Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection merupakan lonjakan paling tinggi dalam sub-siri “RPG pengumpulan monster” keluaran Capcom sehingga kini.
Selaku entri utama ketiga dalam francais Monster Hunter Stories, game ini mengembangkan asas yang telah diletakkan oleh siri terdahulu, sambil menghala ke arah pengalaman yang lebih dewasa dan kompleks dari segi sistem.
Dengan jalan cerita yang lebih padat, tahap customization yang jauh lebih luas, serta tumpuan baharu terhadap pengurusan ekosistem, entri kali ini tidak lagi terasa seperti sebuah spin-off; sebaliknya, ia setanding sebagai sebuah game flagship dalam dunia Monster Hunter.
Setelah meluangkan lebih 100 jam bermain di PlayStation 5, berikut ialah ulasan penuh kami mengenai Monster Hunter Stories 3.
Jalan Cerita Lebih Matang dan Identiti Yang Segar

Untuk pertama kalinya dalam siri ini, pemain tidak lagi berperanan sebagai Rider. Kali ini, watak utama menyandang gelaran Ranger; satu identiri yang sejajar dengan teras permainan iaitu memulihkan dan mengimbangi semula alam sekitar.
Berlatarkan dua tanah, Azuria dan Vermeil, naratif permainan dibina di atas krisis ekologi yang tercetus akibat fenomena misteri bernama Crystallization.

Peranan sebagai Ranger berkait erat dengan sistem Habitat Restoration, di mana sebahagian besar tugas kita tertumpu pada usaha mengembalikan keseimbangan ekosistem yang telah musnah.
Ini merangkumi pencarian telur monster yang hampir pupus, proses penetasan, dan seterusnya melepaskan Monstie ke alam semula jadi bagi menstabilkan kawasan yang terjejas.

Crystallization merebak tanpa henti, memusnahkan persekitaran dan mencemari hidupan liar. Monster yang terkena jangkitannya bertukar menjadi Feral Monster… jauh lebih ganas dan berbahaya daripada biasa.
Kehadiran mereka turut membawa cabaran mekanikal tersendiri; menyerang bahagian badan yang terkristal pada masa yang salah boleh mengundang serangan balas yang amat kuat.
Di sebalik kegelapan itu, secercah harapan timbul apabila sebiji telur Rathalos ditemui (sesuatu yang dianggap mustahil). Namun, harapan itu menjadi lebih rumit apabila telur tersebut menetaskan sepasang Rathalos kembar, dan kedua-duanya memiliki lambang Skyscale yang berkait dengan bencana zaman purba.
Dua buah negara, dua ekor Rathalos, dan dunia yang kian runtuh – Monster Hunter Stories 3 membawakan naratif yang lebih terfokus dan emosi berbanding mana-mana entri sebelumnya. Dari sudut persembahan visual dan mutu penulisan, cerita kali ini jelas mengatasi Monster Hunter Stories dan Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin.
Habitat Restoration Sebagai Inti Utama Pengalaman

Elemen paling menonjol dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection ialah Habitat Restoration; sebuah sistem yang mengubah sepenuhnya cara kemajuan dalam game berfungsi.
Berbeza daripada pendekatan lama yang hanya tertumpu pada pengumpulan Monstie untuk bertarung, kali ini pemain digesa untuk secara aktif memulihkan ekosistem dengan menetaskan monster dan melepaskan mereka semula ke habitat asal.

Setiap wilayah memiliki ranking spesies tersendiri, dan ranking ini akan meningkat setiap kali monster berjaya diperkenalkan semula ke habitat mereka. Ranking yang lebih tinggi membuka pelbagai ganjaran bermakna — daripada kualiti telur yang lebih baik, hinggalah akses kepada gene yang lebih rare serta ciri-ciri elemen yang lebih kuat.

