Remedy Entertainment kini membawa dunia misteri Federal Bureau of Control ke dalam genggaman anda. Mulai hari ini, Control Ultimate Edition sudah boleh dimuat turun melalui iOS App Store pada harga RM22.90.
Sejak dilancarkan pada 2019, Control telah mengumpul peminat yang ramai dan memenangi lebih 80 anugerah hasil naratifnya yang menyeramkan serta aksi lawan berasaskan fizik yang mendebarkan.
Selepas berjaya di pelbagai platform seperti PlayStation 5 dan Nintendo Switch, pelancaran versi mobile merupakan langkah terbaru Remedy dalam mengembangkan “Connected Universe.”

Remedy telah mengoptimumkan prestasi game ini khas untuk peranti Apple menggunakan API grafik “Metal”. Ini memastikan seni bina dan kesan zarah dalam game nampak tajam, sama seperti versi Mac. Bagi pengguna peranti berkuasa tinggi, anda juga boleh mengaktifkan fungsi Ray Tracing untuk pantulan cahaya dan pencahayaan yang realistik.

Dari segi gameplay, pembangun telah mengubah suai UI supaya lebih mesra skrin sentuh. Ini termasuklah rekaan menu baharu serta pelarasan untuk mekanik membidik dan menyelesaikan teka-teki. Hasilnya, aksi lawan telekinetic terasa lebih natural walaupun tanpa controller.
Namun, bagi mereka yang lebih selesa dengan cara tradisional, game ini masih menyokong penuh penggunaan Bluetooth Controller.

Bagi pemain baharu, anda akan memegang watak sebagai Jesse Faden, Pengarah baharu bagi Federal Bureau of Control (FBC). Jesse tiba di ibu pejabat biro tersebut (sebuah pencakar langit rahsia di New York yang tidak tertakluk kepada hukum graviti) untuk mencari adiknya yang hilang.
Namun, dia mendapati bangunan itu telah diceroboh oleh kuasa jahat dari dimensi lain dikenali sebagai The Hiss.

Sebagai Jesse, pemain akan menggunakan “Service Weapon”; sebuah senjata api supernatural yang boleh berubah bentuk, serta pelbagai kuasa telekinetic. Anda boleh merobohkan serpihan dinding konkrit untuk dilempar ke arah musuh atau terapung di udara untuk membongkar rahsia gelap biro tersebut.
Control Ultimate Edition versi iOS merangkumi game asal bersama dua kandungan expansion: The Foundation dan AWE.









Discussion about this post