Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

[TGS2026] Kebangkitan Semula Francais Crazy Taxi Selepas 20 Tahun; Apakah Pembaharuan Dalam ‘World Tour?’

Razin Syafiq by Razin Syafiq
September 21, 2026
in Artikel, Berita, Nintendo Switch 2, PC, PS5, Simulator, Steam, Sukan/lumba, Temuramah, Xbox Series X|S
0 0
0
[TGS2026] Kebangkitan Semula Francais Crazy Taxi Selepas 20 Tahun; Apakah Pembaharuan Dalam ‘World Tour?’
Share on FacebookShare on Twitter

Kemunculan Crazy Taxi di arked pada tahun 1999 mencipta kelainan… riuh, bersahaja, dan tidak ingin terikat dengan genre racing simulator sezaman yang serba serius. Di Tokyo Game Show 2026, Creative Producer Kenji Kanno mengenang saat bertuah yang “mengejutkan” francais kegemaran ramai ini daripada tidur yang panjang.

Selepas pelancaran game original dahulu, beliau beralih ke pelbagai projek lain di bawah naungan Sega. Sungguhpun begitu, hasrat membawa semula teksi kuning ikonik tersebut tidak pernah terpadam.

Titik tolaknya hadir ketika ilham kreatif Kanno bertemu haluan dengan perancangan syarikat yang mahu menghidupkan kembali barisan intellectual property (IP) klasik mereka.

Kenji Kanno (Creative Producer) | Kredit: Digital Braves

Hasrat itu didorong oleh kepekaan sosial beliau terhadap situasi semasa. Menyedari masyarakat hari ini kerap dihimpit berita-berita yang menyedihkan dari segenap pelosok dunia, Kanno terpanggil untuk menghadiahkan alasan tulus agar orang ramai dapat tersenyum semula.

Ciri komedi slapstick yang sinonim dengan game ini (termasuk gelagat melucukan pejalan kaki yang sentiasa terselamat walau seliar mana pun teksi) dilihat sebagai penawar paling mujarab. Beliau berhasrat mewujudkan ruang santai yang membolehkan khalayak berseronok dalam suasana kelam-kabut tanpa mencederakan sesiapa.

Konsep bersahaja itu hakikatnya sudah berakar sejak fasa awal rekaan, biarpun plot asalnya langsung tidak berpaksi pada kenderaan awam itu. Ketika mula merangka, Kanno sekadar membayangkan prototaip aksi kejar-mengejar yang meluncur tanpa arah di jalanan kota.

Namun, memandu liar tanpa motif dirasakan hambar dari sudut mekanik permainan. Detik penentu muncul melalui perbualan bersama rakan sekerja: huru-hara di tengah bandar hanya mempunyai logik penceritaan sekiranya stereng itu dikawal oleh seorang pemandu teksi.

Ujian prototaip terawal membuktikan bahawa “misi memburu penumpang mampu memberi makna pada kelajuan tinggi”, sekali gus membentuk gameplay loop yang mengasyikkan.

Melihat legasi melebihi dua dekad tersebut, Kanno menyifatkan rasa syukur dapat menghidupkan kembali projek ini sebagai kepuasan terbesar… di mana pencapaian ini mustahil wujud tanpa sokongan komuniti yang tidak pernah melupakan game berkenaan.

Kerjasama dengan Yo Momotani dan Reka Bentuk Kawalan Pemanduan

Langkah ke alam moden memerlukan sentuhan teknikal yang lebih segar, lantas mempertemukan Kanno dengan pengarah Yo Momotani. Berbekalkan reputasi hebat menerusi judul aksi arked popular Border Break, Momotani sendiri menyuarakan hasrat kepada pucuk pimpinan syarikat untuk berganding bahu dalam projek Crazy Taxi: World Tour.

Bagi Kanno yang sekian lama mengidamkan variasi “network”, penambahan rakan barunya itu membuka laluan kepada realisasi mod online multiplayer.

Agihan tugas antara mereka terjalin di mana Kanno memelihara jati diri permainan melalui pembinaan atmosfera serta world-building, manakala Momotani mengemas kini ‘core game system’ agar serasi dengan kehendak generasi baharu.