Apabila sesebuah Monstie dilepaskan ke kawasan yang mempunyai elemen berbeza daripada asalnya, telur yang dihasilkan berkemungkinan mewarisi elemen kawasan tersebut. Ini membawa kepada perubahan warna fizikal serta kecekapan terhadap elemen baharu itu.
Tambahan pula, monster yang dilepaskan akan mula muncul secara semula jadi di kawasan terbabit di mana pemain boleh melawan mereka, mengumpul bahan, atau mendapatkan telur tambahan.

Dalam keadaan tertentu, mutasi turut boleh tercetus bagi menghasilkan varian subspecies mahupun deviant. Sesetengah mutasi ini bergantung kepada keadaan persekitaran atau kehadiran spesies monster tertentu di kawasan yang sama.
Dari segi proses mutasi Monstie menjadi subspecies atau deviant, Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection membuatkan semuanya mudah dijejaki. Game ini menyenaraikan setiap syarat yang diperlukan untuk mutasi berlaku, dan maklumat ini boleh diakses terus melalui Monsterpedia.
Pemain boleh merancang strategi habitat dan telur mereka dengan yakin tanpa perlu meneka-neka.
Invasive Monster dan Risiko–Ganjaran

Satu lagi mekanik penting yang menyokong falsafah ekosistem dalam game ini ialah Invasive Monster. Makhluk-makhluk ini ialah monster berkuasa yang telah merampas sarang spesies lain, sekali gus mengganggu habitat setempat dan menghalang proses pemulihan semula jadi.
Pada peringkat awal, Invasive Monster direka supaya jauh mengatasi kemampuan pemain. Combat secara terus bukanlah pilihan yang bijak kerana HP dan damage mereka terlalu tinggi sehingga konfrontasi langsung hampir mustahil pada tahap kemajuan ketika itu.
Mesej jelas: utamakan kelangsungan hidup dan strategi, bukan kekuatan semata-mata.

Tugas pemain bukanlah untuk menewaskan mereka secara langsung, sebaliknya menghalau Invasive Monster dengan memenuhi syarat-syarat khusus yang berkaitan dengan konteks pertemuan tersebut. Petunjuk-petunjuk ini disampaikan secara halus melalui dialog dan gerak-geri rakan sepasukan.
Pemain perlu peka terhadap isyarat di medan lawan, tindak balas rakan, dan tingkah laku monster itu sendiri. Apabila semua syarat dipenuhi, Invasive Monster akan berundur.

Selepas berjaya dihalau, Invasive Monster akan pulang ke sarang asalnya dan memasuki keadaan dorman. Saat ini membuka peluang kecil namun amat bernilai di mana pemain boleh menyelinap masuk ke sarang untuk mengambil telurnya.
Telur-telur ini kebiasaannya mengandungi spesies yang mustahil ditemui di alam terbuka, seperti Nargacuga atau Lagiacrus. Memperkenalkan spesies baharu ke wilayah lain pula menghubungkan terus kepada sistem Habitat Restoration dan ranking spesies serantau.

Implikasi jangka panjang turut hadir melalui proses ini. Apabila spesies baharu berjaya disepadukan ke dalam persekitaran yang berbeza, ia berpotensi mencetuskan mutasi lanjutan dengan membuka laluan kepada subspecies dan varian tambahan dari masa ke masa.
Justeru, Invasive Monster berfungsi sebagai dua perkara: halangan dan pemangkin. Mereka menghubungkan cabaran convvat dengan pertumbuhan ekosistem berjangka panjang.
Walaupun secara teknikal pemain boleh kembali ke sarang monster ini untuk bertarung, HP mereka yang sangat tinggi menjadikan kemenangan hampir mustahil tanpa persediaan. Ini menegaskan peranan mereka sebagai cabaran endgame, bukan pertarungan biasa.

