Jika ada peminat Pokémon yang merancang untuk ke Pokémon Center Singapore di Jewel Changi Airport dalam masa terdekat, elok dipercepatkan… kerana kedai ini bakal ditutup sementara untuk menjalani pengubahsuaian besar.
Pokémon Singapore mengumumkan bahawa Pokémon Center Singapore akan ditutup sementara mulai 1 April 2026 untuk menjalani pembaharuan kedai. Apabila dibuka semula nanti, ia akan menampilkan konsep kedai baharu sepenuhnya berteraskan budaya tempatan.
Ini menjadikannya Pokémon Center pertama di luar Jepun yang menerima transformasi sebesar ini.
Kedai baharu ini akan memfokuskan kepada seni pemasangan berinspirasikan warisan Singapura serta elemen reka bentuk yang diambil daripada budaya kehidupan seharian masyarakat setempat. Peminat juga boleh menjangkakan merchandise yang lebih luas serta pengalaman membeli-belah baharu yang tidak ditawarkan oleh kedai sedia ada.
Pendek kata, Pokémon Center ini bukan sekadar ditukar wajah luaran, tetapi diubah dari akar umbi.
Selain itu, ada juga perancangan untuk memperkenalkan Pokémon simbolik baharu bagi mewakili kedai yang diperbaharui ini… yang dipilih khas untuk mencerminkan keunikan Singapura. Malangnya, butiran lanjut masih belum didedahkan.
Berita baiknya, Pokémon tidak akan hilang sepenuhnya dari Singapura sepanjang tempoh penutupan ini. Dua buah pop-up store akan beroperasi selama tiga bulan di Jewel Changi Airport dan Plaza Singapura, menawarkan merchandise Pokémon rasmi yang terpilih.
Jadi, kalau anda kebetulan melawat Singapura dalam tempoh pengubahsuaian ini, anda masih boleh mendapatkan barangan rasmi (walaupun pilihannya mungkin lebih terhad berbanding pengalaman membeli-belah di kedai penuh).
Pokémon Center Singapore serba baharu akan dibuka semula pada suku ketiga 2026, yang bermakna peminat boleh menjangkakan pembukaannya antara bulan Julai hingga September.
Maklumat lanjut termasuk tarikan kedai dan pengalaman baharu akan dikongsi menjelang tarikh pembukaan semula menerusi laman web dan Instagram Pokémon Singapore.









Discussion about this post