Mempertahankan legasi tersebut bermaksud sensasi drifting pantas dan momentum arked kegemaran peminat tegar tidak boleh diganggu, di samping memastikan sistem pengendalian kekal mesra kepada pendatang baharu. Kanno mengakui usaha menyeimbangkan kedua-dua aspek ini memerlukan proses ‘trial and error’ yang ekstensif.

Pihak studio mendedikasikan masa serta komitmen tinggi bagi memahami corak pembelajaran khalayak, seterusnya merangka ‘learning curve’ yang memudahkan belajar kemahiran asas tanpa merendahkan aras kemahiran teknikal yang dituntut oleh kelompok kompetitif.

Semasa mengupas dinamik memandu kereta, Kanno mendedahkan satu asas unik yang menjadi tunjang sebenar kepada gameplay:

“Crazy Taxi memberi banyak penekanan kepada kemahiran memberhentikan kereta, dan saya rasa itu sesuatu yang sangat unik serta jarang ada dalam game memandu yang lain. Anda perlu berhenti dengan sangat pantas dan kemudian terus memecut laju semula. Ia satu pengalaman luar biasa yang hanya boleh dirasai dalam game ini.”

Ketika kebanyakan game memandu moden  menitikberatkan grafik hiper-realistik atau simulasi fizikal yang rumit, entri terbaharu ini sengaja menolak kehancuran struktur bangunan mahupun laluan yang runtuh.

Physics engine permainan sebaliknya memberi tumpuan kepada tindak balas slapstick spontan di mana orang ramai terkejut lari mengelak pada saat genting, dan kenderaan melantun ke udara sejurus berlaku perlanggaran.

Reka bentuk bumbung terbuka sengaja dikekalkan bagi menunjukkan ekspresi pemandu yang menggelikan hati. Walaupun ciri ini memerlukan kerja keras daripada unit animasi dan ‘programming’, ia mengalihkan fokus kepada jenaka manusia dan bukannya tertumpu semata-mata pada kehebatan memandu.

Penceritaan Baharu Serta Aktiviti Menghantar Piza dan Memancing

Bagi penggemar yang membesar dengan versi original 1999, penambahan mod Story khusus menandakan perubahan besar dalam siri ini. Watak dahulu hanya bersandarkan rekaan luaran dan lontaran dialog arked yang ringkas, menyerahkan tafsiran latar belakang kepada pemain.

Namun bagi keluaran ini, pihak pembangun merangka naratif tersusun demi membina pemahaman canon yang seragam dalam kalangan komuniti.

Inisiatif tersebut malah mencetuskan perdebatan hangat di meja kerja, apabila setiap pereka mempertahankan pandangan masing-masing tentang watak ikonik Axel, sebelum semua idea itu akhirnya disatukan ke dalam penceritaan.

Axel diangkat sebagai watak utama kempen, digerakkan oleh plot misteri kehilangan teksinya yang dilarikan pihak tidak dikenali. Meskipun Kanno memilih untuk merahsiakan intipati jalan cerita, beliau mengesahkan bahawa beberapa wajah klasik bakal membuat penampilan sepanjang pengembaraan.

Mod naratif ini berperanan sebagai gerbang mesra bagi menarik khalayak yang lebih luas, di samping menyeimbangkan tradisi arked berasaskan pungutan mata yang memerlukan kecekapan tinggi dan perlu dipertahankan.

Di samping mod Story, pelosok kota diwarnai pelbagai tugasan sampingan yang menjangkaui rutin mengambil pelanggan, seperti menghantar piza sehinggalah aktiviti memancing.

Ketika diajukan soalan tentang kriteria pemilihan variasi aktiviti tersebut, Kanno tersenyum sambil menegaskan bahawa panduan mereka cukup mudah: segalanya wajib bertunjangkan konsep “gila” selaras dengan nama Crazy Taxi itu sendiri.

Setiap kali percambahan idea berlangsung, elemen ‘absurd’ dan keanehan sentiasa menjadi garis ukur utama.

