Xbox Game Studios bersama pembangun Playground Games mengumumkan bahawa game reboot Fable yang sangat dinanti-nantikan bakal dilancarkan secara rasmi pada 23 Februari 2027. Game ini akan dilancarkan di PlayStation 5 pada hari yang sama, bersama dengan Xbox Series X|S dan PC melalui Steam serta Microsoft Store. Ia juga akan tersedia di Xbox Game Pass semasa hari pelancaran.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Xbox Games Showcase, di mana pihak pembangun mendedahkan Story Trailer serba baharu; yang memberikan gambaran tentang dunia Albion serta mendedahkan beberapa nama terkenal yang menghidupkan watak-watak dalam game ini.

Antara barisan pelakon yang terlibat termasuklah bintang Marvel dan Mission: Impossible, Hayley Atwell, yang memegang watak sebagai antagonis utama game ini iaitu Isabel. Watak Isabel digambarkan sebagai seorang bekas hero yang bertekad dan sedang berduka, didorong oleh keinginan untuk memperbetulkan ketidakadilan yang tragis. Keazaman kuat itu menyebabkan dia bertentangan dengan watak pemain, serta bekas penjaganya, Humphry: yang disuarakan oleh veteran komedi British, Matt King.
Trailer berkenaan turut diakhiri dengan teaser bagi seseorang wajah yang cukup dikenali ramai: Jack of Blades, penjahat ikonik dari game asal tahun 2004.

Watak protagonis, yang dikenali sebagai “Hero of Briar Hill”, boleh diubah suai sepenuhnya (termasuk jantina) dan akan disuarakan oleh Lily Nichol dan Ukweli Roach. Barisan pelakon lain kebanyakannya menampilkan bakat dari Britain, termasuk Richard Ayoade sebagai Dave the Giant, Susan Wokoma sebagai Arden the Cobbler, dan Natasia Demetriou sebagai Jenny.
Pemain bakal menjelajahi open-world Albion, di mana setiap keputusan moral yang dibuat akan mempengaruhi reputasi mereka serta dunia di sekeliling. Selain combat yang menggunakan pedang, busur, dan sihir, Fable turut membawakan semula elemen life-simulation. Pemain boleh membeli hartanah, bekerja sebagai tuan tanah, berkahwin, dan membina keluarga.

Selain edisi standard, maklumat mengenai expansion premium bertajuk Fable: Order of the Hero turut didedahkan. Expansion ini, yang akan disertakan dalam Premium Edition dan Collector’s Edition, bakal memperkenalkan kawasan baharu di Albion serta memberikan misi kepada pemain untuk menyiasat sebuah kumpulan ajaran sesat purba. Maklumat bagi fizikal Collector’s Edition juga dikongsi, yang memaparkan patung Jack of Blades dan sebuah buku seni berkulit tebal.









Discussion about this post