Secara keseluruhan, Invasive Monster dan Habitat Restoration membentuk sebuah sistem yang saling berkaitan erat dengan menekankan kesabaran, daya pemerhatian, dan pertimbangan.
Memasukkan monster ke dalam habitat bukan keputusan remeh kerana ia serta-merta mengubah telur yang seterusnya mempengaruhi Monstie mana yang bakal muncul di kemudian hari. Deviant Monstie, misalnya, menyumbang kepada kumpulan telur tetapi tidak muncul di overworld, bermakna mereka tidak boleh dilawan secara langsung
Hakikat ini menjadikan setiap keputusan sangat strategik; pemain harus menimbang manfaat yang mungkin diperoleh berbanding kesan ke atas telur masa hadapan dan skil yang bakal tersedia.
Kemajuan di sini tidak diukur berdasarkan jumlah monster yang ditewaskan, tetapi berdasarkan bagaimana dunia ini dipulihkan (dan dibentuk semula) melalui keputusan yang bermaklumat dan risiko yang diperhitungkan.

Satu perkara yang wajar dinyatakan… tidak semua Monstie daripada Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin kembali dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection. Sejumlah besar roster terdahulu tidak lagi hadir, dan ini mungkin menghambarkan pemain yang telah membina ikatan rapat dengan Monstie tertentu.
Namun begitu, Capcom menampung ketiadaan ini dengan memperkenalkan barisan Monstie baharu, yang kebanyakannya disepadukan rapat ke dalam sistem gameplay yang telah dirombak. Di sini, pemain berpeluang membuka Monstie yang lebih rare seperti Silverwind Nargacuga, Ivory Lagiacrus, mahupun Mizutsune.

Tambahan baharu ini bukan sekadar penggantian kosmetik. Setiap satu direka dengan mengambil kira Habitat Restoration, Environment Skill, dan mekanik mutasi. Masing-masing memiliki laluan perkembangan unik serta interaksi ekosistem yang tidak pernah wujud sebelumnya
Walaupun roster secara keseluruhan mungkin kelihatan lebih kecil di bahagian tertentu, Monstie yang ada terasa lebih tersendiri dari segi mekanik, lebih seimbang, dan lebih rapat terjalin dengan kemajuan asas permainan.

Dalam siri terdahulu, Deviant Variant (bentuk alternatif yang lebih kuat bagi Monstie sedia ada) hanya boleh diakses selepas tamat cerita utama. Ini ermakna pemain perlu menyelesaikan keseluruhan game terlebih dahulu.
Dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection, Deviant Monstie boleh diperoleh sejak awal lagi, memberi ruang kepada pemain untuk meneroka gene yang lebih rare, environment skill, dan pelbagai telur jauh lebih awal.
Perubahan ini bukan sahaja memperkaya gameplay di peringkat permulaan, malah turut menguatkan sistem Habitat Restoration, pengumpulan gene, dan strategi Excursion.
Environment Skill dan Pembinaan Build Yang Lebih Bijak

Habitat Restoration bukan setakat mekanik kemajuan. Setiap wilayah mempunyai set Environment Skill unik yang boleh dikuasai oleh Monstie, namun ranking spesies di wilayah tersebut menentukan skill mana yang boleh diakses.
Monstie berranking rendah tidak layak mempelajari Environment Skill ber-ranking tinggi, walaupun mereka tetap menikmati perubahan stat yang ditawarkan oleh habitat itu. Apabila sesebuah spesies mencapai Rank S di mana-mana wilayah, seluruh Environment Skill di kawasan tersebut akan terbuka sepenuhnya.
Ini membolehkan pemain mencampurkan skil daripada pelbagai lokasi. Pendekatan ini menggalakkan penggunaan warna gene campuran, berbeza daripada mengejar bonus Bingo warna tunggal.
Dengan menghantar Monstie secara strategik ke Excursion di wilayah berlainan, pemain boleh menggayakan build mereka dengan lebih jauh, memastikan Monstie early-game kekal relevan dan bersaing hingga ke endgame.