Pihak produksi tidak ingin mengikat tempoh permainan dengan kiraan jam yang kaku, sebaliknya memfokuskan nilai main semula yang luas.

Mengambil contoh sesi pentas bersama pempengaruh di Tokyo Game Show, Kanno memerhatikan kecenderungan para peserta yang kerap mengulangi cabaran sedia ada demi memotong catatan masa serta mengasah teknik laluan.

Matlamat akhir studio adalah menghasilkan gameplay loop menyeluruh yang memberi kebebasan kepada pengguna untuk beralih antara menamatkan kempen naratif, menakluki cabaran solo, mahupun berlawan secara online multiplayer bagi satu jangka masa yang berpanjangan.

Variasi Jalan Raya Global dan Tiga Kelas Kenderaan

Bagi menghidupkan tema pengembaraan sedunia, pemilihan lokasi berdasarkan pada visual ikonik yang terus terlintas di minda khalayak. Destinasi Jerman, misalnya, sinonim dengan deruman laju melampau di Autobahn serta laluan megah sekitar Katedral Cologne.

Jepun pula menampilkan kelainan melalui jejambat lebuh raya bertingkat yang bersilang dengan lorong perumahan sempit lagi mencabar.

Strategi ini dirangka bagi memastikan setiap benua menyajikan perasaan memandu tersendiri; menguji ketangkasan menekan pedal minyak di lebuh raya Eropah sebelum bertukar ke corak pemanduan teknikal yang lincah di celah kesesakan jalanan Asia.

Perubahan geografi tersebut bukan sekadar kosmetik, bahkan menyentuh aspek mekanik serta budaya setempat. Perbezaan laluan kiri dan kanan diolah secara realistik mengikut destinasi (suatu pembaharuan yang mencetuskan rasa kekok semasa sesi penilaian dalaman).

Kru penguji dari Jepun yang terbiasa di sebelah kiri berasa resah seakan-akan melanggar undang-undang jalan raya apabila diarahkan memandu di lorong kanan, sesuatu yang dirasakan biasa oleh rakan sekerja dari Amerika Syarikat.

Suasana setempat diperincikan lagi menerusi pakaian masyarakat, pelbagai kenderaan awam, serta suara Inggeris yang pelbagai loghat, seperti dialek penduduk Jerman. Reka corak tugasan turut diimbangi antara objektif dengan misi khusus daripada keunikan negara terbabit.

Sentuhan realisme ini dikukuhkan lagi menerusi penambahan premis perniagaan berlesen sebenar, mengimbau nostalgia francais yang gemar mencampurkan kekacauan arked dengan dunia sebenar.

Menurut Kanno, game dahulu menolak elemen fantasi keterlaluan agar pemanduan liar tersebut berakar pada suasana jalanan Amerika yang tulen… falsafah sama yang sekarang dibawa ke sempadan antarabangsa.

Semasa bertugas di Jepun, pemain akan menghantar pelanggan ke restoran terkenal seperti Ramen Ichiran, CoCo Ichibanya Curry, serta cawangan Kura Sushi. Sementara itu di Jerman, lokasi persinggahan menampilkan entiti tempatan seperti jenama sukan Puma dan pengeluar perkakas dapur ZWILLING.

Menyentuh aspek kenderaan, tiada sebarang lesen pengeluar automotif komersial digunakan. Kajian selidik membuktikan peminat tegar tidak meletakkan jenama kenderaan dunia sebenar sebagai keutamaan; fokus mereka terarah sepenuhnya kepada aksi lasak dan tidak masuk akal.

Biarpun kenderaan rasmi belum didedahkan secara menyeluruh, sesi closed network testing sebelum ini menggariskan tiga kelas utama: kenderaan muatan besar yang mampu menampung ramai penumpang serentak, varian seimbang (balanced), serta kenderaan ringan untuk pecutan agresif.

Cabaran Mod Online Multiplayer dan Fizik Perlanggaran Kereta

Berbanding pembaharuan lain, mengadaptasi aksi arked yang berdesup laju dan memerlukan ketelitian tinggi ke aspek online multiplayer merupakan ujian kejuruteraan paling mencabar.

