Minggu lalu, kami telah menghadiri sesi taklimat untuk Monster Hunter Outlanders sebelum Closed Beta Test (CBT2) keduanya. Diketuai oleh Produser Dong Huang dari TiMi Studio Group, pembentangan ini menjelaskan apa yang pemain boleh jangkakan daripada game mobile akan datang ini, yang dibangunkan dengan kerjasama Capcom.
Walaupun kami dapat melihat mekanik gameplay dengan jelas, sorotan utama sesi tersebut adalah sesi Q&A yang menjawab beberapa soalan paling hangat daripada komuniti.
Berikut adalah semua yang anda perlu tahu tentang Monster Hunter Outlanders setakat ini.
Soalan Utama: Bolehkah Anda Bermain Tanpa Membayar?

Soalan yang paling bermain di fikiran pemain bagi adaptasi mobile free-to-play ini pastinya adalah cara monetization.
Apabila ditanya sama ada janji “tiada pay-to-win” bermaksud pemain boleh mencapai tahap paling tinggi tanpa mengeluarkan wang, Huang memberikan jawapan: Monster Hunter Outlanders adalah game mobile 100% free-to-play yang boleh dinikmati sepenuhnya tanpa berbelanja satu sen pun.

Memandangkan game ini tertumpu sepenuhnya pada PvE tanpa mod kompetitif PvP, pemain yang membayar tidak akan mendapat kelebihan yang tidak adil. Pasukan pembangun, yang juga peminat tegar Monster Hunter, telah menjalankan simulasi ujian dalaman dengan bermain sepenuhnya sebagai pemain free-to-play.
Mereka mengesahkan bahawa mereka dapat menamatkan cerita utama dan meningkatkan watak masing-masing dengan mudah. Malah, beberapa mod permainan direka dengan statistik yang disetarakan sepenuhnya, yang bermakna kejayaan anda bergantung seratus peratus pada teknik pemburuan.

Game ini akan menampilkan pilihan live-service biasa, termasuk monthly pass, battle pass, pelbagai peringkat top-up, dan pakej masa terhad. Walau bagaimanapun, item kosmetik (seperti set skin senjata unik yang diinspirasikan oleh masakan Cina dan budaya makanan Monster Hunter) tidak memberikan sebarang bonus statistik.

Watak baharu boleh didapatkan menggunakan “Ruta Coin”. Pemain akan menerima watak secara natural apabila mereka maju dalam jalan cerita dan boleh mengumpul Ruta Coin melalui gameplay harian untuk mendapatkan watak yang lain.
Pihak pembangun menegaskan bahawa setiap watak boleh didapatkan secara percuma dan tiada watak yang akan dikunci di sebalik paywall. Namun begitu, mereka ingin mengumpul maklum balas pemain semasa CBT2 untuk menyelaras rentak dan cara watak ini didapatkan.
(Notis: Ciri berbayar hanya diaktifkan dalam CBT2 bagi tanah besar China untuk tujuan ujian).
Dunia, Latar Cerita, dan Butiran Teknikal
Outlanders bermula apabila guild anda terperangkap dalam ribut secara tiba-tiba, memaksa kita mendarat secara cemas di Aesoland. Pulau terpencil yang tidak dipetakan ini kaya dengan Radiantite, sejenis mineral misteri yang mempengaruhi ekosistem tempatan dan penghuninya.
Semasa sesi Q&A, Huang menjelaskan bahawa walaupun Outlanders mengekalkan elemen teras francais ini, ia berada dalam alam semesta yang berasingan dan tiada kaitan jalan cerita dengan game Monster Hunter yang lain.
Aesoland terbahagi kepada pelbagai biom yang unik, di mana kawasan Giantwood Locale dan Searing Plains turut tersedia dalam CBT2. Matlamat asal mereka adalah untuk membina open world yang sepenuhnya seamless (tanpa loading screen).
Namun, pasukan pembangun akhirnya berkompromi demi memaparkan rupa bumi yang sangat terperinci dan cuaca yang dinamik. Walaupun penerokaan di dalam satu wilayah adalah seamless, anda akan melalui satu loading screen yang sekejap apabila bergerak dari satu wilayah ke wilayah lain.

