Pembangun game dari China, CyberNest Entertainment, telah mendedahkan Prism 2033; sebuah massively multiplayer online role-playing game (MMORPG) yang berlatar belakang pelbagai alam.
Game ini dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5 dan bakal dilancarkan di PC melalui Steam dan Epic Games Store, serta versi mobile untuk peranti iOS dan Android.= Pemain yang berminat boleh mendaftar awal sekarang melalui laman web rasmi game ini.
Di tengah Prism 2033 terletak Flux City, sebuah metropolis futuristik yang berfungsi sebagai pintu gerbang menghubungkan pelbagai dunia selari. Pemain akan bermain sebagai Investigator yang baru direkrut oleh Harbor Agency, sebuah organisasi awam yang ditugaskan untuk meneroka realiti-realiti alternatif ini.
Dari hab ini, pemain akan menjelajah ke pelbagai dunia, masing-masing mempunyai persekitaran, jalan cerita, dan cabaran tersendiri. Setiap pilihan yang dibuat di dunia-dunia ini akan membawa kesan berpanjangan, membolehkan pemain mempengaruhi nasib “Parallelverse.”

Apa yang membezakan Prism 2033 daripada MMORPG biasa ialah tumpuannya terhadap pembinaan dunia yang benar-benar hidup. Persekitaran dalam game ini bukan sekadar latar statik kerana pokok tumbuh dan akhirnya layu, musim bertukar secara semula jadi, dan landskap berubah mengikut peredaran masa.
Pihak pembangun melaburkan usaha besar dalam mencipta NPC yang realistik. Penduduk digital ini bukan sekadar berdiri menunggu untuk memberikan Quest. Sebaliknya, mereka direka dengan sistem kesedaran yang membolehkan mereka bertindak balas terhadap peristiwa dan situasi yang tidak dijangka dengan cara yang berbeza-beza.
Setiap NPC menua secara semula jadi, berkembang dari muda hingga tua berdasarkan pengalaman harian mereka.

Yang paling menarik mungkin ialah sistem perhubungan dalam game ini. Pemain boleh membina hubungan dengan NPC, malah boleh membesarkan anak dalam game. Anak-anak maya ini mewarisi ciri-ciri fizikal daripada ibu bapa mereka, membesar di bawah jagaan pemain, dan membentuk ikatan emosi.
CyberNest Entertainment nampaknya mencipta Prism 2033 untuk kedua-dua pemain hardcore dan casual. Game ini menawarkan elemen MMORPG klasik seperti misi bertahap kesukaran tinggi yang memerlukan kerjasama dan koordinasi dengan pemain lain.
Ahli guild juga boleh bekerjasama untuk mengemudi starship dalam peperangan armada angkasa, yang memerlukan strategi dan pengurusan sumber.
Namun begitu, pihak pembangun menekankan bahawa tidak semua sesi permainan perlu mengambil masa yang lama. Sesi permainan pendek juga direka supaya terasa menyumbang kepada perkembangan watak. Pemain juga boleh mencari item kosmetik, kenderaan, dan koleksi mengikut rentak mereka sendiri.
Tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan, tetapi maklumat lanjut dijangka akan menyusul seiring dengan perkembangan pembangunan.









Discussion about this post