Xiaomi memperluas barisan tabletnya di Malaysia dengan pelancaran Siri REDMI Pad 2 9.7.
Direka khas untuk pengguna yang merasakan tablet 11 inci terlalu besar tetapi telefon pintar pula terlalu kecil, siri baharu ini menawarkan reka bentuk kompak dan prestasi yang telah dipertingkatkan dalam dua pilihan: model Wi-Fi standard dan versi yang menyokong rangkaian 4G.

Tarikan utama siri ini adalah skrin bersaiz 9.7 inci. Walaupun banyak tablet kini mengejar skrin yang lebih besar dan berat, Xiaomi memilih saiz “sweet spot” ini agar lebih selesa dipegang dengan sebelah tangan dan mudah dibawa ke mana-mana. Skrin ini dilengkapi resolusi 2K.

Bagi pengguna yang sering menggunakan tablet untuk tempoh lama, Xiaomi mempunyai tiga pensijilan perlindungan mata TÜV Rheinland untuk mengurangkan keletihan mata. Skrin ini juga mampu mencapai tahap kecerahan sehingga 600 nits dalam Outdoor Mode; cukup terang untuk dilihat dengan jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Selain itu, sokongan refresh rate 120Hz menjadikan pengalaman melayari media sosial atau bermain game terasa lancar dan responsif.

Dari segi dalaman, kedua-dua model dikuasakan oleh chipset Snapdragon® 6s 4G Gen 2. Dibina berasaskan proses 6nm, pemproses ini 34% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya dengan skor AnTuTu melebihi 400,000.
Ini bermakna tablet ini mampu mengendalikan pelbagai multitasking dan game sederhana tanpa masalah “lag” yang sering dialami pada peranti kelas bajet.

Ketahanan bateri juga menjadi kelebihan utama, di mana bateri berkapasiti 7,600mAh mampu bertahan sehingga 1.7 hari.
Siri REDMI Pad 2 9.7 dilengkapi dengan sistem operasi terbaharu Xiaomi HyperOS 3. Ciri-ciri utama termasuk:
- Xiaomi Interconnectivity: Pengguna boleh menyalin teks pada telefon Xiaomi dan terus menampalnya ke tablet melalui fungsi shared clipboard.
- Circle to Search: Dengan kerjasama Google, pengguna hanya perlu membulatkan sebarang imej atau teks pada skrin untuk mendapatkan hasil carian dengan pantas.
- Personalised Design: Pilihan lock screen dan wallpaper baharu membolehkan pengguna mengubah rupa tablet mengikut cita rasa sendiri.

Walaupun mempunyai bateri yang besar, tablet ini masih nipis dengan ketebalan hanya 7.4mm. Model Wi-Fi standard menggunakan rekaan full-metal unibody, manakala varian 4G tampil dengan jalur estetika di bahagian belakang.
Xiaomi turut menyatakan bahawa kedua-dua model telah melepasi lebih 40 ujian ketahanan bagi memastikan ia mampu bertahan daripada hentakan atau jatuh dalam kegunaan harian.
Harga dan Ketersediaan
Siri REDMI Pad 2 9.7 boleh didapati di Malaysia bermula hari ini dalam dua warna menarik: Graphite Gray dan Silver. Untuk setiap pembelian, Xiaomi turut menyertakan pelindung percuma.
REDMI Pad 2 9.7 (Model Wi-Fi):
- 4GB + 64GB: RM 569
- 4GB + 128GB: RM 599
REDMI Pad 2 9.7 4G (Model LTE):
- 4GB + 64GB: RM 649
- 4GB + 128GB: RM 699
Tablet ini boleh dibeli di semua kedai sah Xiaomi di seluruh Malaysia, atau secara dalam talian melalui mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.









Discussion about this post