Koei Tecmo dan TOHO Games telah mengumumkan The Apothecary Diaries: The False Imperial Brother, game “mystery-solving adventure” pertama yang diadaptasi daripada siri popular ini.
Didedahkan semasa Nintendo Direct baru-baru ini, game ini dibangunkan oleh Gust; studio yang cukup terkenal dalam kalangan peminat JRPG dengan francais Atelier. Game ini akan keluar pada awal tahun 2027 bagi PlayStation 5, Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam.
Apa yang membezakan game ini adalah ia tidak mengulang semula jalan cerita anime, sebaliknya menampilkan jalan cerita original yang ditulis di bawah pengawasan pencipta asal, Hyuganatsu.
Plot bermula tidak lama selepas Maomao memulakan tugas sebagai dayang di istana. Suasana mula kecoh akibat “Five Mysteries” iaitu beberapa kejadian aneh yang melibatkan seorang sida-sida tanpa wajah, stor yang menangis pada waktu malam, serta pakaian diraja yang tiba-tiba bertukar menjadi merah darah. Pengurus istana, Jinshi, menyerahkan tugas menyiasat kepada Maomao, menggunakan kebijaksanaan deduktif serta kepakaran perubatannya untuk merungkai setiap misteri secara senyap-senyap.

Siasatan Maomao akhirnya melangkaui tembok istana. Selepas pemberontakan klan Shi berjaya dipatahkan, kejadian aneh yang hampir serupa (digelar “Five Curses”) mula menghantui kawasan ibu kota. Keadaan menjadi lebih misteri apabila timbul khabar angin tentang seorang vigilante bertopeng yang menggelar dirinya sebagai “adik lelaki Maharaja”, walaupun Jinshi menegaskan bahawa individu itu bukanlah dirinya. Pada masa yang sama, Maomao turut berkenalan dengan seorang pelakon teater jalanan bernama Guanyu, yang secara tidak langsung mengheretnya ke dalam konspirasi istana yang telah terkubur berdekad lamanya.

Dari segi gameplay, ini bukan visual novel biasa. Pemain akan mengawal Maomao untuk memeriksa lokasi kejadian, menyoal siasat kakitangan istana, serta mengumpulkan petunjuk di dalam buku nota siasatan. Semasa berdepan dengan saksi atau suspek, anda perlu mengemukakan bahan bukti yang tepat. Kredibiliti Maomao akan dipertaruhkan: memberikan deduksi yang salah akan mengurangkan tahap kepercayaan watak lain, dan kesilapan berulang kali boleh membawa siasatan ke jalan buntu.

Pemain boleh meneroka pelbagai lokasi untuk mencari herba dan meracik ubat-ubatan yang diminta oleh saksi penting. Kualiti dan variasi bahan yang dikumpul akan mempengaruhi tahap kesukaran crafting minigame, tetapi jika anda hanya mahu fokus kepada jalan cerita dan siasatan, fungsi automated crafting turut disediakan untuk menghasilkan ubat dengan pantas dan mudah.









Discussion about this post