Nintendo Switch 2 bakal menerima satu lagi game eksklusif yang sangat dinantikan iaitu Star Fox. Bukan sekuel, game ini merupakan sebuah ‘cinematic reimagining’ bagi judul kegemaran ramai Star Fox 64, yang telah dirombak sepenuhnya untuk mempamerkan kehebatan konsol terbaharu Nintendo.
Kita pun tidak perlu menunggu lama, kerana game ini akan dilancarkan pada 25 Jun 2026. Pra-pesan juga telah dibuka di Nintendo eShop.
Walaupun jalan ceritanya masih mengekalkan plot asal iaitu perjuangan Fox McCloud dan pasukannya dalam misi menyekat rancangan jahat saintis gila Andross, edisi ini jauh lebih hebat daripada sekadar naik taraf visual HD biasa.
Pemain bakal disajikan dengan reka bentuk yang lebih moden serta persekitaran yang dirombak. Bagi memberikan pengalaman sinematik, ia turut menyertakan dialog dengan lakonan suara penuh, taklimat misi yang segar, serta iringan muzik orkestra bagi menggantikan skor muzik sintetik asal.

Dari segi mekanik gameplay, aksi combat udara serta gerakan ikonik seperti barrel roll dan somersault dikekalkan. Namun, Nintendo memperkenalkan sistem kawalan baharu untuk memberikan pengalaman lebih unik.
Antara ciri tersebut ialah Joy-Con 2 Mouse Control. Dalam mod singleplayer, juruterbang boleh menukar mod kawalan antara butang tradisional atau sistem bidikan gaya tetikus yang lebih tepat.
Selain itu, game ini turut menyokong mod co-op “gunner”; di mana pemain kedua boleh menyertai kita secara lokal atau dalam talian untuk mengendalikan senjata, sementara anda fokus sepenuhnya kepada pemanduan pesawat.

Star Fox baharu ini juga sangat mementingkan pengalaman sosial. Ada Battle Mode 4-lawan-4 yang membolehkan pemain memilih untuk berpihak kepada Team Star Fox atau Team Star Wolf.
Pertarungan ini bukan sekadar combat udara biasa; ia merangkumi misi berasaskan objektif seperti menguasai zon tertentu atau merampas kargo daripada lanun angkasa.

Selaras dengan pelancaran ini, Nintendo turut memperkenalkan platform GameChat. Pemain boleh menggunakan avatar interaktif yang meniru ekspresi muka secara masa nyata, membolehkan kita muncul sebagai Fox, Falco, atau Peppy semasa berbual suara dengan rakan.
Malah, ada AR filter yang memberikan telinga rubah atau paruh Falco yang bergerak mengikut percakapan anda.
Bagi mereka yang lebih gemar bermain secara solo, sistem laluan bercabang yang membentuk identiti asal francais turut kembali. Bergantung kepada prestasi atau rahsia yang ditemui, laluan anda dalam Lylat System akan berubah-ubah, sekali gus membawa kepada planet dan bos yang berbeza.

Berikut adalah mod permainan yang disediakan:
- Campaign Mode: Merangkumi tahap Easy dan Normal, dengan mod Expert yang boleh dibuka khas untuk pemain veteran.
- Challenge Mode: Memberi peluang kepada pemain untuk bermain semula peringkat yang telah diselesaikan bagi mencuba objektif skor tinggi yang tertentu.
- GameShare: Nintendo mengesahkan ciri local multiplayer akan berfungsi di kedua-dua konsol Switch 2 dan Nintendo Switch. Walau bagaimanapun, ciri GameShare dalam talian adalah eksklusif untuk sistem baharu sahaja.









Discussion about this post