Tencent melalui LightSpeed Studios bersama Square Enix bakal menamatkan perkhidmatan Final Fantasy XIV Mobile versi China, manakala rancangan untuk melancarkan versi global game tersebut juga dibatalkan secara rasmi.
Edisi China yang bertajuk Final Fantasy XIV: Crystal World dijadualkan menutup servernya pada 30 September 2026. Penutupan ini dibuat selepas setahun lebih game itu dilancarkan di tanah besar China pada 19 Jun 2025.

Menurut pengumuman rasmi, keputusan untuk menamatkan perjanjian lesen ini dicapai melalui “rundingan secara baik” antara Tencent dan Square Enix. Kedua-dua pihak menyatakan “pelarasan dalam operasi perniagaan serta perubahan persekitaran pasaran” sebagai faktor utama di sebalik keputusan ini.

Proses penutupan sudah pun bermula, didahului dengan penggantungan pembelian top-up dalam game dan pendaftaran akaun baharu pada 17 Julai 2026. Selepas server ditutup sepenuhnya pada 30 September, forum rasmi dan saluran sokongan pelanggan pula akan ditutup pada 15 Oktober 2026. Selaras dengan undang-undang privasi tempatan, semua data akaun dan watak pemain akan dipadamkan secara kekal sebaik sahaja server offline.

Dibangunkan di bawah seliaan Creative Studio III Square Enix, adaptasi mobile ini direka untuk skrin sentuh. Daripada menjadi port kepada versi PC dan konsol, ia dibina sebagai sebuah game standalone yang menceritakan semula kisah “A Realm Reborn”. Selain menampilkan interface dengan kawalan joystick maya, game ini turut menambah pilihan ‘job’ dan ‘race’ yang pernah diperkenalkan semasa pelancaran MMO versi 2.0.
Walaupun projek mobile ini terpaksa dihentikan, game utama Final Fantasy XIV Online di PC dan konsol langsung tidak terjejas dan akan berjalan seperti biasa.









Discussion about this post