Environment Skill juga boleh dikunci buka menerusi gene sepadan yang terdapat dalam papan Bingo Monstie. Ini bermakna, berbanding mengejar bonus Bingo warna tunggal secara membabi buta, susunan gene campuran sebenarnya mampu memberi kelebihan besar bergantung kepada persekitaran pertempuran.

Setiap habitat dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection mampu menempatkan sehingga 10 monster — lima slot dikhususkan untuk spesies asal, manakala lima lagi adalah slot fleksibel yang boleh diisi atau dikosongkan sesuka hati.
Pengaturan monster dalam slot tambahan ini memberi kesan langsung terhadap ekosistem — mempengaruhi jenis telur yang muncul serta menentukan spesies mana yang menjadi lebih kuat atau lebih langka.
Sistem ini mendorong percubaan secara aktif, kerana pengurusan bijak antara populasi asli dan bukan asli berpotensi menghasilkan telur berkualiti tinggi, mencetuskan mutasi baharu, dan membuka peluang untuk memperkenalkan Monstie hebat ke wilayah lain.

Melalui penghantaran Monstie ke wilayah berlainan, pemain mampu mencampur dan memadankan Environment Skill demi membentuk build yang lebih kaya dan serba boleh.
Walau bagaimanapun, setiap Monstie hanya boleh melengkapkan sehingga tiga Environment Skill — memastikan setiap pilihan tetap bermakna dan tidak boleh dibuat sambil lewa.

Salah satu kesan paling besar daripada sistem Environment Skill ialah cara ia mentakrif semula kebolehgunaan Monstie secara menyeluruh. Monstie yang diperoleh pada awal permainan tidak semestinya ketinggalan seiring kemajuan cerita.
Sebaliknya, mereka boleh terus diperkuatkan melalui Excursion ke kawasan lain, di mana mereka memperoleh Environment Skill tambahan yang terikat kepada wilayah berkenaan.
Oleh kerana skill ini bergantung pada ranking spesies serantau dan bukan rarity monster itu sendiri, Monstie peringkat awal tetap mampu bersaing hingga ke penghujung permainan.
Sistem ini membenarkan pemain membina ikatan dengan Monstie pilihan sejak jam-jam pertama dan membawanya bersama sepanjang perjalanan tanpa merasa ketinggalan dari segi mekanikal.
Melalui Excursion berulang kali, pemain boleh membentuk peranan Monstie secara terancang; dengan mencampurkan Environment Skill dari pelbagai wilayah, memperhalusi campuran gene, dan menyesuaikan build untuk menghadapi cabaran endgame.
Berbeza daripada pendekatan yang menggalakkan pertukaran Monstie secara berterusan, Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection sebaliknya menghargai pelaburan jangka panjang dan perancangan rapi, Ini juga membuktikan meegaskan bahawa perkembangan, customizaion, dan penyepaduan ekologi — bukan rarity semasa bermula — yang menentukan kehebatan sesebuah Monstie.
Customization Monstie Yang Lebih Luas Dengan Sistem Gene

Aspek customization dalam Monster Hunter Stories 3 terasa jauh lebih teratur dan bermatlamat, terutamanya berkat pengenalan Egg Skill. Kemahiran berasaskan elemen ini berkait langsung dengan kemajuan Habitat Restoration, dan ia turut membantu menyelesaikan isu ketidakseimbangan yang wujud dalam tajuk terdahulu.
Contohnya, jenis elemen yang terasa kurang kuat dalam Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin seperti Water kini jauh lebih berdaya maju dan praktikal.

Egg Skill berfungsi untuk menutup kelemahan di mana jenis serangan tertentu mungkin tidak mencukupi, sekali gus memastikan pemain sentiasa berupaya mendapatkan liputan elemen atau jenis serangan yang sepadan dengan build mereka.