Kanno berkongsi bahawa halangan terbesar buat unit rekaan mahupun programming adalah mengendalikan fizik perlanggaran sesama kenderaan pada kelajuan tinggi:

“Apabila berbincang dengan Momotani-san, perkara paling mencabar yang perlu kami selesaikan ialah perlanggaran dengan pemain lain. Anda bergerak pada kelajuan yang sangat tinggi dan bertembung dengan pelbagai pemain, jadi merangka game design untuk mengatasi masalah itu amat susah, bermula daripada logik programming hinggalah reka bentuk peta.”

Sistem sambungan online digerakkan menerusi mekanisme dual-matchmaking, membuka pilihan untuk bersaing mengikut tahap kemahiran yang sepadan atau membentuk bilik peribadi bersama rakan.

Menariknya, reka letak bandar tidak diasingkan ke dalam arena yang terhad, sebaliknya menggunakan peta yang sama bagi kempen solo dan multiplayer. Langkah penyelarasan ini membolehkan setiap jalan pintas serta selok-belok trafik yang dipelajari semasa mod Story dipraktikkan terus dalam sesi persaingan.

Format perlawanan juga diberi pembaharuan bagi memastikan persaingan online berjalan lancar tanpa kekeliruan. Sistem tempahan tambang bersifat eksklusif; pemandu terawal yang tiba di hadapan pelanggan akan mendapat trip tersebut, lantas mengelakkan perebutan individu yang sama.

Setelah itu, sasaran perlu dihantar sepantas mungkin ke drop-off zone yang ditetapkan demi menjana skor. Menariknya, para peserta dikelompokkan ke dalam skuad berempat.

Format ini mengalihkan tumpuan tradisi daripada pungutan wang tambang individu kepada misi kolektif iaitu memaksimumkan angka hantaran penumpang secara berpasukan sebelum wisel penamat berbunyi.

Status Runut Bunyi dan Sokongan Bahasa di Asia Tenggara

Francais legenda ini tidak akan lengkap tanpa runut bunyi skate-punk yang mengiringinya, lebih-lebih lagi lagu The Offspring dan Bad Religion yang sudah sebati dengan nostalgia arked.

Sambil bergurau, Kanno mengaku bahawa komuniti pemain kadangkala nampak jauh lebih agresif mempertahankan legasi muzik tersebut berbanding dirinya sendiri. Beliau bagaimanapun menyampaikan khabar melegakan. Rundingan bagi memuatkan semula beberapa pilihan lagu ikonik tersebut sedang diusahakan.

Di samping itu, sejumlah lagu kontemporari baharu juga disusun di sebalik tabir sebagai kejutan yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Mengakhiri sesi, Kanno meluahkan penghargaan kepada penyokong antarabangsa, khususnya komuniti di Asia Tenggara. Sebagai langkah meluaskan capaian, game baharu ini akan mempunyai pilihan penterjemahan teks yang lebih menyeluruh, termasuk bahasa Thai buat kali pertama.

Kanno teruja untuk menanti aspek mana yang bakal paling memukau khalayak sebaik sahaja mereka memegang stereng.

Game ini akan keluar pada tahun 2027 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC, dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: Crazy Taxi
ShareTweetSend
Previous Post

Reviu Silent Hill: Townfall – Menghidupkan Semula Erti Seram Psikologi

Next Post

[TGS2026] Eksklusif Bersama 007 First Light – Rahsia Kelahiran James Bond Baru Di Tangan IO Interactive

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 
iOS

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 

October 12, 2026
Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun
Review

Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
Next Post
[TGS2026] Eksklusif Bersama 007 First Light – Rahsia Kelahiran James Bond Baru Di Tangan IO Interactive

[TGS2026] Eksklusif Bersama 007 First Light - Rahsia Kelahiran James Bond Baru Di Tangan IO Interactive

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto
Anime

NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto

October 12, 2026
Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’
Manga

Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’

October 12, 2026
Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global
Mobile

Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global

October 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd