti jalan cerita mahupun mutu pengalaman pemain. Kualitinya kekal utuh.”
Noémie Nakai Menolak Stereotaip ‘Femme Fatale’
Diberi tanggungjawab menghidupkan watak Isola (ejen berkaliber yang muncul sebagai rakan seperjuangan Bond), Noémie Nakai telah berdepan dengan saringan pemilihan yang ketat. Berlatarkan pentas filem dan televisyen, laluan uji bakatnya merangkumi rakaman kendiri (self-tape), sesi panggilan semula bersama pengarah dan penerbit, ujian kamera di dalam volume, serta ujian keserasian bersama pelakon watak James Bond muda, Patrick Gibson.
“Mengimbau semula fasa tersebut, laluannya agak panjang,” akuinya.
“Namun tempoh itu memberi ruang berharga untuk saya mendalami jiwa watak, menetapkan arah lakonan, dan membina dinamik bersama rakan pelakon sebelum tugas sebenar bermula.”
Sebaik disahkan terpilih, rasa kagum terhadap legasi francais ini memuncak:
“Saya amat teruja. Ini legasi James Bond—diberi watak sepohon pokok sekalipun saya tetap terima.”

Ketika membentuk personaliti Isola, Nakai sedaya upaya menjauhkan diri daripada acuan watak wanita yang lazim dalam sejarah layar perak 007.
“Prinsip utama saya adalah menolak peranan femme fatale yang klise dan tipikal,” tegasnya.
“Tanggapan umum terhadap figura wanita dalam naratif James Bond sudah terlalu berakar umbi. Saya enggan terperangkap dalam kitaran acuan lapuk itu.”

Menolak tumpuan eksklusif terhadap ledakan aksi dramatik, Nakai meletakkan asas persediaannya pada realiti operasi intipan kontemporari yang jarang dipertontonkan.
“Ketepikan sebentar babak kejar kenderaan atau detik layar yang gah; saya sengaja mendalami perkara-perkara yang dianggap remeh,” ceritanya.
“Bagaimanakah seorang ejen era moden berfungsi pada waktu senggang antara operasi? Adakah sekadar menanti deringan telefon, atau terlibat dalam intipan korporat? Saya meneliti landskap perisikan tahun 2026 dan mengkaji tugasan harian mereka selain aksi fizikal—yang hakikatnya hanya merangkumi lima peratus daripada realiti sebenar.”
Biarpun butiran itu tidak ditunjukkan secara tersurat di hadapan kamera, Nakai yakin ia menambah kedalaman psikologi buat Isola:
“Segala fakta tersebut mungkin tidak digunakan secara langsung semasa penggambaran, namun keyakinan bahawa watak ini mempunyai lapisan emosi yang utuh dan bernyawa menjadikan setiap penyelidikan itu berharga.”
Pengalaman Pertama Noémie Nakai di Pentas Digital
Melangkah ke pentas performance capture buat pertama kali merupakan dimensi teknikal yang asing buat Nakai dan barisan pelakon lain. Terbiasa dengan set penggambaran konvensional, mereka perlu menyesuaikan diri dengan sut motion-capture, kamera lekapan kepala, serta persekitaran yang kosong tanpa prop mahupun pakaian sebenar.

“Memang aneh melihat mimik muka sendiri dijelmakan secara digital,” gurau Nakai sambil mengenang pengalaman awalnya.
“Latar belakang kebanyakan kami adalah televisyen dan filem, bukannya industri video game. Namun tenaga produksi menaruh keyakinan tinggi, biarpun mulanya kami serba kekok—ada kamera terpampang di depan muka dan tangan pula terkial-kial mencari kedudukan natural. Kami nampak janggal pada hari pertama kerana sedar sut ini tidak berpoket untuk menyeluk tangan. Malah, sewaktu babak awal di mana saya secara spontan menyentuh rambut Bond, kru segera menegur agar tidak berbuat demikian. Ketika itu saya terpinga-pinga memikirkan apa yang perlu dilakukan.”

Di sebalik batasan fizikal di dalam volume, medium interaktif ini rupa-rupanya menawarkan kebebasan penceritaan yang melangkaui batas sinema tradisional.
“Format filem mengehadkan masa kepada sekitar dua jam, sambil menuntut ketepatan pada setiap bingkai babak,” katanya.
“Sebaliknya dalam projek ini, kami berpeluang meneroka semangat watak dengan lebih santai, menangkap interaksi yang bersahaja, serta menunjukkan sisi kerapuhan emosi. Keluasan ruang untuk bereksperimen sebagai pelakon memberi kepuasan yang susah ditandingi.”
Menjaga Keaslian Legasi
Amanah memegang legasi harta intelek yang menjangkau enam dekad memerlukan ketelitian tinggi dalam proses kreatif IO Interactive. Titik tolak penting bermula ketika cawangan mereka di Brighton berkembang pesat, lantas mencetuskan penilaian semula terhadap draf asal skrip.
“Ketika draf naratif disiapkan, kebetulan ramai tenaga kerja berbangsa British menyertai hab Brighton,” imbas Vega.
“Sebaik meneliti naskhah, mereka menegur: Ini bukan humor British. Kita sebut car park, bukannya parking. Di mata mereka, dialog tersebut kaku dan seperti orang Denmark yang mencuba melawak gaya Inggeris. Lantas, kami melantik barisan penulis tempatan untuk mencantikkan skrip, membetulkan bahasa, dan menambah keaslian percakapan British. Dedikasi itu amat penting demi memastikan suasananya sepadan dengan identiti institusi perisikan Britain.”

Ketepatan itu disifatkan Deschamps sebagai perkara yang tidak boleh ditawar-tawar:
“Kami menghormati legasi 60 tahun James Bond dengan penuh takzim. Jenaka kering gaya British ialah nadi keaslian francais, maka kami wajib memastikan adunannya tepat tanpa cela.”
Ketepatan nada tersebut turut diterjemahkan ke dalam pemilihan pelakon utama. Di sebalik tabir, warga studio meluangkan masa bertahun-tahun menguji pelbagai prototaip model digital yang sering menimbulkan debat tanpa henti di ruang makan pejabat.
“Sebelum Patrick Gibson dimuktamadkan, kami telah mereka pelbagai model 3D yang boleh anda bayangkan,” imbau Vega sambil tertawa.
“Setiap kali rekaan disemak di kafetaria, timbul bantahan seperti ‘saya tak suka gaya rambutnya’, atau kami bertikam lidah berjam-jam hanya tentang potongan jaket. Tetapi, sebaik Patrick diuji untuk watak tersebut, suasana di kafetaria berubah serta-merta. Semua orang teruja dan berkata: ‘Kamu dah lihat? Dialah Bond kita.’ Buat pertama kalinya, wujud kesepakatan di seluruh studio. Ia satu detik yang sungguh mengujakan.”

Sentimen yakin itu diteruskan dengan pengumuman rasmi ke khalayak umum, dipadankan dengan babak pembukaan berlatarkan kolaborasi muzik idaman.
“Satu lagi detik yang menyedarkan kami bahawa kami sedang menghasilkan naskhah James Bond tulen adalah ketika menyaksikan title sequence bersama runut bunyinya,” ulas Deschamps.
“Nama Lana Del Rey telah bertahun-tahun diimpikan peminat untuk mendendangkan lagu tema 007, dan kami akhirnya merealisasikan impian itu. Paduan lagu berkenaan bersama visual pembukaan tradisi francais ini menghasilkan impak yang cukup mempesona.”
Buat para pelakon, penerimaan positif jutaan pemain membuahkan rasa rendah diri bercampur bangga.
“Mudah untuk kita terpesona dengan angka jualan, tetapi hakikatnya sambutan ini amat menyentuh hati,” simpul Nakai.
“Kami berkurung lama di dalam ruang rakaman yang sempit tanpa tahu rupa bentuk sebenar produk akhir. Apalah erti kepuasan peribadi andai karya ini gagal menyentuh hati khalayak. Dapat tahu para pemain benar-benar menghargai dan menikmati pengalaman ini menjadikan segala masa dan tenaga yang dicurahkan terasa berbaloi.”
Game ini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam, Epic Games Store), serta akan datang ke Nintendo Switch 2 pada 2027. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] Eksklusif Bersama 007 First Light – Rahsia Kelahiran James Bond Baru Di Tangan IO Interactive](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/007-First-Light_EKSKLUSIF_FI-750x375.jpg)



![[TGS2026] Total War: WARHAMMER 40,000 Beralih ke Skala Galaksi, Tidak Dihadkan Pada Satu Planet](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/Total-War-WARHAMMER-40K_QA_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post