Gene pasif baharu turut menyokong sistem combat yang telah dikemas kini. Skill seperti Stamina Surge, yang mempercepatkan pemulihan stamina, atau Dragonbuster, yang menggandakan damage Wyvernsoul, memperkenalkan build yang melangkaui sekadar “mengejar angka serangan mentah”.
Memandangkan sistem combat telah berevolusi, proses customization Monstie kini memerlukan perancangan; merangkumi Environment Skill daripada Habitat Restoration, pilihan susunan dual-element atau single-element, kecenderungan semula jadi Monstie, dan peranan combat yang disasarkan.

Ranking sesebuah Monstie turut mempengaruhi secara langsung Egg Skill mana yang boleh diwariskan, lantas memberi kawala lebih besar ketika membina pasukan. Monstie berranking tinggi lebih cenderung menghasilkan telur yang mengandungi skill rare atau kuat.
Sistem ini memastikan bahawa apabila Monstie dibesarkan merentasi pelbagai wilayah dan rankingnya meningkat, pemilihan skill yang tersedia turut berkembang. Lebih menarik lagi, berbeza daripada siri terdahulu, Monstie dalam game ini akan membuka slot gene secara semula jadi mengikut kemajuan level.
Walaupun pemain masih boleh menggunakan item untuk membukanya secara manual, pilihan untuk melakukannya secara organik merupakan satu penambahbaikan yang amat dialu-alukan.
Sistem Combat Yang Lebih Mencabar

Combat dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection terasa jauh lebih menguji, khususnya pada peringkat awal dan pertengahan permainan. Monster tidak lagi terlalu bergantung pada corak Power, Speed, dan Technique yang mudah diramal.
Sebaliknya, kebanyakan pertarungan kini dipenuhi dengan serangan area-of-effect neutral yang kerap berlaku dan tidak boleh ditangkis melalui mekanik head-to-head.

Setiap serangan dalam combat kini membawa dua nilai penting: Attack dan Wyvernfell. Nilai Attack mengurangkan bar HP monster, manakala nilai Wyvernfell menyusutkan tolok Wyvernsoul monster. Ini adalah satu elemen kritikal untuk mencapai stagger dan membuka peluang Syncro Rush.
Fokus antara kedua-dua nilai ini menambah dimensi kepada combat, memaksa kita membuat keputusan sama ada hendak menumpukan damage mentah atau membina Wyvernfell untuk mengawal peluang stagger dan memaksimumkan damage kritikal.
Tindakan stagger monster turut membuka satu lagi pilihan. Apabila monster berjaya terkena stagger (sama ada melalui pemecahan bahagian badan tertentu atau pengosongan tolok Wyvernsoul sepenuhnya) pemain boleh memilih cara terbaik untuk memanfaatkan saat tersebut.
Salah satu pilihan ialah melancarkan Syncro Rush (serangan gabungan pelbagai watak yang menghasilkan damage percuma sambil menaikkan Kinship). Pilihan lain pula ialah membiarkan monster kekal dalam keadaan stagger, dan meneruskan serangan biasa ketika ia masih terdedah.
Kaedah ini membolehkan pemain menjana damage kritikal secara berterusan tanpa menghabiskan peluang Syncro Rush demi memaksimumkan jumlah damage keseluruhan.

Serangan neutral jenis ini berlaku dengan cukup kerap sehingga mampu menghabiskan nyawa parti hinggalah tinggal satu heart sahaja, terutamanya pada peringkat awal apabila peralatan dan gene Monstie masih terbatas.
Kesannya, penjanaan Kinship menjadi lebih perlahan berbanding entri terdahulu, walaupun menunggang Monstie masih sangat berkuasa memandangkan ia memberikan kekebalan terhadap debuff dan status abnormal.
Penggunaan item semasa combat kini turut dihadkan, memaksa kita merancang dengan lebih cermat. Pada masa yang sama, Capcom telah mengurangkan kekerapan monster bertindak beberapa kali dalam satu giliran.
Bagi meringankan sedikit beban, pemain boleh melengkapkan skill Item Saver; yang memberi peluang agar kuantiti item yang digunakan tidak berkurangan.

