Tahun baru pasti datang dengan model laptop baharu, dan kali ini kami diberi peluang untuk mengulas tentang TUF Gaming A14 (2026). Sebagai pengguna lama ASUS TUF Gaming F17, saya fikir saya sudah tahu segalanya tentang siri TUF dan menjangkakan tidak banyak perubahan untuk versi 2026.

Malah sekali pandang, TUF Gaming A14 (2026) nampak seperti model biasa dalam siri ini. Tetapi, tanggapan saya berubah sama sekali apabila mula memegangnya. Dengan berat hanya 1.48kg, ia sangat-sangat ringan… lebih menyerupai siri ROG Flow berbanding mesin TUF tradisional yang berat dan tebal.
Ini adalah satu perubahan besar daripada F17, dan ciri mudah alih itu hanyalah permulaan. Berikut adalah ulasan penuh kami untuk mereka yang berminat untuk membeli peranti tersebut.
Paparan

Skrin 14-inci adalah salah satu ciri terbaik pada laptop ini. Ia menampilkan resolusi 2.5K (2560×1600) yang tajam serta refresh rate 165Hz yang pantas dengan response time 3 milisaat.
ASUS menggunakan aspect ratio 16:10 yang lebih tinggi, memberikan ruang menegak tambahan yang sangat berguna tidak kira sama ada anda sedang bermain game, bekerja, atau melayari internet. Laptop ini juga dilengkapi AMD FreeSync untuk mengelakkan screen tearing dan memastikan pergerakan pada skrin sentiasa lancar.

Panel anti-glare mempunyai liputan warna spektrum sRGB 100%, jadi warna dalam game dan filem nampak lebih hidup dan tepat. Tak perlu kata, ini sememangnya sebuah paparan premium yang dimuatkan ke dalam bingkai yang sangat kompak.
Reka Bentuk & Mobiliti

Ini adalah komputer riba TUF paling kecil yang pernah dihasilkan oleh ASUS, dan sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana. Pada berat 1.48kg, ia tidak akan membebankan beg kita; menjadikannya satu ‘perkara’ yang jarang wujud pada peranti yang padat dengan kuasa sebegini.

Ketahanan baterinya juga mantap berkat kapasiti 73Wh, dan ciri fast charging sangat praktikal di mana kita boleh mengecas bateri sehingga 50% dalam masa lebih kurang 30 minit. Golongan kreatif juga pasti menyukai slot kad microSD dalaman yang memudahkan pemindahan gambar dan video dengan pantas.

ASUS turut meningkatkan kualiti binaannya, menggunakan proses CNC machining pada bahagian bucu dan engsel untuk memberikan rekaan yang lebih kemas dan premium kepada casis berbanding model TUF yang lama.
Gaming

Sudah tentu, persoalan terbesar untuk laptop gaming senipis ini adalah sejauh mana kemampuannya untuk mengendalikan game. Walaupun ia tidak disasarkan untuk bermain game berat pada tetapan maksimum 4K, prestasinya sangat cemerlang pada resolusi asal 2.5K dengan tetapan medium.
Dalam ujian kami, game Pragmata pada Performance mode (tetapan medium pada resolusi 2.5K) memberikan kadar bingkai sangat lancar sekitar 60 hingga 70 frames per second. Where Winds Meet dan Marathon juga berjalan dengan sangat cemerlang pada tetapan medium 2.5K yang sama.
Dalam ujian benchmark sintetik pula, ia merekodkan markah membanggakan iaitu 9,761 dalam 3DMark Time Spy dan 9,414 dalam PCMark 10.


Nombor-nombor ini mungkin tidak akan menandingi laptop besar dan berat yang mempunyai cip GPU high-end khusus, tetapi itulah ‘trade-off’ yang perlu dibuat. Daripada membawa mesin yang bising dan besar ke hulu ke hilir, kita mendapat sebuah komputer riba yang mudah alih dan mampu memainkan game moden dengan selesa.
Hal ini menawarkan keseimbangan di antara kepenggunaan harian dan juga keupayaan gaming sebenar.
Perisian

Beralih kepada perisian, aplikasi Armoury Crate dari ASUS bertindak sebagai pusat kawalan utama laptop ini. Ia membolehkan anda mencipta ‘performance profile’ tersuai untuk tugas yang berbeza, malah boleh ditetapkan supaya ia menukar tetapan sistem secara automatik sebaik sahaja melancarkan game tertentu.

Pendapat

Sebagai kesimpulan, jika anda mencari sebuah laptop serba boleh yang tidak membebankan bahu, dengan mudah kami mengesyorkan TUF Gaming A14 (2026). Ia membuktikan bahawa anda tidak perlukan mesin yang berat dan bising untuk bermain game kegemaran di mana sahaja.
Bagi para pelajar, mereka yang kerap melancong, atau sesiapa sahaja yang mahukan sebuah peranti yang benar-benar mudah alih, laptop ini adalah pilihan yang sangat bagus. Anda mendapat sebuah mesin yang sangat praktikal untuk penggunaan harian bersama prestasi gaming yang mantap.
Jika berminat untuk membeli, harga jualannya adalah RM7,599.00.

Spesifikasi ASUS TUF Gaming A14 (2026)
- CPU: AMD Ryzen AI MAX+ 392 (Base 3.2GHz / Boost 5.0GHz, 12 cores / 24 threads)
- GPU: AMD Radeon 8060S (Integrated, 40 Compute Units)
- Paparan: 14-inci 2.5K (2560×1600) IPS, 165Hz, 3ms, 100% sRGB
- RAM: 32GB LPDDR5X 8533MHz, Quad-channel, On-board
- Storan: Sehingga 4TB PCIe Gen 4 (2× slot M.2)
- Bateri: 73Whr, pengecasan 50% dalam 30 minit
- Berat: 1.48kg
- Ketebalan: 1.69cm
- Port: 1× USB4 Type-C, 1× USB 3.2 Gen 2 Type-C, 2× USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1× HDMI 2.1, 1× MicroSD (UHS-II), 1× bicu audio 3.5mm
- Penyejukan: 95W TDP, dwi-kipas 97-bilah, 0dB Ambient Cooling
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi.












Discussion about this post