Bagi anda yang sedang menunggu harga memori DDR5 turun sebelum menaik taraf PC, nampaknya anda perlu bersabar lebih lama. Menurut AMD, harga memori yang tinggi dijangka berlarutan, dan pasaran mungkin mengambil masa sekitar dua tahun untuk pulih sepenuhnya.

Dalam satu temu bual bersama portal media 4Gamers di Computex 2026, David McAfee selaku Naib Presiden Global dan Pengurus Besar Perniagaan Saluran Pelanggan serta Grafik AMD berkongsi tentang isu kekurangan bekalan memori, trend harga semasa, dan strategi platform jangka panjang syarikat tersebut.
McAfee menjelaskan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengeluar memori telah mengurangkan pengeluaran DDR4 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada DDR5. Namun, pengguna biasa masih masih sukar untuk memperoleh satu unit berikutan pertumbuhan mendadak dalam pasaran AI.

Pusat data AI memerlukan perkakasan dalam jumlah yang sangat besar. Perkara ini mendorong pengeluar untuk mengutamakan High-Bandwidth Memory (HBM) dan silikon gred perusahaan berbanding DDR5 untuk pasaran biasa. Situasi ini telah menjejaskan bekalan untuk PC desktop, lalu menyebabkan harga runcit melambung tinggi. Sebagai contoh, kit standard DDR5-6000 berkapasiti 32GB yang dahulunya berharga sekitar RM300+ pada penghujung tahun 2025, kini melonjak hingga kira-kira RM2000+ pada pertengahan tahun 2026.

Meskipun syarikat gergasi seperti Samsung, Micron, dan CXMT dari China sedang meluaskan kapasiti pengeluaran DDR5 masing-masing, proses membina serta meningkatkan operasi kilang baharu memakan masa bertahun-tahun. Oleh sebab itu, McAfee menjangkakan pasaran hanya akan pulih secara beransur-ansur, dengan harga memori diramal kembali ke paras normal sekitar tahun 2028.









Discussion about this post