Untuk meneroka kawasan yang luas ini, pemain boleh mencipta item dan bebas membina fasiliti di kawasan liar. Peta dalam game juga dipenuhi dengan ‘field event’ untuk menggalakkan penerokaan, seperti Zen Stone Balance, Gliding Challenge, dan Egg Heist Challenge.

Dari segi teknikal, game ini hanya dikeluarkan untuk peranti mobile iOS dan Android. Apabila ditanya tentang versi PC, Huang menyatakan bahawa pasukan mereka kini fokus sepenuhnya pada platform mobile. Mereka juga mengesahkan bahawa sambungan internet aktif sentiasa diperlukan untuk bermain, yang bermakna tiada mod offline.
Untuk pengguna peranti berspesifikasi tinggi seperti M5 iPad Pro atau iPhone 17, pasukan ini sedang giat mengkaji sokongan 120 FPS dan akan berkongsi kemas kini pada masa hadapan.
Sistem Combat Khas untuk Skrin Sentuh

Pasukan pembangun mencipta sistem combat yang mengekalkan aksi ikonik siri ini sambil membuatkannya selesa dimainkan di peranti mobile.
Pemain boleh menggunakan “Classic Mode”, yang menetapkan kombo senjata biasa ke butang abiliti khusus dan ketikan pantas; atau “Adventure Mode”, tetapan tiga butang yang dipermudahkan (Attack, Defensive, Burst) untuk membantu pemain baharu membiasakan diri dengan cepat.

Demi memastikan tumpuan kekal pada pemburuan, game ini menyertakan kamera auto-focus, penunjuk visual yang lebih jelas untuk serangan raksasa, serta ciri part lock-on tepat yang boleh diaktifkan dengan menahan butang aim.
The Fated Adventurer, Senarai Watak, dan Buddy

Anda bermain sebagai The Fated Adventurer, watak utama yang boleh diubah suai sepenuhnya dan menonjol kerana fleksibiliti yang tiada tandingan.
Watak utama adalah satu-satunya karakter yang boleh menggunakan kesemua enam senjata yang tersedia dalam CBT2 (Great Sword, Long Sword, Dual Blades, Bow, Heavy Bowgun, dan Lance) serta boleh bertukar ganti antara tiga class dalam game secara bebas.
Huang menerangkan bahawa kebolehan menukar class ini akan terbuka secara semula jadi mengikut jalan cerita dan boleh dilakukan pada bila-bila masa melalui UI.
Fleksibiliti tertinggi ini memastikan watak utama kekal relevan selamanya dan mudah dimasukkan ke dalam mana-mana kombinasi skuad walaupun senarai watak permainan bertambah.

Semasa bermain, anda akan merekrut Adventurer pakar yang membawakan modul aksi dan skil yang sangat unik kepada jenis senjata yang anda sudah biasa gunakan. Watak-watak ini terbahagi kepada tiga peranan, dan masing-masing digandingkan dengan jenis rakan Buddy khusus:
- Assault (Damage Dealers): Digandingkan dengan rakan Palico klasik (seperti Kojirou). Barisan agresif ini termasuk Ouyang, yang menggunakan perisai Lance miliknya untuk parry dan membina “Impetus” bagi melancarkan tujahan yang kuat; Midori, yang mengelak dan menyerang balas dengan Long Sword yang disembunyikan dalam alat muzik shamisen; Luka, pengguna Bow yang menembak mengikut rentak pantas; dan Varen, seorang pejuang bersemangat yang menggunakan combat jarak dekat untuk melepaskan serangan charged Great Sword yang dahsyat.

- Disruptor (Control & Debuff): Digandingkan dengan rakan Rutaco serba baharu (seperti Hoppy). Pasukan ini termasuk Raya, yang menekan pergerakan raksasa dengan teknik kaki Dual Blades sambil merendahkan pertahanan mereka; Pepper, yang melompat ke udara menggunakan Heavy Bowgun untuk melambatkan sasaran; Freya, ketua guild yang mempunyai kombo Great Sword sepantas kilat; dan Keres, seorang pemburu ganas yang sentiasa mencari keseronokan berlawan dengan mencarik raksasa menggunakan serangan Dual Blade ibarat ribut.

- Support (Heals & Buff): Digandingkan dengan rakan Trillan serba baharu (seperti Ravinge). Peranan penting ini menampilkan Madelyn, yang melepaskan spora meletup menggunakan Bow sambil meningkatkan serangan skuad, dan Arkaya, seorang kebal bersenjatakan Lance yang menggunakan perisai kumpulan untuk menangkis serangan maut.

