Atlus secara rasmi telah mengumumkan Persona 6, iaitu game utama seterusnya dalam siri RPG popular tersebut. Didedahkan ketika Xbox Games Showcase, game ini sedang dibangunkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam serta Microsoft Store. Ia juga akan tersedia di Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran.
Walaupun Atlus tidak berkongsi tarikh pelancaran khusus, pengumuman ini menamatkan spekulasi bertahun-tahun dalam kalangan peminat.
Teaser trailer yang dikongsikan memberikan gambaran ringkas tetapi penuh misteri tentang hala tuju judul ini. Dengan membawakan tema warna hijau terang (selepas warna biru untuk Persona 3, kuning untuk Persona 4, dan merah untuk Persona 5) video tersebut menunjukkan kawasan perkuburan yang gelap di bawah hujan, berserta beberapa imej misteri bertemakan okultisme.

Menurut Atlus, Persona 6 akan menampilkan barisan watak yang baharu sepenuhnya dengan jalan cerita tersendiri berlatarkan Jepun era moden. Seperti judul-judul sebelum ini, game ini merangkumi kehidupan biasa di sekolah menengah dengan penerokaan dunia ghaib. Pada waktu siang, pemain akan menjalani rutin harian seperti menghadiri kelas, membina persahabatan, dan menjalinkan hubungan cinta. Namun di sebalik itu, wujud satu realiti yang lebih gelap di mana pemain dan rakan-rakan mereka perlu menyiasat khabar angin pelik, urban legend yang menyeramkan, serta kejadian mistik.
Penting kepada pengalaman gameplay siri ini ialah mekanik ikoniknya, iaitu membangkitkan “Persona”: penjelmaan fizikal bagi diri dalaman seseorang watak. Membina hubungan rapat dengan watak lain akan menguatkan lagi abiliti ini secara langsung, lantas menjadikan persahabatan sebagai senjata penting bagi menentang kuasa mistik yang bersembunyi dalam kegelapan.
Atlus menekankan bahawa Persona 6 direka untuk menjadi titik permulaan yang mudah didekati oleh pemain baharu, tanpa memerlukan pengetahuan tentang game-game dahulu. Walaupun francais ini mempunyai sejarah yang menjangkau tiga dekad (bermula pada tahun 1996 menerusi Revelations: Persona sebagai sebuah spin-off daripada siri Shin Megami Tensei) setiap judul bernombor merupakan sebuah kisah standalone.
Butiran lanjut mengenai watak, gameplay, dan sebagainya bagi Persona 6 dijangka akan dikongsikan dalam perkembangan akan datang daripada Atlus.
Selain Persona 6, Atlus turut mengumumkan Persona 4 Revival, sebuah remake yang akan dilancarkan pada 18 Februari 2027.









Discussion about this post