Terus-terang cakap, Indiana Jones and the Great Circle nampak sangat cantik di PC dan Xbox Series X. Semuanya padat dengan butiran terperinci, dan gameplay pun berjalan sangat lancar pada 60 FPS. Jadi, apabila port Indiana Jones and the Great Circle untuk Nintendo Switch 2 diumumkan, ramai yang mula berasa ragu-ragu.
Kuasa pemprosesan Switch 2 tidak setanding Xbox Series X. Usaha memasukkan sebuah game open-world berskala besar ke dalam konsol handheld hybrid biasanya memaksa pembangun mengorbankan banyak perkara.
Persoalan utamanya bukanlah sama ada port ini boleh dibuat, tetapi berapa banyak elemen gameplay yang masih ‘kekal ‘ selepas dipindahkan.
Jawapannya? Agak mengejutkan, banyak juga yang berjaya dikekalkan… walaupun ada beberapa kekurangan yang terpaksa diterima.
Rumusan Bagi Mereka Yang Kurang Tahu Judul Ini

Bagi anda yang baru mengenali game ini, jalan ceritanya berlaku di antara filem Raiders of the Lost Ark dan The Last Crusade. Indiana Jones atau gelaran pendekknya Indy sedang memburu sebuah kumpulan purba misteri yang dikaitkan dengan agama Kristian awal.
Pengembaraan ini akan membawa pemain mengelilingi dunia, dari Mesir dan Vatican City sehinggalah ke hutan rimba Sukhothai.

Daripada lambakan aksi tembak-menembak, anda akan lebih banyak meneroka kawasan semi-open yang luas, padat dengan misi utama, side quest, dan teka-teki tersembunyi.
Indy ialah seorang pakar arkeologi yang bersenjatakan cemeti, jadi game ini sangat menggalakkan kita untuk menyelinap (stealth), berfikir dengan pantas, dan menewaskan musuh secara bijak berbanding berlawan secara berdepan.
Pacing game agak perlahan, dan rekaan teka-teki yang ala dungeon membuatkannya terasa lebih mirip dengan Zelda berbanding game aksi pengembaraan biasa.
Visual Lebih Baik Daripada Jangkaan, Tetapi Ada Kekurangannya
Kebanyakan pemain mungkin sudah merendahkan jangkaan grafik sebelum mencuba game ini… dan itu memang wajar. Namun berita baiknya, versi Switch 2 nampak jauh lebih cantik daripada yang disangka. Walaupun bukan satu keajaiban, ia tetap sebuah port yang mantap dengan beberapa kompromi.

Kejutan terbesar adalah kebolehan pihak pembangun untuk mengekalkan pencahayaan ray-tracing dengan sangat kemas. Anda memang kena kecilkan mata kalau nak cari kecacatan visual. Kualiti pencahayaannya pun cukup menawan sehinggakan atmosfera asal game itu langsung tidak terjejas.

Walau bagaimanapun, model watak mengalami sedikit downgrade. Kalau dibandingkan dengan versi PC atau konsol lain, butiran pada wajah nampak berkurangan walaupun model asasnya masih elok. Menariknya, penurunan kualiti ini sebenarnya membawa kebaikan tersendiri.
Semasa pelancaran asal, animasi watak dan riak wajah memang nampak agak kaku. Memandangkan Switch 2 berjalan pada resolusi 720p yang sedikit kabur, ia secara tak langsung melicinkan kekasaran tersebut, lantas menjadikan kekakuan watak kurang ketara.

Secara keseluruhan, persekitaran dalam game masih nampak cantik. Rimba, pergunungan bersalji, dan padang pasir semuanya memuaskan mata… asalkan tidak diteliti terlalu dekat. Kelemahan sebenar hanya terserlah jika anda zoom in, di mana tekstur watak dan persekitaran nampak ketara lebih termampat.
Jika dimainkan dari jarak biasa grafiknya nampak memuaskan, tetapi dari dekat teksturnya jelas kelihatan agak kasar.
Prestasi Stabil, Tetapi Ada Sedikit Cacat Cela

Beralih kepada prestasi, versi Switch 2 dikunci pada 30 FPS (berbanding 60 FPS di PC/Xbox), tidak kira sama ada dalam mod docked ke TV atau mod handheld. Biasalah, ia memang kedengaran seperti satu downgrade yang besar.
Namun, memandangkan gameplay lebih berfokus kepada penerokaan perlahan, penyelesaian teka-teki, dan bermain secara santai, ia langsung tidak menjejaskan pengalaman. Anda jarang memerlukan tindak balas refleks pantas yang mungkin terkesan akibat frame rate yang rendah.
Pendek kata, 30 FPS sudah lebih daripada cukup untuk The Great Circle.