Kehadiran Wyvernsoul dan Wyvernfell menambah satu lagi strategi. Setiap serangan menyumbang kepada damage dan juga pembinaan Wyvernfell, dan pengurusan tolok ini amat penting untuk mencapai stagger.
Stagger boleh dicapai sama ada dengan memecahkan bahagian badan yang memang akan menyebabkan stun apabila musnah, ataupun dengan mengosongkan tolok Wyvernsoul monster sepenuhnya.
Apabila monster berjaya ditumbangkan dan tiada lagi musuh lain di medan lawan, pemain boleh melancarkan Syncro Attack.

Feral Monster pula memerlukan pemerhatian yang lebih tajam. Memecahkan bahagian badan yang terkristal akan melemahkan keupayaan mereka, namun menyerang semasa fasa “tenang” bakal mengundang serangan balas yang dahsyat.
Ketika fasa rage pula, serangan balas ini tidak lagi aktif lantas memberi kita ruang untuk memilih sama ada hendak menyerang secara habis-habisan bagi menimbun damage tinggi dan Wyvernfell, atau kekal bertahan, menyimpan sumber, dan menunggu peluang yang lebih selamat.
Walaupun amat memuaskan secara visual apabila Monstie tampil dengan elemen alternatif (hingga mengubah rupanya dengan warna yang berbeza) elemen ini tidak menambah damage serangan Kinship.
Ditambah pula dengan kehadiran bar stamina baharu, serangan Kinship kini berlaku kurang kerap kerana tolok mengambil masa lebih lama untuk dipenuhkan. Perubahan ini bermakna pemain perlu berfikir matang tentang elemen yang dilengkapkan, demi memastikan serangan Kinship kekal setinggi dan seefektif yang mungkin.
Rakan Sepasukan Yang Berkembang Bersama Anda

Watak-watak sampingan dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection memainkan peranan yang jauh lebih bermakna berbanding siri sebelumnya.
Setiap anggota pasukan Ranger mempunyai fokus yang tersendiri: Thea menumpukan serangan, Kora mengalih perhatian musuh, Gaul pakar dalam penyembuhan, Eleanor memulihkan stamina, dan Ogden mahir mengenakan status condition… dan setiap seorang turut memiliki cerita sampingan yang terungkai secara beransur-ansur.

Pemain tidak boleh mengawal tindakan mereka secara langsung ketika bertarung, namun tingkah laku rakan sepasukan masih boleh dipengaruhi menerusi peralatan, Monstie yang ditetapkan, item, serta keutamaan strategi.

Selain Thea dan Eleanor, kebanyakan ahli pasukan telah lama berkhidmat… malah lebih lama berbanding protagonis sendiri.
Ini terpancar dalam dialog dan gelagat mereka: Ogden, contohnya, kadang-kala mempersoalkan keputusan atau arahan protagonis; bukan atas niat buruk, tetapi dari sudut pandangan seseorang yang berpengalaman dan amat mementingkan keselamatan kerajaan.
Detik-detik sebegini menambah konteks kepada sifat protagonis yang kadang-kala kelihatan teragak-agak.

Ahli parti boleh ditukar-tukar dengan bebas, dan prestasi mereka dalam combat kekal solid serta boleh diharap. Kehilangan semua heart tidak mengakibatkan game over. Sebaliknya, rakan sepasukan akan kembali selepas dua giliran dengan heart penuh, mengekalkan tekanan tanpa menimbulkan kekecewaan yang tidak wajar.
Menyiapkan misi sampingan yang fokus pada rakan sepasukan secara perlahan-lahan mendedahkan cerita yang lebih dalam bagi setiap watak, membuka skil baharu, senjata, dan Monstie partner tambahan, di samping menonjolkan cara mereka berinteraksi dengan protagonis serta sesama sendiri.