Mod Permainan, Multiplayer, dan Guild

Outlanders menawarkan pelbagai cara untuk memburu. Dalam Single Player, anda boleh merekrut sehingga tiga watak NPC untuk membentuk satu skuad penuh.
Jika anda mahukan cabaran yang lebih sukar, mod Solo Trial membolehkan kita mengambil bahagian dalam pemburuan berulang dan mencabar melalui Monster Arena, Trial Expedition, dan Crisis Hunt.
Bagi mereka yang ingin membuktikan kemahiran mereka, Arena Quest memberikan watak yang telah ditetapkan kepada pemain dan peralatan yang seragam untuk bersaing demi mencatat masa penyelesaian terpantas pada papan pendahulu global di format Solo, Squad, dan Duo.

Mod Squad Co-Op empat pemain sangat menonjolkan kerjasama berpasukan. Pasukan boleh menyertai cabaran Normal atau Dangerous mingguan, berserta Co-Op Hunt harian yang santai atau mencabar.
Jika anda berjaya memukul bahagian badan raksasa dengan sempurna bersama pasukan, ia akan mengaktifkan “Co-op Skill” yang sangat kuat. Walau bagaimanapun, Huang menyatakan semasa Q&A bahawa mod multiplayer bukan sekadar satu skill.
Disebabkan setiap peranan mempunyai kepakaran khusus, setiap skuad perlu sentiasa berkomunikasi secara aktif untuk menguruskan crowd control, menetapkan masa untuk buff, dan merancang laluan pemburuan mereka.

Guild memainkan peranan yang sangat besar dalam ekosistem sosial game ini. Selain menjadi Gathering Hub tradisional, Guild menampilkan aktiviti yang sangat unik.
Ahli-ahli boleh bersaing dalam Dance Night Party berdurasi 10 minit, atau menyertai Guild Clash: cabaran speedrun multiplayer mingguan, di mana anda memburu sasaran tertentu untuk menaikkan kedudukan berlawan dengan Guild saingan. Huang mengesahkan bahawa lebih banyak acara guild masa terhad akan dijelaskan tidak lama lagi.

Kesemua ini digabungkan di bawah Season System. Setiap hari, pemain menerima enam Adventure Proposal (misi harian) yang menyumbang kepada ganjaran pencapaian. Sistem Rank memantau empat mod asas: Expedition, Solo Trial, Co-Op, dan Honorable Showdown.
Menariknya, pemain hanya perlu mengambil bahagian dalam mana-mana dua daripada empat mod ini untuk mendapatkan kesemua ganjaran musim yang tersedia. Ini membolehkan anda bermain mengikut gaya permainan pilihan sendiri.

Raksasa dan Rancangan Pasca-Pelancaran
CBT2 menampilkan senarai raksasa awal yang cukup dikenali, termasuk Diablos, Rathian, Anjanath, Paolumu, Great Jagras, dan Tobi-Kadachi.
Walau bagaimanapun, bahaya sebenar datang dari Radiant Monster. Selepas bermutasi akibat persekitaran Aesoland, makhluk-makhluk ini mempunyai keupayaan yang dipertingkatkan. Apabila masuk ke dalam ‘frenzied state’, mereka bukan sahaja menyerang dengan lebih kuat, malah menggunakan moveset dan corak serangan baharu.
Pemain CBT2 akan berdepan dengan versi Radiant bagi Diablos, Anjanath, Barroth, Rathian, dan Pukei-Pukei. Apabila ditanya sama ada raksasa yang betul-betul baharu akan muncul, Huang merujuk kepada mutasi Radiant ini sebagai tarikan utama, tetapi masih merahsiakan identiti ‘flagship monster’ sebenar game ini.
Beliau sekadar memberikan petunjuk tentang makhluk misteri yang memberi hormat kepada matahari yang dilihat dalam trailer bulan April lalu.

Sebagai game live-service, Monster Hunter Outlanders akan menerima kemas kini berterusan berpandukan data dan penambahan raksasa baharu berdasarkan maklum balas komuniti. Memandangkan CBT2 hampir bermula, tidak lama lagi kita akan dapat melihat sendiri bagaimana rupa sebenar dunia permainan ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post