Prestasinya juga amat stabil secara amnya. Walaupun semasa babak kejar-mengejar atau pergaduhan besar (adegan di mana kita selalunya menjangkakan frame rate akan jatuh), game ini masih berjalan lancar tanpa sebarang sekatan besar.

Pun begitu, ada dua isu utama yang agak merimaskan. Pertama, skrin akan tersekat-sekat dan membeku buat seketika setiap kali game melakukan autosave. Memandangkan ia kerap menyimpan data secara automatik, gangguan ini terjadi dengan cukup kerap sehingga mengganggu rentak gameplay, apatah lagi pada tahap 30 FPS.
Kedua, apabila kamera zoom ke objek tertentu (terutamanya pada prop yang ada teks atau gambar) kualiti tekstur terus merosot. Resolusinya terlalu rendah hingga menjadi kabur, lantas boleh memecahkan keasyikan pemain.

Anda mungkin perasan insiden pop-in, di mana objek dari jauh hanya akan render lebih banyak butiran apabila anda mula mendekatinya. Tetapi, ini adalah lumrah untuk port sebesar ini.
Pembangun juga telah mengurangkan jumlah NPC di latar belakang, walaupun pengurangan ini tidak begitu terasa ketika anda berada di kawasan dunia open-world yang luas.

Satu hal penting tentang kualiti audio: game ini mempunyai adunan bunyi dinamik yang sangat bagus apabila kita memakai headphone berkualiti. Sayangnya, ia kedengaran agak tenggelam dan kurang jelas jika hanya bergantung pada built-in speaker Switch 2.
Jika bermain dalam mod handheld tanpa headphone, suara dari jauh menjadi sangat perlahan, dan spatial audio jadi sukar untuk dikesan. Ini sememangnya kelemahan speaker konsol sendiri, jadi amat disarankan agar anda memakai headphone untuk sesi bermain yang panjang.
Pendapat

Secara keseluruhan, usaha memindahkan Indiana Jones and the Great Circle ke Switch 2 adalah satu usaha solid yang berjaya mengekalkan intipati game asalnya. Dengan frame rate yang stabil, elemen asas gameplay yang masih utuh, serta kompromi visual yang diuruskan dengan baik, ia masih sangat selesa untuk dimainkan.
Sebagai sebuah port, ia benar-benar melunaskan tanggungjawabnya.

Tapi kalau dilihat dari gambaran yang lebih besar, game ini sebenarnya direka khusus untuk dimainkan pada tahap 60 FPS berserta kemegahan visual konsol current-gen.
Pengalaman melihat padang pasir yang luas, makam purba yang menyeramkan, dan segala butiran kecil yang menghidupkan dunianya… semua itu akan hilang seri sedikit di versi Switch 2. Ia masih sebuah game yang baik, namun ia tidak sepatutnya menjadi pilihan pertama anda.
Jika mempunyai akses ke PC atau konsol generasi terkini, bermain di platform tersebut adalah pilihan yang paling tepat.

Walau bagaimanapun, jika Switch 2 adalah satu-satunya konsol yang anda ada, port ini tetap sangat berbaloi untuk dimiliki. Cuma, selaraskan jangkaan dan jangan harapkan kualiti visual yang sama menakjubkan dengan konsol di mana game ini asalnya dicipta untuk.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Indiana Jones and the Great Circle (Nintendo Switch 2)
Port Switch 2 ini menawarkan pengalaman Indiana Jones paling tulen secara handheld dengan mengekalkan ray-tracing dan atmosfera asal pada 30 FPS yang stabil. Walaupun kualiti tekstur dikurangkan dan ada sedikit gangguan autosave, ia tetap pilihan terbaik buat pemilik Switch 2, biarpun versi PC atau Xbox kekal unggul dari segi visual.
PROS
- Ray-traced global illumination berjaya dikekalkan dan nampak cantik
- Berjalan dengan sangat stabil pada kadar 30 FPS
- Jalan cerita, level design, dan aura keseluruhan masih utuh
- Sokongan untuk gyro aiming, kawalan tetikus, dan HD Rumble
CONS
- Isu freeze seketika yang merimaskan setiap kali game melakukan autosave
- Tekstur nampak agak kabur apabila diteliti dari jarak dekat
- Speaker Switch 2 tidak mampu menampung kelincahan audio game ini









Discussion about this post