Bermula hari ini, pemilik Grand Theft Auto V (GTA 5) pada konsol generasi terdahulu boleh menaik taraf ke versi PlayStation 5 atau Xbox Series X|S tanpa sebarang kos tambahan.

Menurut Rockstar Games, tawaran ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang memiliki salinan PlayStation 4 atau salinan digital Xbox One. Naik taraf ini membolehkan pemain memindahkan save data bagi Story Mode serta kemajuan GTA Online mereka ke konsol moden dengan mudah. Selain itu, pemain akan menikmati pelbagai peningkatan teknikal yang besar, ganjaran Career Progress, serta ciri eksklusif current-gen seperti kenderaan berprestasi tinggi dan pengubahsuaian daripada Hao’s Special Works.
Sebelum ini, semasa GTA 5 versi PlayStation 5 dan Xbox Series X|S dilancarkan pada tahun 2022, Rockstar hanya menawarkan naik taraf pada harga murah untuk tempoh promosi tiga bulan. Sebaik sahaja tempoh tersebut tamat, pemilik konsol lama yang ingin berpindah ke konsol baharu terpaksa membeli semula versi current-gen secara berasingan pada harga penuh.

Kemas kini hari ini turut memberi manfaat kepada pemain PC. Sesiapa yang masih bermain versi “Legacy” boleh beralih ke versi “Enhanced” secara percuma. Naik taraf ini membawakan ciri grafik baharu ke platform PC, termasuk ray-traced ambient occlusion dan global illumination. Di samping itu, ahli GTA+ boleh mengakses dan bermain Story Mode secara terus melalui GTA+ Games Library.
Usaha untuk membawa pemain ke platform moden adalah sebagai persiapan untuk pelancaran Grand Theft Auto VI yang dijadualkan keluar pada 19 November 2026. Dengan menyatukan komuniti pemain di bawah perkakasan current-gen, Rockstar dapat memastikan ekosistem gaming yang lebih lancar sambil menyokong GTA Online.








Discussion about this post