Deep Silver dan pembangun 4A Games akhirnya mengumumkan Metro 2039, sekuel terkini dalam francais Metro. Judul single-player first-person shooter ini disahkan akan keluar di PlayStation 5, Xbox Series X/S, serta PC melalui Steam, Epic Games Store, dan Microsoft Store.
Selain itu, peminat turut disajikan dengan trailer berdurasi enam minit, yang menggabungkan sinematik dengan gameplay yang cukup realistik.
Mengambil latar masa 25 tahun selepas kiamat nuklear, landskap politik di terowong bawah tanah Metro kini sudah berubah sepenuhnya. Kumpulan-kumpulan yang dahulunya sering berperang kini telah disatukan secara paksa di bawah satu sepanduk besar yang dikenali sebagai Novoreich.
Apa yang mengejutkan ramai peminat lama adalah identiti pemimpin rejim ini. Hunter (iaitu ahli Spartan Ranger yang pernah menjadi mentor dalam Metro 2033) kini muncul sebagai “The Fuhrer.” Walaupun menjanjikan masa depan yang cerah di permukaan bumi, pemerintahannya sebenarnya penuh dengan propaganda, dan maklumat palsu.
Jalan cerita kali ini akan membawa pemain menyelami penderitaan rakyat di bawah sistem diktator yang menggunakan janji “kebebasan” untuk menindas mereka.
Satu lagi perubahan drastik dalam siri ini adalah pengenalan watak utama yang mempunyai suara sepenuhnya, dikenali sebagai “The Stranger.” Jika sebelum ini peminat terbiasa dengan Artyom yang bisu, kali ini protagonisnya adalah seorang penyendiri yang sering dihantui mimpi ngeri.
Walaupun pernah bersumpah untuk tidak akan kembali ke Metro Moscow, dia terpaksa melupakan janji itu dan turun semula ke bawah tanah demi menghadapi ancaman baharu.

Dari segi gameplay, Metro 2039 masih mengekalkan identiti survival horror. Gameplay yang dikongsi menampilkan penggunaan senjata buatan sendiri, sistem pneumatik klasik, serta jam tangan khas yang berfungsi memantau tahap oksigen dan daya visi watak.
Satu lagi babak yang mencuri tumpuan adalah pertembungan cemas dengan spesies mutan terbaharu yang jauh lebih ganas.

Metro 2039 menyasarkan pelancaran pada musim sejuk, yang dijangka jatuh pada penghujung tahun 2026 atau awal tahun 2027. Maklumat lebih terperinci mengenai sesi pra-tempahan dan tarikh pelancaran rasmi akan diumumkan dalam masa beberapa bulan lagi.









Discussion about this post