Lama-kelamaan, pemain akan memahami dengan lebih jelas personaliti, latar belakang, dan dorongan setiap rakan sepasukan. Ini menjadikan pengalaman lawan dan naratif terasa jauh lebih kaya dan bermakna.
Senjata, Gem, dan Kebebasan Membina Build

Variasi senjata mengalami perkembangan besar dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection, dengan dua senjata diperuntukkan bagi setiap jenis serangan: Slash (Great Sword, Long Sword), Blunt (Hammer, Hunting Horn), dan Pierce (Gunlance, Bow). Setiap senjata kini dilengkapi skill tree tersendiri, mekanik unik, dan peranan yang jelas.

Kemasukan Long Sword sebagai pengganti Sword and Shield merupakan antara perubahan yang paling berimpak. Long Sword memperkenalkan combat berasaskan stance, teknik berfokuskan counter, serta peningkatan damage menerusi momentum yang mementingkan timing tepat dan gaya permainan agresif.
Great Sword pula lebih cenderung kepada pengurusan charge dan Wyvernfell, menjadikannya pilihan yang lebih perlahan tetapi sangat bahaya bagi strategi berfokuskan stagger.

Senjata Blunt juga menampilkan perbezaan. Hammer unggul dalam damage bahagian mentah dan penjanaan Wyvernfell, manakala Hunting Horn beralih menjadi campuran support-damage dengan menyalurkan buff kepada seluruh parti melalui serangan.
Ini menjadikan pemilihan senjata amat penting bergantung pada komposisi pasukan dan jenis pertarungan.

Senjata Pierce pula menerima rombakan sistem yang paling besar. Gunlance menggabungkan shelling berterusan dengan penyusutan Wyvernsoul secara burst, memberinya sinergi dengan build berfokuskan topple. Bow sebaliknya menekankan tekanan elemen, aplikasi status, dan manipulasi giliran melalui charged shot serta debuff.

Setiap senjata turut menyokong sistem gem yang telah dirombak sepenuhnya, yang meluaskan fleksibiliti build. Slot gem senjata dikhususkan untuk active skill dan bukan bonus stat pasif; pemain boleh memasukkan teknik yang mengubah corak serangan, penjanaan sumber, atau kesan bersyarat.
Gem armor pula menyerupai kesan gene Monstie, membolehkan ciri pertahanan, bonus pengurusan stamina, atau resistance bersyarat yang mempengaruhi cara combat berlangsung.

Pengasingan antara gem skill senjata dan gem kesan armor ini membuka pembinaan build yang jauh lebih terperinci. Senjata menentukan cara Ranger bertarung, armor menentukan daya tahan dan rentak combat, manakala Monstie menentukan sinergi dan tekanan elemen.
Ketiga-tiga sistem ini bersama-sama menggalakkan eksperimen tanpa membebankan pemain dalam arketaip yang bosan.

Hasilnya, Monster Hunter Stories 3 menyajikan sistem peralatan paling ekspresif setakat ini di mana pilihan senjata, konfigurasi gem, dan pemadanan Monstie menjadi sama penting seperti combat sebenar
Makanan dan Kelangsungan Hidup — Menjamu Hidangan Terbaik

Satu lagi ciri dalam Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection hadir menerusi sistem makanan, yang membenarkan kita makan hidangan bagi menyokong eksplorasi dan pertempuran.
Setiap hidangan terbina daripada empat kategori: daging untuk memulihkan stamina, ikan untuk menambah HP, sayur-sayuran untuk meningkatkan kebolehan penerokaan, dan bijirin untuk menambah perolehan pengalaman. Dalam setiap kategori, ada pelbagai pilihan bahan yang berbeza dari segi kekuatan dan kesan.
Contohnya, sesetengah jenis daging memulihkan stamina lebih banyak berbanding yang lain, manakala ikan tertentu memberikan pemulihan HP yang lebih tinggi.
Sayur-sayuran pula menawarkan buff penerokaan yang berbeza-beza (seperti mendaki lebih pantas atau pengumpulan item yang lebih cekap) dan bijirin boleh meningkatkan perolehan pengalaman bergantung pada kualiti serta rarity.

