Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah membuka penyertaan untuk SEA Game Awards 2026. Acara tahunan ini (kini memasuki tahun kesembilan berturut-turut) diadakan bagi mengiktiraf kreativiti, inovasi, dan kemahiran teknikal para game developer di seluruh Asia Tenggara.
Pembangun bebas mahupun studio sedia ada mempunyai masa sehingga 3 Julai 2026 untuk menghantar penyertaan permainan video mereka untuk dinilai.
Tempoh penghantaran penyertaan telah bermula sejak 2 Jun dan akan ditutup pada 3 Julai 2026. Selepas tarikh tutup, panel juri akan menyemak dan menilai semua penyertaan sepanjang bulan Julai dan Ogos.
Senarai finalis akan diumumkan pada bulan September 2026. Seterusnya, pemenang bakal diumumkan di SEA Game Awards Show pada 15 Oktober 2026, yang diadakan sekali dengan persidangan LEVEL UP KL. Pihak MDEC menyatakan bahawa tarikh-tarikh ini tertakluk kepada sebarang perubahan.
Pembangun boleh mendaftarkan permainan video mereka dengan mengisi borang penyertaan dalam talian. Untuk maklumat lanjut, garis panduan kelayakan, serta terma dan syarat penuh, sila layari laman web rasmi LEVEL UP KL.
Manfaat untuk Finalis dan Pemenang

Bagi menyokong pembangun baharu mahupun yang sudah lama, MDEC menawarkan beberapa manfaat kepada semua finalis terpilih untuk membantu mereka mendapat pendedahan dalam industri:
- Ruang Pameran: Ruang pameran bersaiz 1 meter di LEVEL UP KL Expo yang berlangsung dari 15 hingga 16 Oktober 2026.
- Peluang Membentang: Peluang untuk membentangkan projek dalam LEVEL UP KL Pitch Day pada 14 Oktober 2026.
- Akses Acara: Satu Business Pass dan satu Conference Pass untuk ke LEVEL UP KL 2026.
- Trofi: Pemenang setiap kategori akan menerima trofi SEA Game Awards.
Sejak dilancarkan pada tahun 2017, SEA Game Awards telah menjadi platform penting bagi bakat serantau untuk membantu pembangun tempatan membina rangkaian dengan penerbit, pelabur, serta pasaran antarabangsa.
Anugerah ini merupakan acara tumpuan utama di LEVEL UP KL. Kini ke edisi ke-12, LEVEL UP KL dianjurkan oleh MDEC di bawah Kementerian Digital Malaysia.









Discussion about this post