Netflix berkongsi teaser baharu untuk LEGO One Piece, sebuah animasi khas dua bahagian yang bakal dikeluarkan pada 29 September 2026.
Animasi ini merupakan imbasan santai dan penuh jenaka kepada peristiwa penting daripada dua musim pertama siri live-action One Piece. Diceritakan dari sudut pandang Usopp (yang becok dan gemar reka cerita), dia berkongsi tentang pengembaraan mereka kepada Tony Tony Chopper; ahli baharu kepada kru Straw Hat. Seperti yang dijangka, Usopp melebih-lebihkan cerita dan mendakwa kononnya dia telah menewaskan musuh hebat seperti Arlong dan Alvida secara bersendirian, manakala ahli kru lain mencelah untuk membetulkan ceritanya.

Barisan pelakon utama siri live-action akan meminjamkan suara kepada watak LEGO minifigure masing-masing, termasuklah:
- Iñaki Godoy sebagai Monkey D. Luffy
- Emily Rudd sebagai Nami
- Mackenyu sebagai Zoro
- Jacob Romero sebagai Usopp
- Taz Skylar sebagai Sanji
- Mikaela Hoover sebagai Tony Tony Chopper

Selain kru utama, beberapa watak daripada siri live-action juga akan membuat kemunculan. Penonton boleh mendengar suara Charithra Chandran sebagai Princess Nefertari Vivi (Miss Wednesday), Katey Sagal sebagai Dr. Kureha, Jeff Ward sebagai Buggy the Clown, dan Callum Kerr sebagai Captain Smoker.

Dihasilkan secara kolaborasi antara LEGO Group dan Shueisha, animasi ini diusahakan oleh Atomic Cartoons (yang terkenal dengan siri Marvel’s Spidey and His Amazing Friends). Eiichiro Oda selaku pencipta asal One Piece turut terlibat sama sebagai penerbit eksekutif.
Sebelum ini, Netflix mengesahkan bahawa Musim ke-3 bagi siri live-action One Piece akan ditayangkan sekitar tahun 2027. Selain itu, peminat juga boleh menantikan remake anime hasil Wit Studio yang turut dijadualkan keluar pada Februari 2027.








Discussion about this post