Pemain bebas menggabungkan bahan-bahan ini sesuka hati, menghasilkan hidangan yang disesuaikan mengikut keperluan segera atau perancangan jangka panjang.
Setelah dimakan, game akan memaparkan setiap kesan hidangan beserta baki tempoh kesannya untuk memudahkan perancangan sebelum menghadapi pertarungan, menjalani excursion ke peta lain, atau memulakan sesi Habitat Restoration.
Sistem ini bukan sahaja menghargai semangat percubaan, malah turut menggalakkan pengurusan sumber yang bijak – menjadikan hidangan yang kelihatan simple sekalipun sebagai keputusan bermakna yang mampu mempengaruhi kelangsungan hidup, combat, dan kemajuan keseluruhan.

Pendapat

Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection melangkah sebagai entri paling hebat dan penuh keyakinan dalam keseluruhan siri. Tumpuannya terhadap pemulihan ekosistem, mekanik combat yang lebih mendalam, dan persembahan naratif yang lebih kukuh meletakkannya jauh di hadapan pendahulu-pendahulunya.
Hala tuju seni game ini amat memukau daripada persekitaran yang kaya dengan butiran, reka bentuk Monstie yang penuh ekspresi, hinggalah model visual yang antara paling cantik pernah dihasilkan dalam siri ini.

Pelbagai pertarungan mencabar tersebar di merata pelosok dunia permainan, malah pemain berpeluang bertemu monster kuat seperti Espinas atau Brachydios pada peringkat awal lagi. Penggunaan Paintball secara bijak turut membolehkan akses kepada telur mereka jauh lebih awal daripada sepatutnya.

Pelbagai penambahbaikan kualiti hidup turut menghapuskan halangan yang tidak perlu; antaranya kebebasan untuk bereksperimen dengan gene tanpa kehilangan Monstie semasa proses Rite of Channeling.
Peminat tegar juga pasti gembira menemui pelbagai rujukan dan penghormatan kepada Monster Hunter Stories dan Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin.
Walaupun tiada multiplayer mungkin sedikit mengecewakan segelintir pemain, tetapi cabaran, tahap customization, dan kualiti visual sudah lebih daripada cukup untuk mengimbanginya.
Bagi pemain baharu, ini merupakan titik permulaan yang sangat ideal. Bagi para veteran pula, ia mewakili visi paling sempurna tentang potensi sebenar Monster Hunter Stories.
Game ini akan dilancarkan pada 13 Mac 2026, untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection
Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection merupakan entri paling menyeronokkan dalam siri ini, dengan sistem Habitat Restoration yang mengubah kemajuan permainan melalui pemulihan ekosistem. Combat lebih mencabar berkat mekanik Wyvernsoul dan Wyvernfell, manakala sistem Environment Skill, Egg Skill, dan gene memberikan customization luar biasa. Disokong naratif emosional, rakan sepasukan bermakna, variasi senjata luas, dan visual memukau, game ini melangkaui status spin-off kepada tajuk flagship Monster Hunter.
PROS
- Game ini konsisten menyajikan combat mencabar yang memerlukan perancangan strategik, bukan sekadar kekuatan kasar
- Sistem customization build menawarkan fleksibiliti luar biasa kepada Monstie, senjata, dan peralatan
- Monstie lebih ekspresif dan menarik dari segi mekanikal berbanding dulu, baik dalam combat mahupun perkembangan ekosistem
- Hala tuju seni dan visual menjadikan Monster Hunter Stories 3: Twisted Reflection sebuah pengalaman yang benar-benar memukau mata
CONS
- Ketiadaan multiplayer mengehadkan daya tarikan jangka panjang bagi pemain yang menggemari mod co-op atau kompetitif dalam entri dahulu









Discussion about this post