Sonic Racing: CrossWorlds baru sahaja melancarkan DLC terbaharu, dan kali ini membawa kura-kura kegemaran ramai Teenage Mutant Ninja Turtles. Menerusi DLC ini, kesemua empat adik-beradik—Leonardo, Donatello, Raphael, dan Michelangelo—boleh dimainkan sebagai “playable racer”.

Setiap seorang daripada mereka hadir dengan kelebihan racing tersendiri: Leonardo untuk Speed, Donatello untuk Handling, Raphael fokus pada Power, manakala Michelangelo lebih memilih Acceleration.
Peminat pasti dapat mengecam mereka serta-merta kerana reka bentuknya kekal setia dengan ciri klasik; Leonardo dengan topeng biru dan katana kembar, Donatello bersama topeng ungu dan bo staff, Raphael bersama topeng merah dan sai, serta Michelangelo dengan topeng oren dan nunchaku.
Ciri ikonik ini memudahkan pemain membezakan watak yang dipandu sepintas lalu, walaupun di tengah-tengah perlumbaan yang sengit.




Kenderaan Baharu dan Litar New York

Selain watak baharu, DLC ini turut memperkenalkan kenderaan jenis Power-type baharu iaitu Pizzafire Van. Rekaan van ini diadaptasi terus daripada Pizza Fire Delivery Van dalam komik dan siri animasi TMNT.
Memandangkan piza memang tidak dapat dipisahkan daripada dunia Ninja Turtles, kehadiran van ini menambah elemen nostalgia yang sangat sesuai dengan “semangat” game ini… terutamanya apabila kita memandunya di jalan raya New York.

Pemain juga disajikan dengan litar baharu di Bandar Raya New York yang direka mengikut dunia TMNT. Litar ini membawa pemain ke jalan raya bandar yang sibuk, suasana huru-hara akibat serangan raksasa, sehinggalah masuk ke terowong bawah tanah yang menjadi tempat tinggal mereka.
Aksi Ninja Turtles memecut di New York menjadikan suasana gameplay rasa lebih seperti kolaborasi sebenar, daripada sekadar menambah watak-watak baharu di dunia Sonic.

Pendapat Setakat Ini
Sama ada dari segi pilihan roster, kenderaan, mahupun litar yang disediakan, DLC ini dihasilkan dengan butiran yang sangat teliti tanpa mengabaikan “look and feel” sebenar Teenage Mutant Ninja Turtles.
Bagi mana-mana peminat yang membesar dengan francais ini, DLC ini merupakan satu penghormatan yang cukup seronok, dan memang berbaloi untuk dicuba.
Game ini tersedia untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.








Discussion about this post